Certot

Pingat Emas Pertamaku

Hasil nukilan S. N. Zulaikha 3 years agoSukan 24

             

Namaku Hanani, murid cemerlang sekolah. Mendapat Anugerah Tokoh Nilam pada tahun lepas dan berjawatan sebagai Penolong Ketua Pengawas. Walaupun kelihatan sempurna, aku mempunyai kekurangan. Aku tidak pandai bersukan!

Sewaktu perhimpunan, aku terdengar pengumuman bahawa minggu ini diadakan latihan sukantara dan minggu hadapan diadakan Hari Sukan Sekolah. Murid-murid lain bersorak riang apabila mendengar pengumuman tersebut kerana tiada sesi pembelajaran. Sedikit pun aku tidak terasa teruja apabila mendengar pengumuman tersebut. Apa-apa yang berkaitan dengan sukan tidak diminatiku. Teringat sejarah hitam empat tahun yang lalu.

“Ke garisan, sedia… mula!” jerit cikgu yang bertugas.

             

Aku berlari selaju-lajunya.  Aku melihat ketujuh-tujuh persaingku berada di hadapanku. Aku cuba berlari dengan sedaya upaya sehingga ke garisan penamat. Aku mendapat tempat terakhir. Aku diejek dengan teruk. Semenjak itu, aku tidak lagi memasuki acara lumba lari.

*****

Aktiviti sukantara telah bermula. Sewaktu acara lompat tinggi, aku tidak dapat melepasi palang yang tinggi. Aku tidak dapat menyumbangkan mata kepada rumah merah, rumah sukanku. Begitu juga acara larian, lompat jauh dan juga yang mudah, lontar peluru. Begitu memalukan diriku yang berjawatan sebagai penolong ketua pengawas. Cikgu Shakirah selaku guru rumah merah menyapaku.

“Hanani, kamu ada menyumbang mata untuk rumah merah?”

“Tiada, cikgu. Walaubagaimanapun ,saya mahu sumbangkan mata untuk rumah merah. Biar rumah merah menang dan rumah hijau kalah!” bersungguh-sungguh aku beritahu.

“Mungkin cikgu boleh bantu kamu dengan masukkan apa-apa acara. Sukaneka boleh?”

“Saya takut, cikgu. Sudah lima kali berturut-turut rumah merah tidak menang emas, perak, ataupun gangsa, kami tidak pernah dapat!” Realitinya begitu. Kadang-kadang aku hampir berputus asa. Aku mendengus lemah.

“Tahun ini, kamu buatlah betul-betul. Janganlah berputus asa!” Suntikan positif daripada cikgu. Aku tersedar, aku sendiri belum pernah mendapat pingat.

*****

Hari ini Kejohanan Sukan Sekolah. Disebabkan aku hanya mengambil bahagian dalam sukaneka, aku membawa buku keluaran PTS dan dibaca di bawah khemah rumah merah. Asyik aku membaca hampir dua jam, rakanku memanggilku untuk acara sukaneka.

Aku bangun lalu menuju ke rakan sepasukanku. Walaupun hanya permainan sukaneka kelihatan mudah sahaja, aku tetap mementingkannya kerana boleh menyumbangkan mata. Aku menyusun strategi bersama rakan-rakan sepasukanku. Berlainan seperti dahulu.

Acara sukaneka bermula. Aku dan rakan sepasukanku bermain mengikut strategi yang dibincangkan tadi. Strategi kami berjaya! Kami berada di hadapan rumah lain. Tetapi mudah sahaja rumah hijau memotong kami. 

Kami mencuba sedaya upaya. Rumah merah berjaya ke garisan penamat dan memenanginya. Aku menjerit keriangan. Akhirnya, aku bukan sahaja dapat menyumbangkan mata, aku juga mendapat pingat sukan pertama dalam sejarah hidupku. Itulah pingat emas pertamaku!


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: