Certot

Princess of Persia (no fight version)

Hasil nukilan I-man 2 years agoSuperhero 63

   Tersebutlah kisah tentang puteri yang cantik yang tinggal di sebuah kota besar di Parsi. Ayahnya, Raja Fereder sedang runsing untuk mencari teman hidup kepada puterinya. Kesemua pilihan ayahnya ditolak dengan alasan, dia tidak mahu berkahwin dengan lelaki miskin.

“Ferlia tidak mahu berkahwin dengan Jack! Dia busuk, kotor, dan miskin!” bentak Puteri Ferliana kepada ayahnya. Dahi ayahnya berkerut. Ditambah lagi dengan umurnya yang sudah lanjut, dahinya kelihatan berkerut seribu.

“Haih… habis itu, kesemua pilihan ditolak. Siapa lagi yang boleh diterima? Jika semua orang pun kamu tolak, kamu pilihlah ikut mana yang kamu suka,” soal Raja Fereder. Dia kelihatan berputus asa. Dia tiada pilihan lain selain membenarkan anaknya memilih mengikut hatinya.

“Baiklah, jika begitu. Ferlia mahu berkahwin dengan Putera Razien.” Dengan tanpa rasa malu, Puteri Ferliana memberitahu nama pilihan dirinya. Raja Fereder terkejut dengan pilihan yang diberikan.

“Tidak, Ferliana. Tidak sama sekali. Dia seorang putera yang tamak dan bongkak. Ayah tidak akan benarkan kamu berkahwin dengan dia!” tegas Raja Fereder. Puteri Ferliana mula berasa tidak puas hati.

“Apa salahnya? Dia orang kaya, kacak, dan berkuasa,” soal puteri Ferliana. Lantas, kisah bertelagah antara anak dan ayah itu berlanjutan.

“Anak derhaka! Jika ayah tidak izinkan, maka maksudnya tidak boleh!” marah Raja Fereder dalam nada menjerit. Ratu Zabieth hanya melihat mereka berdua bertelagah melalui celahan pintu.

“Tadi, ayah juga yang telah memberi izin untuk saya memilih mengikut hati saya!” balas Puteri Ferliana dengan nada yang tinggi. Hati Ratu Zabieth bagaikan tercalar melihat perangai anaknya.

“Dengar saja kata ayah! Jangan melawan! Buruk padahnya jika kamu melawan cakap ayah!” tegas Raja Federer. Setelah lama dia manjakan anaknya, inilah kali pertama dia bertengkar dengan anaknya.

“Saya benci ayah!” jerit Puteri Ferliana, lantas berlari keluar dari biliknya. Ratu Zabieth hanya melihat anaknya pergi. Puterinya menjauh dan makin menjauh dari dirinya. Entah mengapa terasa sebak di hatinya bertukar menjadi pedih. Pedih hingga tidak mampu untuk memendamnya.

“Mengapa dia begitu?” soal Ratu Zabieth kepada Raja Fereder

“Itu semua salah kita juga. Kita terlampau manjakannya. Sebab itu dia berani melawan kata-kata saya,” balas Raja Fereder sedih.

“Mengapa tidak biarkan sahaja dia itu?” soal Ratu Zabieth lagi.

“Bukan saya tidak mahu biarkannya, jika saya berikan calon yang baik, dinilai buruk pula. Jika dia sendiri yang pilih, dia pilih yang buruk perangainya pula. Jika diteruskan, dia tidak akan dapat pasangan sekiranya perkara ini berterusan. Dan saya juga tidak lama lagi akan pergi. Sebab itu saya mahu dapatkannya pasangan yang baik segera,” balas Raja Fereder panjang lebar. Kemudian, kedua-duanya senyap tidak berkata apa-apa.

Puteri Ferliana berlari anak menuruni tangga. Dia melepasi satu demi satu tingkat. Matanya seperti kolam. Air mata membasahi pipinya. Setelah beberapa ketika, dia sampai ditingkat yang adanya jalan untuk keluar dan masuk.

Puteri Ferliana tidak terus menuju ke pintu pagar. Langkah kakinya menuju ke gudang kuda. Dia mengambil Ramsey, kuda kesayangannya.

“Mari Ramsey, ikut sini. Kita akan keluar dari istana dan melarikan diri,” kata Puteri Ferliana kepada Ramsey walaupun dia tahu kuda itu tidak faham akan kata-katanya. Kuda itu memecut selaju yang mungkin melepasi pintu masuk istana.

“Hei! Berhenti! Mana kau mahu pergi!” jerit pengawal pagar apabila Ramsey berlari melepasi pintu masuk utama.

“Seorang penunggang kuda dan seekor kuda keluar dari pintu utama istana, tuanku. Apa perlu kita buat?” soal pegawai istana kepada Raja Fereder. Raja Fereder yang sedang berdiri memandang tingkap menolehkan kepalanya kepada pegawai itu.

“Ferliana…,” kata Raja Ferderer sambil membuat muka terkejut yang selalu ditayangkan didalam drama sinetron beserta bunyi-bunyian khas.

Langit yang membiru dan cerah mula bertukar kepada malam yang gelap. Waktu senja menjelma. Puteri Ferliana duduk diatas rumput sambil menikmati pemandangan matahari terbenam yang indah.

“Alangkah indahnya, jika menjadi seperti matahari terbenam. Sentiasa cantik. Bukankah begitu, Ramsey?” soal Puteri Ferliana sambil tersenyum. Ramsey lantas menjilat pipi puteri Ferlina.

“Ish! Apalah Ramsey ini! Janganlah! Hahahaha!” gelak Puteri Ferliana melihat gelagat Ramsey. Tanpa disedari, matahari tidak kelihatan tetapi masih terdapat sisa-sisa cahayanya.

Siang bertukar malam, keadaan yang gelap memaksa puteri Ferliana membeli lampu di kedai berhampiran. Dia memutuskan untuk pergi ke rumah Putera Razein. Disebabkan istana putera Razein terletak jauh dari lokasinya, Puteri Ferliana memilih untuk melalui jalan pintas.

“Ish, seram pula jalan gelap ini,” kata Puteri Ferliana seram sejuk. Asalnya, lorong ini digunakan untuk membawa kerabat raja di kota Putera Razein yang terselamat ke kota Raja Federer ketika peperangan. Tetapi, disebabkan peperangan sudah lama tidak berlaku, lorong ini dikunci. Nasib baik Puteri Ferliana sempat mengambil kuncinya di istana siang tadi.

Setelah setengah jam berlalu, lorong ini masih ada separuh lagi untuk sampai ke Kota Sefra, kota Putera Razein. Puteri Ferliana terasa seperti dirinya diekori. Rasa tidak sedap hati pun ada juga. Tetapi apabila dia menoleh kebelakang, tiada sesiapa pula.

“Siapa itu!? Jawablah! Jangan main-main,” soal Puteri Ferliana. Dia percaya ada seseorang mengekorinya, namun hatinya tetap berkeras mengatakan tiada sesiapa di situ.

Dia menoleh semula ke hadapan. Tanpa disedari, seseorang datang dari belakang dan menutup mulut Puteri Ferliana. Matanya juga ditutup. Bunyi kuda sedang merengus juga kedengaran jelas di hadapannya.

“Tolong!” jerit Puteri Ferliana. Tetapi tiada seorang pun akan mendengar jeritan seorang Puteri yang berada di tengah lorong yang panjang dan gelap di waktu semua orang sedang terlena. Maka, misi bagi penjahat tersebut untuk menculik puteri, berjaya.

Malam bertukar siang pula, kicauan burung kedengaran ditaman istana. Seorang pengawal berlari menaiki anak tangga. Sudahlah bilik raja terletak di tingkat yang paling tinggi, penat pengawal itu bersenam dengan menaiki tangga.

“Tuanku! Puteri tuanku dalam bahaya!” beritahu pengawal itu dalam keadaan cemas sambil menghulurkan sehelai kertas. Raja Fereder yang sejak tadi termenung menghadap tingkap terkejut dengan matanya terbeliak.

“Wahai Tuan Fereder, saya sudah menculik anak tuan yang merupakan puteri Kota Karzahan. Saya mahu wang tebusan. Jika tuan mahu anak tuan ini selamat walafiat, sila berikan wang tunai berjumlah 2.6 billion euro. Hantarkan jumlah wang yang saya mahukan dalam masa 24 jam dari sekarang! Terima kasih. Yang benar, anonymous.” Raja Fereder dan pengawal itu membaca teks yang tertulis di atas sebuah kertas manilla kad.

“Siapkan barangan beta, beta sendiri akan pergi selamatkan puteriku,” arah Raja Fereder. Pengawal itu kelihatan ragu-ragu.

“Bolehkah tuan selamatkannya?” soal pengawal itu.

“Mesti bolehlah. Jika tidak boleh, buat sehingga boleh. Bila kita percaya kita boleh, memang boleh jadi kita boleh. Bila kita boleh, katakan yang kita boleh macam kapten boleh,” balas Raja Fereder. lantas raja Fereder bersiap untuk ke Kota Sefra.

Selepas itu, bermulalah pengembaraan sang raja untuk menyelamatkan anaknya yang diculik. Raja Fereder sengaja memakai penututup muka dan baju pahlawan agar anaknya tidak mengetahui identiti sebenarnya.

Sesampainya Raja Fereder dihadapan sebuah istana lama. Anaknya berada di puncak teratas. Raja mula mengeluh apabila teringat tangga yang banyak untuk sampai ke puncak istana.

Raja Federer mula memasuki pintu utama dengan langkah senyap. Dia memasuki pintu istana. Kelihatan ruang yang luas, hiasan ukiran di dinding yang cantik, dan karpet merah yang masih bersih.

“Wah, nampak saja kecil di luar tetapi luas didalam! Istana aku pun tidak seluas ini. Terasa cemburu pula diriku ini,” kata Raja Fereder seorang diri.

“Ada tangga!” Raja Fereder menaiki tangga. Tingkat 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10, 11, 12 telah dilepasinya. Masih ada lagi separuh perjalanan untuk dilepasi. Raja Fereder mengambil keputusan untuk berehat seketika. Dia pelik, sudah separuh bangunan dinaikinya, tetapi tiada sesiapa pun yang dijumpainya.

“Eh, ada lift rupanya. Buat penat sahaja naik tangga 12 tingkat.” tiba-tiba raja Fereder ternampak pintu lift. Tanpa banyak soal, dia memasuki lift tersebut dan menekan punat bernombor 24.

“Wah, di luar, nampak sahaja seperti istana usang, tetapi di dalamnya ada lif! Canggih! Istana aku pun tiada lift ini. Huh! Sekali lagi terasa cemburu pula diriku ini,” kata raja Fereder seorang diri lagi. Orang tua ini patut pergi hospital, sentiasa sahaja bercakap seorang diri.

“Eh, tiada apa-apa pun. Cuma ada seorang lelaki bertubuh besar disini,” kata Raja Fereder seorang diri lagi apabila pintu lif terbuka. Seorang lelaki bertubuh sasa sedang berdiri menghadap pintu lif. Lelaki itu melangkah ke arah raja, raja lantas menekan punat untuk menutup pintu lif tersebut.

Pintu lif mula tertutup. Lelaki itu menahan pintu lift itu dari tertutup. Keadaan menjadi cemas. Lelaki itu membuka pintu lif itu dengan tangannya. Raja Fereder melalui celah kangkang lelaki itu. Raja kemudiannya berdiri dibelangkang lelaki sasa tersebut.

“Yakh! Tolak dia!” Raja Fereder lantas menolak lelaki itu masuk kedalam lif. Pintu lif tertutup segera. Terbahak-bahak Raja Fereder tertawa seorang diri. Dia melihat sebuah pintu. Hanya ada satu pintu di situ. Ia sebuah pintu kayu.

“Apa yang ada di sebalik pintu ini ya?” Raja Fereder memusingkan tombol pintu. Pintu kayu itu mula terbuka dan ada seorang lelaki yang kurus didalam bilik tersebut. Raja Fereder datang mendekat kepada lelaki kurus itu dan bertanya khabar. Lelaki itu tidak membalas tetapi dia bangun dan menghayunkan kakinya.

“Eh, apa kamu buat ini?” soal Raja Fereder apabila melihat lelaki kurus itu menghayunkan kakinya kedepan dan ke belakang. Lelaki itu berhenti seketika.

“Saya sedang buat senaman pagilah,” jawab lelaki kurus itu. dia lantas menuju ke Raja Fereder. Raja Fereder mula cemas dan menggeletek ketiak lelaki kurus itu. lelaki kurus itu lantas ketawa tidak henti-henti akibat kegelian. Akhirnya dia pengsan akibat terlampau geli.

Raja Fereder berjalan ke hadapan. dia ternampak sembuah pintu. Raja Fereder memusingkan tombol pintu yang ada dibilik itu pula. Kali ini, pintu yang diperbuat dari besi pula.

“Hmm… siapakah tuan hamba?” soal Raja Fereder melihat lelaki yang ada didalam bilik ketiga. Bajunya seperti penari dari Itali. Misainya panjang mencecah telinga. Rupanya seperti watak jahat dalam kartun Jack and the Neverland pirates!

“Nama diberi, Shakara Pulala. Ucapan selamat datang, pembuka tirai perbualan. Apa hajat tuan hamba ke mari?” balas Shakara. Bahasa yang dituturnya seperti penyampai pidato. Shakara kelihatan tidak bersenjata.

“Beta datang mahu menyelamatkan puteri beta,” terang Raja Fereder. Tangannya berpeluh memikirkan apa yang akan dilakukan oleh lelaki ini?

“Hasrat tuan hamba mungkin boleh dikecapi, tetapi langkah mayat hamba dahulu.” Shakara mula bersedia untuk menyerang.

“Perbuatan melangkah mayat adalah perbuatan yang tiada hormat. Sebagai seorang raja yang berjiwa kepimpinan, beta akan kalahkan tuan hamba melalui cara yang lembut,” balas raja Fereder. Mata Shakara tertutup rapat.

“Heh, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.” Shakara memulakan permainan.

“Jika takut dilanda ombak, jangan berumah ditepi pantai,” balas Raja Fereder.

“Dua, tiga, kucing berlari, mana nak sama si kucing belang,” balas Shakara.

“Eh, ini sudah lari tajuk. Hahaha! Tuan hamba kalah!” Raja Fereder terbahak-bahak mengelakkan Shakara yang kalah dari permainan. Shakara duduk mencangkung menghadap dinding sambil menangis.

Raja Fereder membuka tombol pintu terakhir. Pintu kali ini diperbuat dari berlian. Muka pintu mula terbuka sedikit demi sedikit. Puteri Ferliana yang kaki dan tangannya diikat beserta mulutnya ditutup dengan pita pelekat terkejut melihat seorang wira yang cuba menyelamatkannya.

Di hadadapan puteri Ferliana terdapat seorang yang amat dikenalinya. Ia putera Razien! Musuh dalam selimut itu menculik Puteri Ferliana agar Raja Federer memberikannya wang tebusan.

“Razein? Saya sudah agak, kamulah yang menculik puteri Ferliana!” kata Raja Fereder kepada putera Razein yang bongkak.

“Aku tidak kenal siapakah kau. Cuma aku mahu bunuh kau sahaja!” kata Putera Razein sambil cuba untuk berlawan, tetapi Raja Fereder cuba untuk tidak berlawan. Akhirnya, mereka berlawan osom sahaja.

Pertarungan osom itu berlanjutan sehingga langit mula bertukar jingga. Kedua-duanya penat berlawan osom selama empat minit tanpa henti. Puteri Ferliana yang kepenatan juga terus terlena.

“Sudahlah, saya sudah penat. Kita sama-sama duduk dan berehat sekejap, ya,” Putera Razein cuba berlakon. Raja Fereder hanya menggangguk tanda setuju. Mereka pun bersandar di dinding menandakan kepenatan mereka. Apabila Raja Fereder cuba untuk duduk, Putera Razein menyembur penyembur lada hitam ke arah muka raja Fereder.

“Aduh! pedihnya!” teriak Raja Fereder apabila matanya disembur penyembur lada hitam. Raja Fereder menggosok matanya berkali-kali barulah dia dapat melihat kembali. Raja lantas mengambil coklat kabery dan memberikannya kepada Putera Razein.

“Eh, coklat kabery! Terima kasih,” ucap Putera Razein apabila menerima coklat kegemarannya. Dia lantas berjalan kebelakang dengan sendiri akibat terlampau seronok. Tanpa disedarinya, dia makin kebelakang dan terjatuh keluar akibat terdapat lubang yang besar di dinding. Akhirnya, dia terjatuh kedalam kolam buaya ditepi istana dari tingkat atas.

“Ferliana, tidak apa-apa?” soal Raja Fereder kepada puterinya. Ikatan dan lilitan dibuka dari tangan dan kaki Puteri Ferliana.

“Aduh, sakitlah!” Puteri Ferliana menjerit sedikit apabila ayahnya membuka salotep dari mulutnya. Raja Fereder membuka topeng dan memeluk anaknya.

“Ayah?” soal Ferliana yang tidak percaya ayahnya yang menyelamatkannya. Kemudian, bala tentera dari Kota Karzahan datang membawa pulang Puteri Ferliana dan Raja Fereder dan menangkap putera Razein.

Akhirnya, Puteri Ferliana berjaya diselamatkan dan kejahatan Putera Razein tidak lagi berleluasa.

“Ayah, ayah tidak sakit pinggangkah ketika berlawan tadi?” soal Puteri Ferliana

“Aduh, bila kamu mengingatkan ayah fasal itu, ayah mula rasa sakit pinggang sekarang,” jawab Raja Fereder. Kemudian mereka ketawa didalam kereta kuda diraja itu.

“Eh, ayah, di mana Ramsey?” soal Puteri Ferliana yang baru teringatkan kudanya.

“Eh, yalah! Alamak! kita tertinggal Ramsey pula. pengawal! patah balik!” arah raja Fereder kepada pengawal-pengawalnya.

                                                -tamat-

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: