Certot

Pertandingan Di Angkasa

Hasil nukilan Nur Alya Batrisyia 2 years agoSukan 34

“Bola sepak?”

“Ya, sukan yang paling terkenal di Bumi.”

Skrin besar 104 inci memaparkan situasi bermain bola sepak. Ditto ralit melihat. Dia berasa mahu cuba bermainnya.

“Arahkan Detto supaya bawa kapal ini ke Bumi,” arah Ditto kepada Dotti.

“Baiklah, Abang Ditto!”

*****

“Hadi!”

Hadi yang leka bermain bermain bola sepak terkejut akibat disergah. Tanpa disedarinya, dia tersepak bola itu dan tepat-tepat terkena pada muka figura yang sedang memanggilnya!

“Aduh!” Syakir menjerit. Dia terduduk di atas rumput akibat menahan sakit. Dia menggosok hidungnya yang bagaikan hendak patah terkena bola sebentar tadi.

Hadi yang kalut terus meluru ke arahnya. “Syakir! Kau okey tak?” soal Hadi.

“Aku okey. Kau tahu tak, ada kapal UFO mendarat di padang bola ini malam semalam?” Syakir bertanya. Nampaknya dia lebih pentingkan gosip daripada kesakitan. Macam perempuan pula suka bergosip-gosip.

“UFO? Kau….” Belum sempat Hadi menghabiskan kata-katanya, pinggangnya terasa seperti dicengkam dan badannya seakan ditarik. Dia terkejut. Syakir pun sama.

Syakir menarik tangan Hadi. Manalah tahu ia boleh melepaskan alat tersebut daripada terus mencengkam Hadi. Namun, Syakir turut merasakan badannya juga turut ditarik. Syakir tidak kuat untuk bertahan. Dia ditarik masuk ke dalam sebuah kapal gergasi.

Hadi yang terlepas tangan Syakir pula sempat berpaut pada sebatang pokok. Hadi yang masih berpaut pada pokok tersebut terkejut melihat Syakir yang telah dimasukkan ke dalam kapal tersebut.

“U… F… O…,” kata Hadi dan terus pengsan. Akhirnya, badannya juga turut ditarik masuk ke dalam kapal UFO.

*****

“Syakir!Kau dekat mana? Syakir!” Hadi menjerit memanggil nama Syakir. Dia kini berseorangan di dalam sebuah bilik gelap. Puas dia memanggil, namun Syakir tidak muncul juga.

“Hadi!”

“Syakir!” Hadi memeluk Syakir yang datang ke arahnya. Dia berasa lega. Mujurlah Syakir, kawan baiknya itu selamat.

“Hadi…,” kata Syakir. 

Hadi menunggu-nunggu kata-kata yang hendak diucapkan oleh Syakir. Tiba-tiba Syakir dihempap  oleh satu bola sepak gergasi.

“Sya… Syakir….” Hadi terkejut.

“Syakir!”

******

“Ya Allah! Aku bermimpi sahaja rupanya,” kata Hadi setelah terbangun daripada tidur. Dia bangun daripada pembaringan. Kelihatan Syakir sedang tersenyum memandangnya.

“Syakir! Kau okey tak?” soal Hadi. Dia amat risaukan kawannya itu.

“Hadi, kau tahu kita sekarang berada di angkasa lepas?“kata SYakir. 

Hadi yang mendengar terkejut. “Betulkah? Ya Allah, patutlah rasa macam asyik terapung sahaja,“balas Hadi dengan terkejut.

“Tapi Hadi, kita boleh keluar dari sini,” kata Syakir tanpa menjawab soalan Hadi.

“Hah? Betulkah? Macam mana?” soal Hadi. Mukanya teruja.

“Tapi kita kena main bola sepak dengan tiga orang makhluk asing di angkasa lepas ini!”

******

“Baiklah, nama saya Ditto, yang sederhana tinggi ini Dotti, dan yang paling rendah ini adalah Detto. Kami bertiga adalah adik-beradik,” kata Ditto sambil memperkenalkan mereka tiga beradik.

“Selamat berkenalan!” Hadi dan Syakir berkata serentak.

“Baiklah, peraturannya senang sahaja. Utarid akan menjadi gol kami, manakala Neptun pula akan menjadi gol anda. Jika bola terkena walaupun sedikit bola tersebut, ia tetap dikira gol. Kumpulan yang berjaya membuat dua gol terebih dahulu akan menang,” terang Ditto. Mereka semua hanya mengangguk.

“Baiklah, kita mulakan,” kata Ditto. Dia masuk ke dalam kapal UFO dan keluar semula sambil membawa beg galas. Dikeluarkannya semua isi di dalam beg itu.

Pistol dicapai dan ditembaknya. Serentak dengan itu, keluarlah sebiji bola sepak dari muncung pistol tersebut.

“Mula!” jerit Ditto.

Hadi pantas merampas bola tersebut. Dia menendang bola tersebut dengan susah payah kerana susah hendak bergerak. Mujurlah Ditto memberinya ubat bergerak di angkasa lepas sebentar tadi. Itu dapat membuatkan dia berjalan dan berlari di angkasa, namun kesan ubatnya mungkin sudah hilang!

“Syakir!” jerit Hadi dan menendang bola kepada Syakir yang sedang berada di Uranus. Dia mengambil botol ubat yang berada di dalam kocek dan mengambil satu ubat dan ditelannya. Kini, barulah dia boleh berjalan dengan bebas.

Syakir mendapat bola dan bersedia untuk menendang memasuki gol. Namun Detto pantas merampasnya. Dia terkejut dan pantas mengejar Detto namun Dotti menghalang. Hadi yang nampak Detto membawa bola pantas mengejarnya, namun Detto pantas menendangnya ke arah Ditto yang berada di Zuhrah. Hadi pantas bertindak. Dia melompat ke atas Marikh dan melompat tinggi ke atas Zuhrah. Dia merampas bola itu dan menendangnya dengan kuat.

Syakir yang ternampak bola yang ditendang oleh Hadi terus melompat tinggi dan menendangnya sambil berpusing dengan penuh bergaya.

“Gol!”

*****

“Terima kasih banyak-banyak kerana sudi bermain dengan kami,” kata Ditto.

“Sama-sama. Lain kali kita main lagi,” kata Hadi sambil tersenyum. Dia bersalaman dengan Ditto, Dotti, dan Detto. Syakir juga melakukan hal yang sama.

Walaupun Hadi dan Syakir kalah dalam permainan tadi, namun mereka masih gembira. Bagi mereka, merekalah orang yang paling bertuah. Bukan calang-calang orang boleh bermain di angkasa. Bukan calang-calang orang boleh bermain dengan makhluk asing. Mereka berdua memang bertuah.

“Ini cenderahati untuk kamu berdua,” kata Detto sambil menyerahkan dua keping batu.

“Batu apa ini?” tanya Syakir.

“Batu planet Neptun,” jawab mereka bertiga serentak. Hadi dan Syakir terkejut mendengarnya.

Mereka bertiga masuk ke dalam kapal dan terus membawa kapal mereka ke langit. Hadi dan Syakir melambai pada mereka kali yang terakhir sebelum kapal mereka hilang disebalik awan.

“Pengalaman yang menarik, bukan?” soal Syakir sambil masih merenung batu tersebut.

Hadi menjawab, “Ya, sangat menarik.” Mereka berdua berbalas senyuman.


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: