Certot

Sayang Abah

Hasil nukilan Dina Nasuha 2 years agoFiksyen

“Bukannya aku tidak sayang abah, tetapi aku cuma kecil hati bila abah marah aku.” 

“Apa yang kau sudah buat semalam?” soalan Aniq membuatkan aku terkesima. Bagi aku apa yang aku buat semalam bukanlah satu perkara yang membahayakan. Cuma agak ekstrem juga.

“Aku sudah cakap dengan kau jangan layan mereka, tetapi kau layan juga. Tengok apa jadi. Sekarang kau yang susah. Sudahlah kena kaunseling, kemudian mak dan abah kau pun marah kau. Mereka penat kerja cari duit  hantar kau ke sekolah, jadi anak yang berguna, tetapi ni yang kau buat? Aku kecewa dengan kau, Hilmi. Janganlah kau rosakkan diri kau dengan perkara begitu.” 

Aku hanya diam mendengar Aniq meluahkan rasa kecewanya di hadapan aku. Aku tahu ramai yang tidak sangka aku akan lakukan perkara sedemikian. 

*****

Aku termenung memikirkan peristiwa semalam. Kalau bukan disebabkan cabaran daripada Hariz, pasti aku tak akan melakukan kerja tidak betul itu. 

“Kalau kau hebat dan lelaki sebenar, aku cabar kau hisap sebatang rokok ni sampai habis. Itupun kalau kau beranilah.” Dialog itulah yang menyebabkan keberanian aku melampaui batas. Aku rasa seperti direndahkan oleh Hariz dan dua orang lagi rakannya. 

Sejak mereka tahu aku pernah terlihat mereka panjat pagar belakang sekolah, hidup aku tidak aman. Ada saja yang mereka ugut pada aku. Semakin hari semakin menjadi-jadi dan mereka ajak aku sekali. Aku tidak mahu, tetapi aku dipaksa.

Walaupun takut, tetapi aku hisap juga rokok itu. Waktu itu aku cemas sangat. Macam-macam kemungkinan yang buruk bermain dalam fikiran aku dan memang nyata ia terjadi.

Seorang pengawas melaporkan hal itu kepada guru disiplin setelah terhidu asap rokok di belakang sekolah. Abah amat marah kepadaku sehingga aku diberi ‘hadiah’ empat sebatan. Aku juga tidak dibenarkan pergi ke mana-mana selepas pulang dari sekolah. Selama dua minggu aku ‘didenda’. 

*****

Sudah lima tahun berlalu. Apabila aku teringat pada kisah lama, pasti fikiranku melayang kepada arwah abah. Abahlah wiraku selamanya. Dia jugalah yang mengajar aku menjadi lebih berdisiplin. Selain itu, abah juga banyak mengajarku erti kasih sayang. 

Terima kasih kepada abah atas segala jasa yang abah berikan kepada Hilmi. Semoga abah tenang di sana.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: