Certot

Sejarah Silam Pemangkin Semangat

Hasil nukilan Nur Alya Batrisyia 3 years agoSukan 16

Namaku Syakira. Aku ini seorang budak perempuan berumur 11 tahun yang mempunyai berat 60 kg. Aduh! Paras obesiti sudah!

Selalunya, orang gemuk tidak suka bersukan. Kalau mereka suka pun, mereka tidak boleh buat apa-apa kerana jika mereka berlari, pasti dapat nombor satu ke belakang. Jika main badminton, sudah tentu semput kerana asyik mengejar bola ke situ dan ke sini. Jika bermain lompat tinggi, sudah pasti langsung tidak lepas tiang. Jadi, mereka akan berasa rendah diri dan terus menarik diri daripada sukan sekolah!

Berlainan dengan aku. Aku amat menanti sukan sekolah. Jika aku berlari, boleh tahan laju. Jika aku mengejar bola, bagi aku kacang hijau sahaja. Itulah yang pelik bagi aku. Aku amat sukakan sukan. Tidakkah pelik bin ajaib dan ajaib bin mustahil?

Namun,sukan pada tahun 2014 amat aku benci. Kenapa? Selalunya aku suka, tetapi hari ini benci pula?

Sebenarnya, sukan baru-baru ini aku masuk dalam pertandingan bola jaring. Mujurlah aku tinggi. Sebab itulah aku terpilih. Malangnya, semasa kami bermain, hujan ribut pula! Tanah menjadi licin. Namun ,aku tetap tidak putus asa. Begitu juga dengan ahli sepasukanku yang lain. Kami terus bermain. Pada mulanya, aku seronok bermain. Sambil main bola sambil main hujan. Tidakkah seronok?

Pada pertengahan permainan, semasa aku hendak menjaringkan gol, aku hampir terjatuh,a ku cuba mengimbangkan badan. Namun, disebabkan berat badanku, aku terjatuh juga. Kepalaku terhantuk pada tiang gol. Mukaku menghempap tanah. Aku mengerang kesakitan. Aduhai… dugaan apakah ini? Kepalaku berdenyut.

*****

Sudah setahun berlalu semenjak sukan sekolah 2014 diadakan. Hari ini, hari sukan tahun 2015 pula bakal berlansung. Aku mahu menang kali ini. Aku tidak mahu kalah lagi seperti tahun lepas. Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali. Berusahalah!

Badanku yang langsing kurenung. Aku berjaya menguruskan badan selama setahun. Dari beratku 60 kg, aku dapat menurun berat sebanyak 20 kg. Wah! Pencapaian yang baik. Aku tersenyum sejenak sebelum bersedia untuk berlawan.

Prit!

Wisel ditiup. Center kumpulan kami yang bernama Mira pantas membaling bola pada Wing Attacks iaitu Umaira. Aku yang menjadi Goal Attack sudah bersedia berada di hadapan gol. Apabila pihak lawan membaling bola pada rakan sepasukannya, aku pantas bertindak dengan melompat tinggi menangkap bola itu.

Aku melemparkan bola itu kepada Umaira dan dengan sepantas kilat aku berlari ke arah gol. Umaira membaling bola ke arahku. Aku menangkapnya. Dengan pantas, aku membaling bola itu memasuki gol.

Goal Defend pihak lawan sudah melambai-lambai tangan cuba untuk mengelakkan bola itu daripada masuk. Bola itu terkena pada besi bulatan gol.

Aku menggigit kuku. Ahli sepasukanku yang lain memejam mata. Pasukan lawan pula terbeliak mata. Bola itu berpusing mengikut bulatan dan akhirnya bola itu terkeluar dari gol dan jatuh ke tanah.

Aku ternganga mulut. Pihak lawan pula bersorak gembira. Kami teruskan permainan. Banyak betul halangan, cabaran, dan rintangan yang perlu kami atasi untuk memasukkan satu bola ke dalam gol. Mukaku berpeluh. Matahari begitu terik.

Kami meneruskan permainan. Setelah 20 minit bermain, masih tiada gol yang dapat dijaringkan. Awan pula semakin mendung. Cuaca menjadi gelap. Aku menelan liur. Adakah akan hujan sebentar lagi?

“Syakira! Pass bola!” Mira menjerit. Aku tersedar dari lamunan.A pabila hendak membaling, bolaku sudah hilang. Rupa-rupanya ia terlepas dari tanganku. Oh, tidak!

Aku berlari ke arah Mira. Mukanya merah kerana menahan marah. Aku menelan liur.

“Maaf ya, Mira. Saya mengelamun,” kataku cuba memujuk simpati.

“Mengelamun semasa bermain? Yalah tu,” balas Mira. Dia meninggalkanku untuk terus bermain. Serentak dengan itu, hujan pun turun dengan lebatnya. Aku memejam mata. Apabila membuka mata. Aku melihat bola tersebut menuju ke arahku.

Aku pantas menangkapnya. Aku membalingnya ke dalam gol. Bola itu terkena palang dan terus masuk ke lubang dan ia terus jatuh ke tanah.

“Gol!” Aku menjerit gembira. Ahli sepasukan aku pun turut menjerit sama.Aku berpaling. Semua ahli pasukan memelukku. Miralah yang paling erat memelukku. Aku tersenyum.

Pada pusingan kedua, kumpulan kami sudah mendapat tiga gol. Semuanya dijaringkan oleh aku. Semangatku kian membara. Hari ini, aku terasa suatu kelainan. Kelainan yang tidak dapat dirasai ketika sukan-sukan pada tahun lalu. Aku mengulang tayang sejarah silam sukanku dalam memori. Dulu aku gemuk, aku tidak boleh buat apa-apa. Kini, aku sudah kurus. Aku pasti boleh lakukannya.

Prit!

Wisel berbunyi tanda masa sudah tamat. Aku mengalirkan air mata. Aku tidak sangka, dalam masa 20 minit permainan pusingan kedua, aku boleh mebuat sebanyak lapan gol. Rekod terbaru bagiku. Aku mengangkat tangan tanda bersyukur pada Yang Maha Esa.


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: