Certot

Sedihnya Diri Ini

Hasil nukilan Azyan Najihah3 years agoSukan 37

Pon! Pon!

Kedengaran jelas suara hon walid yang berada di halaman rumah. Setelah mendengar bunyi hon tersebut, aku segera mengambil beg sekolahku lalu menyarung kasut sekolah yang berwarna putih bersih itu. Selepas menyarung kasut, aku berlari anak menuju ke kereta walid kerana tidak mahu walid menunggu lama di dalam kereta. Selepas memasuki ke dalam kereta walid, aku menutup pintu dengan rapat. Kereta mewah tersebut terus memecut laju menuju ke sekolahku.

Namaku Misha Nur Lyhana binti Daro’ Azmirul Shah. Kini, sudah genap enam bulan aku menuntut ilmu di Sekolah Kebangsaan Bandar Maharani tidak kira dalam bidang pembelajaran atau kokurikulum. Aku sentiasa bersemangat untuk menjadi murid yang berdisiplin.

Ummi sudah lama meninggalkan aku dan walid sejak dua tahun yang lalu. Walaupun perasaan sedih menyelubungi diri kerana kehilangan ummi yang tercinta, aku cuba untuk menjadi manusia yang tabah dan redha dengan segala ujian dan dugaan yang telah menimpa diriku. Walid selalu berpesan kepadaku agar tabah dengan dugaan yang diberi oleh Allah kepadaku. Walaupun ummi pergi tanpa melihat kejayaanku, tetapi aku tahu ummi sentiasa berada dalam hatiku. Aku rela jika Allah ingin mengambil ummi.

*****

Kring! Kring!

Kedengaran loceng menandakan waktu rehat bagi tahap dua sudah berbunyi. Dari jauh, aku melihat Azirah dan Hanees sedang setia menungguku di kantin.

“Lambatnya Cik Misha kita ni datang kan, Hanees,” ujar Azirah dengan nada yang sedikit memerliku sambil menjeling ke arah Hanees.

“Yalah .Betul tu,Azirah,” jawab Hanees sambil memandang ke arah Azirah.

Aku hanya ketawa kecil melihat gelagat dua orang sahabat baikku itu.

“Maaflah, wahai Cik Azirah dan Cik Hanees.”

“Hmm… yalah maaf diterima wahai Cik Misha,” jawab Azirah.

Setelah kami berbual hanya beberapa minit, aku segera beratur untuk membeli makanan kerana bimbang barisan akan menjadi panjang bagi barisan palajar perempuan.

*****

Selepas waktu rehat, pelajaran seterusnya yang dipelajari ialah mata pajaran Sains, yang diajar oleh Cikgu Alfida.

Ketika itu, Cikgu Alfida membuat satu pengumuman yang sangat penting.

“Baiklah semua, cikgu ingin membuat satu pengumuman yang penting sebelum kita meneruskan sesi pembelajaran. Cikgu ingin mengatakan bahawa sekolah kita akan mengadakan Hari Sukan Tahunan pada dua minggu akan datang. Cikgu berharap kamu semua dapat membuat persediaan yang secukupnya sebelum hari sukan tiba. Cikgu mahu semua rumah sukan dapat memberikan yang terbaik dan dapat memenangi dalam semua acara.”

Kami semua hanya mendengar dengan tekun pengumuman yang disampaikan oleh Cikgu Alfida. Setelah mendengar pengumuman tersebut, kami meneruskan sesi pembelajaran.

*****

Akhirnya, hari yang dinantikan oleh murid-murid dan juga diriku telah tiba. Hari Sukan Tahunan yang akan dijalankan pada hari ini sungguh meriah dengan sorakan daripada para pelajar.

Aku berjalan munuju ke arah rakan-rakanku untuk bertemu. Sedang aku berjalan, aku merasakan diriku sudah berada di atas lantai dan kakiku amat sakit ketika itu. Rakan-rakanku yang melihat aku terjatuh di atas lantai, terus menuju ke arahku dan terus menolongku untuk bangun. Aku melihat Cikgu Yasmin dan Cikgu Alfida sedang menolongku bersama rakan-rakanku. Tiba-tiba aku merasakan pandangan di sekelilingku menjadi gelap dan tidak dapat melihat apa-apa.

*****

Aku melihat keadaan di sekelilingku. Aku merasakan keadaan di sekelilingku seperti aku kenal. Rupanya aku berada di dalam bilikku. Aku melihat walid berada di sisiku.

“Misha sayang, kamu dah sedar?”

“Ya, walid. Apa yang sudah terjadi pada Misha, walid?”

“Kamu terjatuh di sekolah tadi dan kaki kamu terseliuh. Kamu juga pengsan kerana terlalu sakit. Selepas itu, Cikgu Alfida menelefon walid untuk membawa kamu ke hospital dan sekarang, kamu berada di rumah. Doktor mengatakan kaki kamu itu lama untuk sembuh. Jadi, doktor berikan kamu cuti seminggu.”

Aku terkejut apabila walid mengatakan bahawa aku akan cuti selama seminggu. Dan pada seminggu itu, akan berlangsungnya Hari Sukan Tahunan di sekolah. Aku ingin menyertai acara tersebut. Air mataku mula bergenang.

“Betulkah Misha akan cuti selama seminggu, walid?”

“Ya, sayang. Kamu akan cuti selama seminggu. Walid tahu kamu ingin menyertai Hari Sukan Tahunan di sekolah kamu itu, tetapi tidak ada rezeki untuk kamu, sayang. Semuanya sudah tertulis untuk kamu. Kamu harus redha,” jawab walid.

Walid meninggalkan aku seorang diri di dalam bilik. Air mata yang tadi bergenang, kini turun dengan perlahan dan telah membuatkan wajahku hampir keseluruhan basah dek kerana air mata yang turun.

Menangislah aku seorang diri di atas katil dengan teresak-esak.

‘Ya Allah, aku redha dengan dugaan dan ujian yang engkau berikan padaku ini. Walaupun terasa sakit dan kecewa, aku redha dengan ujian yang engkau berikan ini. Sesungguhnya apa yang telah terjadi telah tertulis untuk diriku dan ada hikmahnya. Aku redha Ya Allah.’

“Jadikan hambamu ini kuat dan tabah dalam menghadapi ujianmu ini Ya Rabb,” kata-kata yang diucapkan olehku membuatkan air mataku turun lagi.

Menangislah aku seorang diri di atas katil. Sedihnya diri ini.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: