Certot

Sabarlah, Mira

Hasil nukilan Alia Irdina 2 years agoSukan 18

  Tangisan Mira semakin surut. Tapi sedu-sedannya masih lagi bersisa. Mira duduk di birai katil. Peristiwa tadi terbayang di matanya umpama skrin televisyen.

 “Abah kata tak boleh, Mira jangan cuba-cuba nak masuk pasukan hoki tu. Bahaya!” Tinggi suara Encik Rizwan apabila satu-satunya anak perempuan kesayangannya bersuara untuk menyertai pasukan hoki sekolahnya.

“Abah, cikgu kata kalau kita berlatih betul-betul hoki ni bukannya sukan yang bahaya.” Mira masih mengharap agar hati abahnya lembut mendengar alasannya.

 “Abah kata tak boleh, tak boleh! ” tempik Encik Rizwan lalu bangun meninggalkan Mira.

*****

  Mira termenung sambil matanya tak lepas-lepas memerhatikan rakan-rakannya berlatih di padang sekolah. Walaupun hatinya meronta-ronta hendak menyertai mereka, tapi kata-kata abahnya memadamkan segalanya.

  “Amira, betul kamu tak mahu sertai pasukan sekolah? Kamu sangat berbakat dalam sukan ni, sayanglah kalau kamu tak asah bakat kamu lagi,” tanya cikgu Farahanim yang juga merupakan jurulatih pasukan hoki sekolah mereka.

  “Tapi kalau bapa kamu dah kata begitu, cikgu tak boleh buat apa-apa. Tapi jika kamu berubah fikiran, cikgu tetap akan terima kamu dalam pasukan,” kata Cikgu Farahanim apabila Mira menerangkan keadaan sebenar penarikan dirinya dalam pasukan hoki sekolah.

  Encik Rizwan memandang anak gadis kesayangannya dari dalam kereta. Setiap petang, apabila menjemput Amira, hatinya menjadi sayu apabila melihat Amira memerhatikan rakan-rakannya berlatih di padang. Terlintas di fikirannya, adakah yang dilakukannya itu betul. Encik Rizwan memandang ke arah kakinya. Ya, kakinya tak sempurna seperti orang lain. Kakinya capik. Ada kisah di sebaliknya.

*****

  “Mira,” panggil Encik Rizwan ketika Amira leka menyiapkan kerja sekolah di biliknya. Encik Rizwan menghulurkan satu bungkusan kepada anak kesayangannya itu. Mira kehairanan.

“Mira anak abah yang baik dan taat. Abah sebenarnya berat hati nak benarkan Mira sertai pasukan hoki tu bukan sebab abah tak suka sukan tu. Tapi… sebab ni.” Encik Rizwan menunjukkan kakinya. Mira terdiam. Ya, sudah lama abahnya berjalan terhencot-hencot tapi bila ditanya kenapa, abah mahupun mamanya tidak pernah menceritakan kisah sebenar.

 “Kaki abah cedera sebab main hoki. Dulu abah wakil hingga ke peringkat kebangsaan. Abah aktif dalam permainan ni. Tapi, hanya kerana satu kemalangan ketika pertandingan, abah langsung tak boleh bermain lagi. Semangat abah turut hilang.” 

Amira terkejut mendengar penjelasan bapanya itu. Tidak sangka, bapanya dulu seorang pemain hoki.

  “Bila abah tengok Mira perhatikan kawan-kawan berlatih setiap hari, baru abah sedar, abah tak patut sekat minat Mira. Hmmm… Mira tengoklah apa yang ada dalam bungkusan tu.” 

Amira membuka bungkusan pemberian abahnya itu. Sebatang kayu hoki! Amira memeluk abahnya. Air matanya bergenang.

“Tu  kayu hoki kesayangan abah. Mira jaga baik-baik,” pesan Encik Rizwan.

 “Terima kasih abah kerana faham minat Mira.” Mira mengesat air matanya. Hatinya bersyukur kerana doa dan kesabarannya akhirnya terbalas juga.

*****

  Petang itu, Mira tidak duduk memerhatikan rakan-rakannya seperti biasa. Hari ini, Amira Raihana binti Rizwan turut sama di padang berlatih bersama-sama rakan yang lain. Lebih istimewa, dia bertemankan kayu hoki, hadiah istimewa dari abahnya. Di bangku tempat Mira selalu duduk itu, kini diisi oleh Encik Rizwan. Dia tersenyum bangga. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: