Certot

Sekuntum Bunga

Hasil nukilan Nuha Nabiha 1 year agoFiksyen 8

“Ellysha, ambil buku rekod prestasi kamu,” kata Cikgu Hanim dengan muka yang berseri-seri.

Ellysha mengambil buku rekod prestasi itu lalu membacanya. Selepas itu, mukanya pucat tanpa disedari oleh sesiapa pun.

                                                                                 ***

“Elly! Kamu mahu kena, ya? Mengapa kamu hanya mendapat tempat kedua? Kamu tidak belajar bersungguh-sungguh? Terimalah akibatnya!” kata ayah Ellysha lalu memukulnya tanpa belas kasihan. 

“Aduh, sakit!” jerit Ellysha menahan kesakitan. 

Ayahnya memukulnya sehingga badannya menjadi luka-luka. Mulutnya berdarah dan kepalanya benjol sebesar 50 sen. 

Ellysha segera ke biliknya bagi membersihkan luka-luka yang dialaminya. Selepas itu, dia menyapu minyak gamat pada badannya. Dia memegang kepalanya yang benjol itu. “Argh, pedihnya…,” raung Ellysha. 

Kemudian, Ellysha segera menuju ke meja belajarnya. Dia mahu menulis surat kepada Cikgu Hanim. Dia ada membeli sekuntum bunga mawar sebelum pulang ke rumah untuk dihadiahkan kepada Cikgu Hanim. 

Kepada Cikgu Hanim yang dikasihi.

Cikgu,

Terimalah hadiah daripada saya sempena hari lahir cikgu yang ke-28. Moga cikgu sentiasa sihat selalu dan ceria selalu. Saya suka melihat wajah cikgu yang tenang seperti emak saya yang sudah lama meninggal dunia. Saya berasa sangat gembira apabila cikgu memandang saya dengan senyuman yang manis. Saya tidak pernah dilayan sebegitu baik daripada sesiapa pun melainkan cikgu sendiri. Akhir kata, terimalah hadiah yang tidak seberapa ini.

Anak muridmu,

Ellysha Zafirah.

Tiba-tiba, dia meroyan seperti orang gila. “Aku tak suka orang lain. Semua bencikan aku. Mengapa aku? Mengapa aku yang sering didera? Mengapa orang lain boleh bahagia?” jerit Ellysha lalu dia teresak-esak menangis keseorangan.

                                                                               ***

“Ya Allah! Ellysha!” jerit Cikgu Hanim.

Ellysha ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Di atas mejanya terdapat surat dan sekuntum bunga mawar yang disediakan oleh Ellysha malam semalam.

“Ellysha, jangan tinggalkan cikgu. Cikgu sayangkan kamu. Kamu adalah pelajar yang paling baik pernah saya jumpa. Jangan buat begini, Ellysha.” Cikgu Hanim menampar-nampar pipinya yang mulus itu. Cikgu Hanim menangis teresak-esak di kelas 5 Amanah.

                                                                              ***

Beberapa tahun kemudian.

“Ellysha, selamat tinggal. Cikgu sudah mahu pergi. Cikgu mahu berkahwin. Suami cikgu sangat baik. Nanti cikgu datang lagi ke sini,” kata Cikgu Hanim.

Cikgu Hanim hanya melihat kubur Ellysha dari jauh. Terasa sebak di hatinya. Namun, dia perlu meneruskan perjalanan.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: