Certot

PERIGI TUA MILIK ATOK

Hasil nukilan DD al-Qadhi 2 years agoMisteri 73


Cuti sekolah yang panjang membolehkan kami sekeluarga pulang ke kampung halaman tercinta di Kedah. Sekalipun aku membesar di Kuala Lumpur, namun ingatanku terhadap kampung tidak pernah kulupakan walaupun seketika. Mengikut cerita ayahku, di situlah tempat ibubapaku bertemu buat kali pertama dan di situ juga mereka berkahwin dan di situ juga aku dilahirkan.

        Setiap kali pulang ke Kedah, perjalanan yang panjang membuatkan aku termenung di dalam kereta. Aku menoleh kiri dan kanan sambil menyaksikan keindahan alam semulajadi. Kesibukan hidup di bandar menukar perasaanku kepada seronok dan ceria dengan ketenangan desa. Andai aku diberi pilihan untuk tinggal di bandar atau berpindah ke desa, pasti desa menjadi impian dan pilihanku. Namun apakan daya, rezeki keluargaku telah ditetapkan di bandar dan aku sebagai anak mengikut sahaja.

        Pemandangan dan suasana desa cukup menenangkan hatiku. Udara yang segar mampu menceriakan hidupku. Peluang berada di kampung aku gunakan sepenuhnya. Antara aktiviti yang biasa setiap kali aku pulang ke kampung ialah terjun ke dalam kolam ikan atok bersama sepupu-sepupuku. 

Pernah sekali atokku beristgihfar panjang, “Astghafirullah! Apa hampa buat ni? Mampuih habih ikan wan.” 

Aku bersama cucu-cucunya yang lain terjun tangkap ikan peliharaan atok.

        Agak menarik di sudut belakang rumah atok terdapat sebuah perigi usang yang telah lama ditinggalkan. Entah mengapa hatiku sentiasa ingin mengetahui tentang perigi tersebut. Namun keinginan aku untuk mendekati perigi tersebut sentiasa terhalang kerana ketegasan atok mengingatkan kami agar tidak bermain di kawasan tersebut. Atok mengatakan bahawa perigi tersebut sangat dalam. Apatah lagi kawasan-kawasan di sekelilignya dipenuhi oleh semak-samun dan mungkin wujud binatang-binatang berbisa.

        Keinginan aku untuk mengetahui sejarah perigi tersebut tidak pernah terpadam. Suatu hari aku melihat atok sedang berehat di beranda sambil membalut rokok daunnya. Aku mendekatinya  dan bertanya, “Wan buat apa? Didi nak sembang ngan wan boleh?” 

Sambil atok khusyuk membalut rokok daun, beliau menjawab “ La… ingatkan sapa tadi. Cucu wan rupanya. Mai sini! Wan nak tunjuk cara tangkap cicak.” 

Aku pun apa lagi, terus menapak dan duduk di sebalah atok. Dengan penuh semangat aku memerhatikan dan cuba memahami teknik menangkap cicak yang diajarkan oleh atok. 

“Tengok ni… mula-mula ambil lidi hat panjang sikit, pastu hang celup kapuq sikit… dah siap,” ujar atok. 

Aku terus mencelah, “Tak kan senang sangat? Habih tu cama mana nak tangkap cicak?”

 “Senang ja… jom cari cicak dulu,” jawab atok.  Lepas itu aku tengok atok menghulurkan lidi bersalut kapur secara perlahan-lahan berhampiran dengan cicak. Tiba-tiba cicak pun menghampirinya dan menjilat lidi tersebut.

        “Yeee…dah ken!!” jerit atok. 

Aku terus kehairanan. “Apa yang kena? Tak jadi apa-apa pun?” 

Atok menjawab, “Satgi hang tengokla apa jadi.” 

Tiba-tiba cicak yang melekat pada dinding terus jatuh ke lantai macam orang pening lepas kemalangan. Ketika itu juga atok mengeluarkan senjatanya yang di simpan kemas dalam balutan kain pelekat buruknya. 

Pap! 

Sepantas kilat atokku melepaskan getah yang dibalut kemas untuk memburu cicak. Tepat getah tersebut mengenai kepala cicak itu. 

“Fuyoo… power la wan! Didi nak cuba pula!” sapaku penuh semangat. 

Sat… sat! Hang kutip dulu cicak tu pi buang, lepaih tu baru hang boleh cuba,” jawab atok.

        Apa lagi tunggu, pengalaman baru memburu cicak tak akan aku lepaskan. Setelah bangkai cicak dibuang, aku terus memegang lidi untuk mengumpan cicak yang lain pula. Terketar-ketar tanganku mendekati cicak. 

“Aduih tadi nampak macam senang,” keluhku.

 Atok menjawab, “Sabaq la! Nak belajaq kena banyak besabaq. Satgi pandai la.” Kata-kata semangat atok memberi kekuatan untuk aku terus berusaha. 

Cit! Cit! Cit! 

Tiba-tiba umpanku mengena. Cicak tersebut kelihatan pening dan jatuh ke lantai. Aku terus melastik cicak tersebut seperti atok ajarkan tadi. Nyata setelah hampir lima kali aku cuba, tetapi tetap tidak mengena sasaran. Rupanya melastik cicak lebih sukar daripada mengumpannya dengan kapur tadi. 

‘Yes! Masa ditunggu-tunggu akhirnya tiba,’ jeritku dalam hati. Sekalipun aku amat tertarik dengan aktiviti memburu cicak tadi, namun fikiranku tentang perigi masih lagi mengatasi segala-galanya. 

Kesempatan ini aku gunakan untuk mengetahui sejarah perigi usang milik atok, lantas aku bertanya, Wan cerita la sikit pasai telaga belakang umah tu. Didi teringin sangat nak tau.” 

Jawab atokku sambil menggulung rokok daunnya, “Tak abih-abih hang ni nak tau pasai telaga tu…” Lalu atokku memulakan ceritanya. 

“Sebenaqnya telaga tu hasil gotong-royang penduduk kawasan ni. Dulu telaga tu jadi sumber air untuk penduduk kawasan ni. Masa tu mana ada lagi paip air. Kami semua berkongsi telaga untuk dapatkan air,” terang atokku penuh semangat. Tiba-tiba atok termenung melihat ke arah perigi tersebut seolah-olah teringat semula kenangan indah di waktu dulu. 

“Lani telaga tu dah tak berguna. Tak dak sapa nak peduli dia lagi. Semua dah ada paip air masuk dalam rumah masing-masing. Lani semua pakat penting diri sendiri ja.” 

Muka atok yang penuh dengan emosi membuatkan aku bertanya, “Apa maksud wan? Didi tak faham.”

        Sambil menghembuskan asap rokok daun, atok menjawab, “Hampa lani mana nak paham, hidup cukup senang. Nak apa semua ada. Semua pakat jaga diri sendiri ja. Tak peduli orang lain.” 

Aku terus termenung menunggu sambungan penerangan atok. 

“Dulu kami selalu tolong-menolong. Semangat persaudaraan sangat kuat. Tiap-tiap hari kami berjumpa dan bersembang dekat dengan telaga tu. Semua anak-beranak beratoq ambik giliran nak mandi. La ni semua pakat dok dalam umah sendiri. Tak ambil tau dah pasai orang lain.” 

Kerut dahi atok seolah-olah kesal terhadap sikap orang zaman sekarang. Tambah atok lagi, “Sebab tu wan kalau pi umah hampa kat KL, wan tak boleh duk lama-lama. Wan tengok jiran-jiran semua tak berteguq sapa. Lani budaya tu dah mula masuk kampung. Tak tau la sepuluh tahun laghi apa nak jadi.”

        Tiba-tiba bicara kami terhenti di situ kerana nenek suruh masuk tidur sebab dah lewat malam. “Dah la tu, lewat dah ni. Dah la esok budak-budak nak balik KL, biaq la depa rehat cukup,” tegur nenek. 

Seperti biasa atok tidak membantah cakap nenek. “Dah… dah… Didi hang pi tido! Esok hang tak leh bangun, wan juga kena marah ngan nenek!” arah atok. 

Aku pun terus bangun dan salam dengan atok kemudian terus menuju ke bilikku sambil memikirkan cerita yang atok kongsikan tadi.

        Hampir sukar aku melelapkan mata kerana memikirkan apa yang atok aku ceritakan tadi. Aku bertekad untuk mendengar lagi kisah perigi tersebut pada besok pagi dan dalam khayalan aku terlelap. 

Tiba-tiba aku terdengar suara ayahku, “Didi… Didi… bangun! Jom, dah lewat dah ni. Kita dah nak balik. Lewat sikit nanti jem teruk nak sampai KL.” 

“Ya Allah, terlewat bangun” jeritku sambil terus bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air.

        Setelah selesai mandi dan solat subuh, nenek menyeruh kami bersarapan sedangkan ketika itu atok sedang membantu ayahku mengangkat barang-barang kami untuk dimasukkan ke dalam kereta. 

Keluh hatiku bersendirian, “Awalnya balik pagi ni. Tak sempat nak sambung cerita perigi.” 

Selepas selesai makan, ayah dan ibuku terus bingkas bangun bersalaman dengan atok dan nenek sambil berkata, “Ayah, mak… kami balik dulu. Kena bertolak dah ni, takut jem. Insya Allah lepas ni kami balik lagi.” 

Aku pun terus bangun bersalaman dengan mereka dan berjalan masuk ke dalam kereta sambil atok berpesan, “Bawa kereta elok-elok. Didi nanti balik atok sambung lagi cerita telaga tu.” 

Aku tersenyum dan melambai tangan sambil kereta dipandu ayahku berlalu meninggalkan rumah atokku.

        Sepanjang perjalanan pulang, kisah tentang perigi terus menghantui diriku. Seolah-olah kisah perigi tua itu hampir sebati dengan kehendak naluri hatiku. “Perigi oh perigi… apakah yang menarik hatiku sehingga aku terus memekirkan tentangmu wahai perigi? Insya Allah, jika berkesempatan pasti aku akan pulang ke kampung semula bersama-sama keluargaku dan misiku untuk terus mencari misteri perigi atokku tidak akan terhenti hanya di sini.

    

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: