Certot

Penyelamat Kucing Jalanan

Hasil nukilan Aysh Azri 2 years agoSuperhero 26

Sejak kecil saya kenal papa sebagai superhero. Papa selalu beritahu saya, dia adalah penyelamat dunia. Mula-mula saya tidak percaya. Saya selalu ketawa bila papa berkata begitu. Mana ada orang hebat macam Superman dalam dunia. Saya tidak pernah nampak Superman terbang. Tetapi papa kata dia lagi hebat daripada Superman. Betulkah?

Sejak akhir-akhir ini, saya bertambah yakin yang papa adalah hebat. Lagi hebat daripada Superman. Kenapa saya berkata begitu? Nah, saya ceritakan betapa papa saya seorang superhero.

Sejak kecil saya suka kucing. Malangnya, saya alergik terhadap haiwan comel yang berbulu ini. Setiap kali saya memegang kucing, pasti saya akan diserang gatal-gatal yang akhirnya saya perlu ke klinik. Saya sangat sedih.

Saya selalu bayangkan saya boleh memeluk kucing, tidur bersama kucing, bermain dengan kucing, dan bermacam-macam lagi. Saya selalu beritahu papa yang saya sangat teringin memiliki kucing sendiri.

Akhirnya, baru-baru ini impian saya tercapai. Ini adalah kerana papa telah berjumpa jalan penyelesaian terhadap masalah alergik saya. Papa kata, “Semua kucing kita perlu divaksin dan dibersihkan.”

Paling menarik, papa telah menjaga kucing-kucing terbiar yang berada di sekitar rumah kami. Papa dengan baik hatinya menyediakan makanan kucing di luar rumah. Papa kata, “Kucing itu akan jinak sekiranya kita sentiasa memberi makan kepada mereka.”

Selepas kucing-kucing tersebut jinak, papa akan menangkap dan membawa mereka ke klinik haiwan untuk diperiksa, divaksin, dan dibersihkan. Kemudian, saya boleh bermain bersama kucing-kucing yang comel tersebut.

Papa seorang superhero apabila telah menyelamatkan seekor kucing yang sakit. Ketika kami jumpa kucing tersebut, dadanya berlubang kerana luka bergaduh barangkali. Papa membawa kucing itu ke klinik haiwan untuk dirawat. Papa jaga kucing itu sehingga sembuh. Papa berhempas pulas memberi makan ubat kerana kucing tersebut sangat susah untuk makan ubat.

Kasihan Papa. Berdarah tangan dia digigit kucing. Tetapi Papa sabar. “Super hero tidak boleh putus asa. Superhero kena kuat walaupun cedera,” kata papa. 

Saya beri nama kucing itu Milo kerana warnanya seakan-akan air milo kegemaran saya. Kami menjaga Milo sehingga sembuh. Akhirnya, Milo menjadi haiwan peliharaan saya.

Bukan itu sahaja. Papa menjadi superhero apabila sehingga sekarang masih menjaga seekor kucing yang diberi nama Toby, yang sakit tenat. Doktor haiwan mengesahkan Toby dijangkiti virus FIP. Saya tidak faham apa itu FIP. Papa kata FIP itu sakit yang sangat bahaya. Mana-mana kucing yang terkena jangkitan FIP, peluang mereka untuk hidup adalah tipis.

Doktor memberi kami pilihan sama ada mahu terus jaga Toby atau tidurkan dia selamanya. Papa memilih untuk menjaga Toby selagi Toby masih bernafas. Kan, saya sudah kata papa adalah superhero.

Sekarang papa menjaga Toby dengan baik sekali. Papa menyuapkan dia makan, membelikan makanan terbaik untuk Toby, memakaikan Toby lampin pakai buang, membersihkan Toby, dan bermacam-macam lagi.

Papa kata, “Super hero kena buat baik pada semua. Tidak kira manusia, haiwan, atau tumbuhan.” Maka, saya harus bantu papa untuk menjadi superhero. Saya turut menjaga Toby.

Selain Milo dan Toby, papa juga telah membawa hampir ke semua kucing terbiar di rumah kami untuk diperiksa dan divaksin. Ini adalah untuk mengelakkan kucing-kucing tersebut dijangkiti virus. Setiap kali ada kucing baru yang muncul, papa akan mengumpan dengan makanan untuk beberapa ketika. Kemudian, papa akan menangkap dan membawanya berjumpa doktor.

Saya bangga dengan papa. Papa menyediakan makanan untuk kucing-kucing terbiar, menyediakan ruang untuk mereka tidur, dan membawa mereka ke klinik jika perlu.

Papa pesan, “Kucing-kucing ini tidak ada penjaga. Jika ada yang sudi memberi makanan, mereka akan makan. Jika mereka dihalau atau dipukul, maka mereka akan kelaparan dan sakit. Cuba bayangkan sekiranya semua orang tidak mahu memberi kucing-kucing ini makan? Tidak mahu membawa ke klinik ketika mereka sakit? Apa akan jadi?”

Papa memang superhero. Papa berusaha merawat kucing-kucing tersebut supaya mereka bersih dan saya boleh bermain dengan mereka. Papa memang hebat kerana menjaga kucing-kucing tersebut supaya mereka rasa disayangi.

Saya akan sentiasa ingat pesan papa. “Superhero harus sentiasa berbuat baik tidak kira pada manusia, haiwan, atau tumbuhan.” Saya tahu papa bukan Ironman, Superman, atau Spiderman. Tetapi, papa tetap hebat dengan cara papa yang tersendiri.

Papa adalah super hero untuk kucing-kucing terbiar.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: