Certot

Rara

Hasil nukilan Laila Lyana 2 years agoFiksyen 83

Hai semua! Nama kita Rara, nama penuh kita, Zara Amira. Kita tak suka orang panggil kita Zara, Amira, Mira, Ira, Ara, Ami, atau apa-apa saja macam itu. Kita ini, istimewa sangat!

Bibik kita cakap, kita ada penyakit. Penyakit yang tak sakit, pelik bukan? Kalau tak sakit bukan penyakit. Kita ada penyakit, automatik! Eh, bukan! Autis… tik! Susah betullah nak sebut. Benci, benci, benci!

Pst! Kita rasakan, mama dan papa tak sayang kita. Sedihnya….

Nak tahu kenapa? Mama dan papa selalu panggil kita budak cacat. Kita tak cacatlah! Kalau kita cacat, kenapa ada kaki tangan? Kenapa boleh bercakap? Kenapa boleh mendengar? Peliklah mama dengan papa ini.

Kita teringin nak ada kawan… tetapi tak ada siapa nak kawan dengan kita. Mereka cakap, kita gila. Sedihnya….

Yang sayang kita cuma nenek, bibik, dengan Aunty Nisa’. Tetapi sebab Aunty Nisa’ sayang kita, dia putus kawan dengan mama. Mama kata, Aunty Nisa’ tak relevan. Relevan itu apa agaknya? Teringin nak tahu.

Tetapi paling penting, Allah sayang kita. Sebab kita istimewa. Jangan cemburu!

Kita tak suka tengok orang yang lalu depan rumah ini. Suka buang sampah merata-rata! Mereka buang sampah ikut suka hati, macam mereka seorang saja yang hidup dekat bumi ini. Bila kita tegur, mereka ugut nak pukul kita. Kita tak nak kena pukul.

Kita ada kakak dengan abang, semua dah besar panjang. Macam galah, hikhikhik! Tetapi mereka tak tahu, yang kita adik mereka. Mereka ingat kita anak Aunty Nisa’. Tapi Aunty Nisa’ mana ada anak. Mereka suruh kita ambil air. Tapi kita seronok walaupun cuma suruh ambil air. Sekurang-kurangnya mereka nak cakap dengan kita.

Sampailah satu hari….

Kita tak pernah rasa sedih macam ini. Kenapa semua menangis? Kenapa mama dan papa minta maaf? Kenapa abang dengan kakak menangis? Kenapa Aunty Nisa’ tak nak pandang muka kita?

Aunty Nisa’ cakap, kita ada kanser perut. Mama kita kata, kalau kita kuat semangat, dia akan sayang kat kita. Dia ajak kita pergi taman! Tetapi kita tetap rasa sedih… dan kita rasa perut kita sakit sangat.

Kita tak takut. Kita tahu, ini aturan terbaik untuk kita daripada Allah. Sudah sampai masa kita.

Bye semua! Kita minta diri ya? Ada jodoh, kita cerita lagi.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: