Certot

Penyelamat Izzul

Hasil nukilan Ain Najihah 2 years agoSuperhero 40

             

“Assalamualaikum!” jerit Hakimi di luar rumah Izzul.  

Beberapa saat kemudian,seorang wanita berusia 30-an keluar. Wanita itu sebenarnya emak kepada Izzul.

“Hendak mencari siapa?” tanya wanita itu.

“Saya hendak mencari Izzul. Dia ada di rumah tidak, mak cik?” tanya Hakimi.

“Ada, tunggu sebentar ya mak cik panggil dia,” jawab wanita itu. 

Tidak lama kemudian, Izzul pun keluar.

“Ha, ada pun. Ingatkan tidak ada di rumah tadi. Izzul, jom berenang di tasik!” kata Hakimi.

“Jom pergi cepat! Nanti ayah aku balik, tidak dapat kita pergi. Emak, Izzul hendak pergi tasik, boleh?” tanya Izzul kepada emaknya. 

“Boleh, jangan balik lewat, nanti ayah marah,” jawab emaknya. Dia pun mencapai basikalnya dan terus berlalu bersama Hakimi.

*****

Apabila tiba di tasik, mereka bermain dengan syok sekali sampai tidak ingat dunia. Waktu senja, mereka pun pulang. Izzul tidak ingat akan pesanan ibunya supaya pulang awal.

“Muhd Izzul Haikal, balik sekarang!” Jeritan itu dapat didengari oleh penduduk Taman Sri Serting.

“Saya tahulah hendak balik! Ayah tidak perlulah menjerit-jerit setiap hari! Malu didengar penduduk kampung! Lagipun saya sudah besar. Pandailah saya jaga diri!” Izzul membidas.

Encik Zil sudah kenal dengan perangainya yang nakal itu. Lagi pula Izzul sudah berumur 12 tahun, peliklah apabila dia tidak pandai menjaga diri.

“Esok, tidak boleh pergi lagi tasik. Kalau apa-apa terjadi, ayah tidak mahu tolong!” marah Encik Zil.

“Izzul hendak pergi juga!” kata Izzul dengan marah.

  Izzul terus menuju ke bilik lalu menghempaskan pintu biliknya dengan kuat sekali sampai jiran sebelah rumah terdengar hempasan pintu itu.

*****

Pada keesokannya, Encik Zil pergi ke Kedai Runcit Din. Izzul bangun dari pembaringannya sebaik sahaja Hakimi menjerit namanya dari luar rumah.

‘Ini mesti Hakimi hendak mengajak aku ke tasik,’ Izzul berkata dalam hati. Izzul bingkas bangun lalu mencapai tuala dan mandi sepantas kilat, begitu juga apabila dia memakai pakaian. 

Apabila sudah siap, dia terus pergi ke tasik bersama rakan baiknya iaitu Hakimi. Izzul tidak memberitahu sesiapa pun yang dia hendak pergi ke tasik.

  Sampai sahaja di tasik, mereka terus berenang ke dalam tasik. Alangkah terkejutnya Izzul! Apabila dia memasuki tasik, ada seekor buaya yang menggigit bajunya sehingga dia lemas dan terkapai-kapai meminta pertolongan. Jangan sangka air yang tenang tiada buaya.”

  Hakimi tidak tahu hendak membuat apa. Dia pun meminta pertolongan daripada Encik Zil yang secara kebetulan melalui lorong di tepi tasik itu. Encik Zil pun terjun ke dalam tasik dan menyelamatkan Izzul. Akhirnya, mereka pun selamat. 

“Alhamdulillah,” Encik Zil berbisik perlahan.

*****

  Tiba di rumah, Encik Zil memarahi Izzul kerana tidak mendengar nasihat yang beliau beri. 

“Alhamdulillah, tuhan tolong. Jika tidak pasti Izzul sudah mati dimakan buaya,” kata Encik Zil. 

Izzul berdiam diri apabila Encik Zil bercakap dan mendengar segala butiran yang dicakap oleh Encik Zil.

  “Ayah, Izzul sudah insaf. Janji tidak buat lagi. Ayahlah superhero saya. Tanpa ayah dan izin Tuhan, saya tidak akan selamat dan pasti saya sudah mati dimakan oleh buaya,”kata Izzul.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: