Certot

Sahabat terbaik

Hasil nukilan Nur Hidayah 2 years agoFiksyen 34

   Mimi selalu berkeseorangan. Di sekolah tiada siapa yang mahu berkawan dengannya. Mungkin kerana dia datang dari keluarga yang miskin.

Suatu hari, ketika Mimi mahu pulang ke rumahnya selepas tamat waktu sekolah, dia terlihat seekor anak kucing di tengah jalan.

‘Eh, ada kucinglah. Tapi bahaya kucing ni dekat tengah jalan. Apa aku nak buat?’ soal Mimi dalam hati.

Tiba-tiba….

Pin! Pin! Pin!

“Alamak, kucing tu!” teriak Mimi.

Dia segera berlari ke arah kucing itu dan membawa kucing itu ke tepi jalan sebelum dilanggar.

“Eh, awak okey?” soal seorang budak perempuan di hadapan Mimi.

“Okey,” jawab Mimi.

“Comel, kenapa comel lari lagi? Kan bahaya. Tengok tadi, hampir-hampir kena langgar,” kata budak perempuan itu sambil memegang kucing yang diselamatkan Mimi.

“Err… itu… kucing awak?” soal Mimi.

“Ya, ini kucing saya. Terima kasih ya sebab selamatkan Comel,” kata budak perempuan itu.

“Sama-sama. Saya balik dulu,” balas Mimi.

~~~~~~~~~~~~~~~

Keesokannya di sekolah….

“Bangun, assalamualaikum cikgu,” ucap Wan selaku ketua kelas diikuti murid-murid lain.

“Waalaikumussalam, duduk semua. Hari ni, cikgu nak kenalkan dua orang murid baru. Silakan masuk,” pelawa Cikgu Nor.

“Assalamualaikum, nama saya Nur Aqilah binti Mohd Asyraf. Saya berasal dari Kedah,” kata murid pertama.

“Nama saya, Tengku Emma Kyra binti Dato Arif. Saya dulu tinggal dan bersekolah di Perancis,” kata murid kedua dengan sedikit nada yang sombong.

Semua murid yang mendengar pengenalan diri murid kedua itu terlopong. Mereka pasti murid kedua itu ialah orang kaya.

“Baiklah, Aqilah awak duduk sebelah Mimi. Emma awak duduk sebelah Afira,” kata Cikgu Nor.

Mereka berdua segera mengambil tempat masing-masing.

“Eh, awak kan yang selamatkan kucing saya?” tanya Aqilah.

“Ya,” jawab Mimi.

“Terima kasih. Awak memang baik,” balas Aqilah sambil tersenyum.

Kring! Kring!

Semua murid berpusu-pusu keluar untuk rehat. Hanya Mimi sahaja yang berada di dalam kelas.

“Mimi, awak tak rehat dengan kawan-kawan awak?”

“Err… saya bawak bekal. Lagi satu, saya tak ada kawan,”  jawab Mimi.

“Kenapa awak tak ada kawan?” soal Aqilah lagi.

“Sebab saya miskin,” jawab Mimi perlahan.

“Kalau macam tu, biar saya jadi kawan awak. Tak kiralah awak kaya ataupun miskin sebab saya nak jadi sahabat terbaik yang pernah awak ada,” kata Aqilah dengan gembira.

“Terima kasih, Aqilah,” ucap Mimi sambil tersenyum.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: