Certot

Perempuan Melayu Akhir Zaman

Hasil nukilan Micheal Midian 2 years agoFiksyen

Sejak kecil lagi, Maimunah dianggap pelik oleh masyarakat. Dia suka berpakaian pelik di khalayak ramai tidak kira hendak bersiar-siar atau sekadar bersantai. Ibunya, Puan Rogayah sentiasa menegur cara berpakaiannya itu. Maimunah juga turut menyukai lagu-lagu bergenre pop dan menyanyikannya setiap masa. Kasut tumit tinggi 10 inci, rambut palsu berwarna-warni, baju berkilauan, serta perhiasan amat sinonim dengan Maimunah.

Untuk mengubah cara penampilan Maimunah, Puan Rogayah dan suaminya menghantar anak mereka ke kampung halaman di Machang, Kelantan. Maimunah diberi tempoh dua minggu sempena cuti sekolah untuk mengubah dirinya. Lebih-lebih lagi, penduduk kampung itu langsung tidak menerima pengaruh budaya barat dan lebih mendalami ilmu agama.

“Munah, nenek sudah belikan baju kurung dan tudung dari pasar malam. Nenek mahu kamu pakai macam gadis-gadis Melayu di kampung ini.”

Maimunah melihat baju kurung dan tudung itu dengan wajah yang ragu-ragu.

“Munah kena pakai semua ni? Ini bukan fesyen zaman sekarang! Cukuplah Munah pakai kemeja dan seluar jeans,” kata gadis itu dengan sombong.

“Kita pakai tudung ini bukan untuk mengikuti fesyen, tetapi untuk menutup aurat. Pakaian yang Munah pakai itu, tidak sesuai sebagai seorang gadis beragama Islam,” pesan nenek.

“Okey, Munah pakai semua ini sebab nenek yang suruh,” kata gadis itu lalu memasuki biliknya.

“Hari ini ketua kampung adakan majlis berbuka puasa. Pakai pakaian yang sopan,j angan pakai baju yang selalu kamu pakai di bandar dahulu.”

“Baiklah, nenek.”

                                                                                 *****

“Nampak moleklah awak pakai baju kurung ini.” Anak perempuan ketua kampung, Zarina memuji pemakaian Maimunah yang berbaju kurung bermotifkan flora dan bertudung.

“Terima kasih. Sebenarnya saya tidak faham kenapa penduduk kampung ini tidak suka pengaruh luar negara. Kalau di bandar, budaya Korea, Amerika, Jepun,dan negara lain diterima dan pakaian pun makin mengikuti negara lain,” ujar Maimunah.

“Awak tidak faham. Kampung ini hendak mengekalkan tradisi dan memelihara pakaian tradisional seperti baju kurung, baju kebaya, dan baju kebarong.”

“Sebenarnya, saya ada suatu rahsia.”

“Apa dia? Saya akan simpan dengan baik.”

“Saya tidak pandai mengaji,” kata Maimunah dengan malu.

“Apa yang mahu dimalukan?Awak nak berubah, bukankah itu baik? Tidak apa, nanti saya ajar awak. Saya pun ada rahsia,” kata Zarina dengan nada perlahan.

“Hah, awak pun ada rahsia? Apa dia?”

“Saya sebenarnya minat lagu-lagu One Direction. Awak ada lagu-lagu mereka?”

“Hmm… nanti saya muat turun dalam telefon. Selepas itu saya hantarkan kepada awak.”

“Terima kasih. Saya pergi dulu, saya harus bantu ayah saya,” kata Zarina lalu pergi.

“Munah, mari balik. Nenek ada bungkus makanan tadi. Nanti kita sahur dengan makanan ini,” nenek memanggil-manggil Maimunah. Maimunah hanya mengikuti neneknya.

                                                                   ******

Zarina dan Maimunah menjadi kawan baik.Maimunah sudah berubah dan gemar bertudung dan pandai mengaji Al-Quran. Nenek pun suka akan perubahan sikap Maimunah itu. Tiada lagi lagu-lagu pop yang dinyanyi. Tiada lagi baju-baju yang menjolok mata di dalam almari. Tiada lagi kasut-kasut tumit tinggi yang menjadi koleksi kegemaran Maimunah. Kini, dia boleh menerima perubahan itu.

“Cuti sekolah hendak tamat. Masanya untuk Munah pulang ke bandar,” ujar nenek.

“Tetapi Munah suka duduk di sini. Munah belajar banyak tentang agama.”

“Munah idtak rindukan kawan-kawan Munah di Kuala Lumpur? Aida dan Yusniza pasti rindukan Munah.”

“Kalau Munah pergi, Munah akan rindukan nenek dan Zarina.”

“Cuti akan datang kamu melawat lagi nenek dan Zarina di kampung. Satu sahaja pesan nenek untuk kamu. Jangan tinggal solat, sentiasa jaga aurat dan dekatkan diri dengan Tuhan.”

“Munah tidak akan lupa semua itu, nenek.”

Pintu diketuk. Maimunah membuka pintu itu dan kelihatan Zarina di hadapan muka pintu.

“Awak mahu balik, bukan? Saya hadiahkan telekung ini buat awak. Saya sudah ada banyak telekung di rumah, saya hadiahkan awak satu. Anggap ini hadiah perpisahan kita.”

Maimunah memeluknya dengan erat dan menangis.

“Kalau umur kita masih panjang, kita pasti akan dipertemukan sekali lagi,” ujar Maimunah dengan suara yang terketar-ketar. Dia tidak mahu meleraikan pelukan terakhir buat Zarina.

“Telefonlah saya kalau awak ada masa.”

Maimunah menangis sebelum menaiki kereta ibu bapanya lalu hilang dari pandangan nenek dan Zarina yang sememangnya bakal merinduinya.

                                                                       ******

“Baju apa yang awak pakai ini, Munah? Macam buah nangka dibungkus kain buruk sahaja!” ujar Aida dengan nada gedik.

“Ini bukan diri awak, Munah. Awak kan suka pakai macam kami, meraih perhatian daripada orang ramai,” kata Yusniza pula.

“Maaf, nenek saya kata kita sebagai perempuan Islam kena tutup aurat. Saya tidak mahu dilihat sebagai perempuan tidak beragama.”

“Apa-apa sajalah. Selepas ini mari pergi pusat karaoke. Ayah saya beri duit banyak hari ini,” kata Aida dengan riang.

“Maaflah, waktu Zohor sudah dekat. Baik saya pergi solat dahulu. Awak berdua mahu ikut?” tanya Maimunah.

“Hmm… tidak apalah. Awak pergilah dulu. Biar kami saja pergi pusat karaoke,” ujar Yusniza. Mereka berdua berlalu pergi meninggalkan Maimunah di belakang.

‘Tidak kisahlah apa yang mereka berdua cakap. Saya lebih layak dapat kawan yang lebih baik daripada mereka berdua. Saya akan ikut pesan nenek setiap masa. Tidak sabarnya mahu pulang ke kampung lagi!’ bisik hati Maimunah lalu berjalan ke masjid.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: