Certot

Pertandingan Nasyid

Hasil nukilan Amelia 2 years agoFiksyen 3

Hari Rabu, 30 Mac 2016.

Pada setiap hari Isnin hingga Rabu, perhimpunan mingguan akan diadakan di dataran sekolah. Semua pelajar wajib berkumpul di situ dan mereka tidak dibenarkan pergi ke mana-mana selama perhimpunan tersebut dijalankan melainkan dengan keizinan guru.

Nur Diana berdiri di baris keempat dari hadapan. Dia menahan kelenguhan kakinya yang berdiri sejak tadi. Hari ini tempoh perhimpunan agak lama sedikit kerana akan diadakan Kempen Menghargai Warga Emas.

Sebelum perhimpunan ditamatkan, pengerusi majlis menyampaikan satu pengumuman melalui mikrofon, “Perhatian! Pertandingan nasyid anjuran sekolah akan diadakan pada minggu hadapan. Pelajar boleh membentuk satu kumpulan nasyid dan ahli-ahlinya tidak lebih daripada lapan orang. Pelajar yang berminat boleh menghantar penyertaan kepada Amirul Farhan dari kelas 4 Ar-Razi bagi muslimin, Nur Saidatul Husna dari kelas 4 Muslim bagi muslimat. Semua kelas tingkatan satu wajib menyertai penyertaan ini. Satu kelas mesti mempunyai satu kumpulan bagi muslimin dan muslimat. Sekian, terima kasih.”

Kelihatan beberapa orang pelajar tingkatan satu mengeluh. Ini tidak adil! Mengapa pula pelajar tingkatan satu wajib menyertai pertandingan tersebut?

Nur Diana yang berada dalam tingkatan satu tahun ini hanya mampu mengetap bibir. Dia tidak dilahirkan dengan suara yang merdu bak buluh perindu. Suaranya tidak setaraf dengan suara Dato’ Siti Nurhaliza. Tidak setaraf juga dengan suara Jaclyn Victor.

Nur Diana tidak sedar bahawa itu ialah pertandingan nasyid ,bukannya pertandingan menyanyi yang memerlukan vokal tinggi. Nasyid menyampaikan sebuah mesej yang mempunyai unsur-unsur Islamik. Lagu-lagu yang berkumandang di radio pula hanyalah sebuah lagu yang langsung tidak memberi manfaat kepada masyarakat. Tanpa disedari, lagu-lagu tersebut kemungkinan besar terselit unsur-unsur yang mensyirikkan Allah SWT, lebih-lebih lagi lagu-lagu antarabangsa.

*****

Di kelas 1 Aspirasi.

“Perhatian! Kepada muslimat yang berminat menyertai pertandingan nasyid anjuran sekolah, sila tulis nama di kertas yang disediakan sebelum pukul 1.15 petang,” Madarina berkata dengan lantang. Sebagai seorang penolong ketua kelas, dia orang kedua yang bertanggungjawab dalam semua urusan yang melibatkan kelas.

Nur Diana langsung tidak menunjukkan minat. Dia tekun menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru.

Hanya empat orang pelajar perempuan yang berminat menyertai pertandingan nasyid. Mereka berduyun-duyun datang ke meja Madarina bagi menulis nama masing-masing.

“Alamak! Tidak cukup oranglah pula. Nur Diana,a wak perlu menyertai pertandingan nasyid. Ini adalah arahan!” Madarina berkata persis seorang komander kawad kaki.

Terbuntang mata Nur Diana apabila dirinya dipaksa menyertai pertandingan nasyid. Dia hanya mengeluh halus. Tiada pilihan selain menyertai pertandingan tersebut. Redha sahajalah!

*****

Dua hari kemudian….

Hari ini merupakan latihan untuk pertandingan nasyid yang akan diadakan pada hari Khamis minggu hadapan. Hari latihan ini telah ditetapkan sendiri oleh Madarina. Mereka yang lain menurut sahaja.

“Assalamualaikum. Pada hari ini, kita akan menyusun kedudukan dan menyanyi seperti biasa. Pelajar yang rendah harus berdiri di barisan hadapan, manakala pelajar yang tinggi harus berdiri di barisan belakang.” Sebagai seorang penolong ketua kelas merangkap ketua kumpulan nasyid, dia perlu bersikap profesional.

“Tetapi, saya tidak pandai menyanyi.”

Pelajar-pelajar perempuan tercari-cari dari mana suara tersebut datang. Oh, pemilik suara tersebut Nur Diana rupa-rupanya!

“Tidak mengapa sekiranya suara tidak semerdu Ayda Jebat, asalkan hati awak ikhlas mahu menyertai pertandingan ini. Insya-Allah, kita akan berjaya.”

Pada mulanya, hati Nur Diana langsung tidak ikhlas. Tetapi, dia cuba memujuk hatinya supaya menerima semua ini.

Apabila selesai menyusun kedudukan, Madarina mula menjalankan ujian suara. “Okey, kita mulakan ujian suara dengan Ameera.”

*****

Pada hari pertandingan….

Kumpulan yang dikelolakan oleh Madarina telah membuat persembahan dengan baik sekali. Mereka mungkin ada harapan menjadi pemenang.

Kini, tiba masanya bagi mengumumkan pemenang. Pengacara pertandingan memegang mikrofon sambil tangannya memegang kertas yang mempunyai senarai pemenang. “Tempat ketiga dimenangi oleh….” Pengacara pertandingan sengaja membuat unsur-unsur saspens supaya peserta lebih berdebar-debar.

“Wakil dari kelas 1 Aspirasi!”

Mereka menjerit kegembiraan dengan nada yang perlahan. Suara perempuan itu ialah aurat. Nur Diana memanjatkan syukur ke hadhrat Ilahi. Walaupun hanya memenangi tempat ketiga, mereka tetap gembira kerana mereka telah berusaha. Kejayaan ternyata berpihak kepada mereka.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: