Certot

Ratu Hatiku.

Hasil nukilan Angah 1 year agoSuperhero

Hadi seorang pelajar yang pintar. Dia bersekolah di SK Dato’ Kelana Petra. Daripada Hadi tahun satu dia selalu mendapat tempat pertama di dalam kelas. Ini menyebabkan Hadi berasa malas untuk mengulang kaji pelajarannya. Puas gurunya menasihatinya, namun sikapnya tetap tidak berubah.

Pada waktu petang, Hadi suka bermain bola sepak bersama kawan-kawannya. Pada waktu malam pula, Hadi suka bermain permainan komputer. Kini Hadi sudah berada di tahun enam. Keputusan pelajarannya semakin merosot. Hadi menjadi semakin malas dan tidak mendengar kata. Hadi lebih suka bermain daripada belajar.

“Hadi, ibu tengok kamu ni kurang mengulang kaji. Peperiksaan UPSR sudah makin hampir,” kata Puan Rohani, ibu Hadi.

“Jangan risau ibu, walaupun Hadi ini kurang mengulang kaji, ujian bulanan bulan lepas, Hadi dapat nombor enam dalam kelas,” balas Hadi bersahaja.

“Hadi, kamu jangan sombong], bukankah semua nikmat ilmu itu daripada Allah. Bila-bila sahaja Allah boleh tarik kembali,” balas ibunya dengan nada yang lembut.

****

Seminggu sebelum peperiksaan awal tahun.

Hadi berasa sangat yakin dia akan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan awal tahun. Hadi tahu bahawa dia seorang pelajar yang pintar. Kawan-kawannya sering memujinya.

“Hadi, marilah main bola, kami tidak cukup orang mahu main. Kau itu budak pandai. Tidak perlu ulang kaji pun boleh dapat keputusan yang baik,” puji seorang daripada kawannya. Kawan-kawan Hadi yang lain mengiyakan.

‘Betul juga, selama ini aku tidak ulang kaji pun tetapi aku tetap dapat keputusan yang baik,’ bisik Hadi dalam hati.

Akhirnya Hadi termakan hasutan rakannya.

****

Hari keputusan peperiksaan awal tahun.

Hadi mendapat 4B 2C. Puan Rohani dipanggil oleh guru kelasnya Ustazah Fatimah .

“Puan Rohani, saya sudah beri pelbagai nasihat untuk menjadikan Hadi lebih bersemangat. Saya tahu Hadi seorang pelajar yang pintar. Cuba puan beri semangat sedikit kepada Hadi. Akhir tahun ini dia akan menduduki peperiksaan UPSR,” kata Ustazah Fatimah.

“Dia pelajar harapan kami,” tambah Ustazah Fatimah lagi.

Merah padam muka Puan Rohani selepas mendengar nasihat Ustazah Fatimah. Puan Rohani tidak menyangka bahawa keputusan pelajaran anaknya semakin merosot. Apa tidaknya semasa peperiksaan hujung tahun darjah lima, Hadi berjaya mendapat keputusan 6A.

****

“Hadi, mulai hari ini ibu tidak izinkan Hadi keluar bermain bola pada waktu petang. Permainan komputer pun ibu hanya benarkan dua jam sahaja pada hujung minggu,” kata Puan Rohani dengan tegas.

“Ibu sudah berbincang dengan majikan ibu untuk pulang awal setiap hari. Ibu sendiri akan mengajar Hadi setiap kali selepas tamat waktu persekolahan,” tambah Puan Rohani lagi.

“Baiklah, ibu,” balas Hadi sambil tunduk ke lantai. Hadi tidak berani untuk membantah arahan ibunya.

Semenjak itu, Hadi akan terus pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan. Di rumah, Puan Rohani akan mengajar Hadi mata pelajaran yang agak susah. Hadi juga banyak membuat latih tubi dalam setiap mata pelajaran.

Di hujung minggu pula, Puan Rohani akan menghantar Hadi ke kelas tambahan dan kem-kem motivasi. Walaupun kelas tambahan dan kem-kem motivasi ini agak mahal yurannya, Puan Rohani percaya biarlah harta dan tenaga dikorbankan demi masa hadapan anak-anaknya.

Hadi juga semakin bersemangat untuk belajar dan memberi tumpuan di dalam kelas. Semenjak Hadi mula memberi tumpuan di dalam kelas, semua pelajaran yang di ajar oleh guru-guru senang difahami. Dia juga gembira kerana ibunya sering memberi tumpuan kepadanya.

*****

Pagi itu, hati Puan Rohani berbunga-bunga mendapat mesej dari Ustazah Fatimah.

<Ustazah Fatimah> “Puan Rohani, nampaknya Hadi sudah semakin bersemangat di dalam kelas.”

<Puan Rohani> “Alhamdulillah, saya berharap Hadi akan terus bersemangat sehingga peperiksaan UPSR. Terima kasih kerana sering menasihati Hadi.”

****

Hari peperiksaan UPSR .

Hari ini bermula peperiksaan UPSR. Hadi berasa gentar. Dia risau dia tidak dapat menjawab soalan peperiksaan kelak.

“Ibu, Hadi risaulah. Bagaimana kalau Hadi lupa apa yang sudah Hadi pelajari? Hadi tidak mahu ibu dan guru-guru kecewa dengan Hadi,” kata Hadi dengan rasa bimbang.

Puan Rohani sebak mendengar luahan hati anaknya. Dia terus memeluk Hadi dengan erat.

“Hadi, jangan risau. Ibu berbangga dengan usaha yang telah Hadi tunjukkan. Ibu juga akan sentiasa mendoakan Hadi agar tenang semasa menjawab peperiksaan. Hadi perlu yakin, Allah sentiasa membantu hamba-hamba-Nya yang berusaha,” nasihat Puan Rohani dengan nada yang sayu.

Di dalam dewan peperiksaan, Hadi membaca doa agar dipermudahkan menjawab soalan. Kemudian Hadi mula menjawab soalan dengan tenang dan lancar.

****

Hari keputusan peperiksaan UPSR.

Hadi dan ibunya pergi ke sekolah untuk mengambil keputusan UPSR pada awal pagi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar terutamanya pelajar yang berjaya mendapat keputusan 6A pada peperiksaan UPSR kali ini,” Guru Besar, Encik Abdullah memulakan ucapannya.

“Saya juga ingin mengumumkan pelajar terbaik sekolah kita pada tahun ini ialah Muhammad Hadi bin Abdul Rahman. Beliau bukan sahaja berjaya mendapat keputusan 6A, Hadi juga telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik dalam Daerah Seremban,” Encik Abdullah menyambung ucapannya.

Puan Rohani memeluk anak kesayangannya.

“Tahniah sayang. Ibu bangga dengan Hadi. Semoga ini menjadi pendorong Hadi untuk berusaha di masa akan datang,” kata Puan Rohani sambil mengusap rambut Hadi dengan lembut.

“Terima kasih ibu kerana menyedarkan Hadi dari kelalaian. Hadi tidak dapat membalas jasa ibu,” balas Hadi. Air mata Hadi mengalir.

‘Ibu, engkaulah ratu hatiku,’ bisik hati kecil Hadi.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: