Certot

Penyelamat Aku

Hasil nukilan Syikin Ishak 2 years agoSuperhero 8

             

Nama aku Haura Sofea. Panggil Opie sahaja kalau nak merasa lebih mesra. Anak bongsu daripada tiga beradik yang semuanya perempuan. Kakak aku yang sulung berumur 17, Seri Dahlia dan yang kedua berumur 14 tahun, Julia Syireen. Aku tak berapa nak rapat dengan Julia (tak ada panggilan manja untuk dia) sebab dia asyik tuduh akulah penyebab kematian mama kami. Memang benar mama mati selepas melahirkan aku tapi kalau sudah ditakdirkan untuk mama pergi , kita sebagai hamba kena reda sahaja. Okey, jujur aku beritahu itu bukan ayat aku sebab aku pinjam daripada kata-kata Ustazah Nabihah yang mengajar subjek Pendidikan Islam.

Hidup aku memang mewah. Ya! Aku dengan bangganya mengakui diri aku ini adalah anak orang kaya. Jadi, memang tak mustahil kalau pada usia aku sekarang yang berusia 11 tahun, aku sudah memiliki Iphone 6s berjenama Apple. Apa nak dihairankan pada tahun 2015 ini, kalau semua budak-budak macam kami semua sudah ada telefon pintar sendiri. Itu bukan masalahnya, tetapi masalah yang berat buat aku untuk masa sekarang ialah guru kelas, Cikgu Asyikin hendak berjumpa dengan papa. Aku tidak kisah mengenai kad laporan aku yang teruk itu, tetapi aku malu dengan kawan-kawan aku. Perasaan yang sama ketika berada di tadika dahulu. Malu!

 

Dulu-dulu (Imbas Kembali)....

Hari ini semua ibu bapa dikehendaki untuk datang. Tidak terkecuali papa aku, Bahri. Datuk Bahri untuk lebih formal. Sebenarnya terselit rasa gembira dalam diri aku kerana papa datang. Papa kan orang yang berkerjaya, jadi susah sangat hendak berjumpa dengan dia.

Aku rasa seperti bahuku dicuit seseorang. Pantas aku berpaling. Oh! Umyra rupanya.

“Itu ayah awak ke Sofea?” soalnya.

Aku mengangguk dengan bangga. Yalah! Ayah aku kan hebat.

“Awak tahu tak Sofea apa orang panggil untuk lelaki yang lembut?” soal Umyra.

Soalan Umyra itu aku jawab dengan pantas tanpa berfikir apa-apa. Sotong.

“Haa… macam itulah ayah awak. Najihah, awak tahu tak yang ayah Sofea sotong?”

Aku rasa menyampah dan benci gila dengan Umyra waktu itu. Dan entah kenapa aku diserang rasa malu yang bertimpa-timpa. Rasa hendak cili-cilikan mulut dia sahaja. Celupar sangat! Jadi, aku nekad untuk ajar dia cukup-cukup. Biar padan muka. Tak dapat cilikan mulut dia dapat tarik rambut dia pun sudah cukup.

“Cikgu! Ada orang bergaduh!”

Okey, macam itulah ceritanya. Disebabkan aku mempunyai rasa malu mengenai papa yang bersifat lembut, aku lebih rela rakan-rakan sekelasku tidak mengenali papa dan hanya tahu yang aku ini hanya anak kepada seorang yang ahli perniagaan tekstil yang berjaya. Itu impian aku. Dan ia seperti tercapai kerana setakat ini tiada lagi yang mengetahu kecuali Umyra dan Najihah (teman tadika aku) itu. Bersyukur sekali kerana Umyra tidak lagi menetap di Shah Alam ini kerana berpindah ke Terengganu. Begitu juga dengan Najihah yang turut sama berpindah ke negara kanggaru iaitu Australia bersama keluarganya. Selamat rahsianya..,.

Kring!

Loceng sudah berbunyi. Itu maknanya persekolahan hari ini sudah tamat. Oh… tak sabarnya untuk hari minggu walaupun hanya selama dua hari sahaja. Dengan penuh bersemangat aku mengemas mejaku.

“Opie, kau dah nak balik ke?”

Soalan daripada Farhah, teman sekelasku membuatkan aku memberhentikan tindakanku.

“Hmm… ya. Kenapa Farhah?”

Aku bertanya kepadanya.

“Boleh aku tumpang kau?”

Aku hanya ketawa. Ingatkan apalah tadi. “Boleh… apa salahnya. Jom!”

 

*****

 

Hari Sabtu yang pada mulanya menenangkan dan mendamaikan aku. Baru sahaja ingin berehat-rehat, tiba-tiba suara Julia memetir (bunyi macam menjerit). Juga diselangi dengan bunyi barang-barang dihempas ke lantai. Hish… Benar-benar mengganggu betullah. Apa dia ingat dia seorang sahajakah yang tinggal di sini. Hanya ada dua pilihan sahaja sebab untuk Julia jadi begitu…

1.    Bergaduh dengan teman lelakinya.

2.    Tertekan dengan SPM.

Tapi, aku tak rasa pilihan kedua itu betul sebab Julia tak adalah bodoh sangat. Pilihan pertama lebih tepat rasanya sebab selalu sangat aku dengar Julia gaduh-gaduh dengan teman lelakinya menerusi telefon. Hmm… tak tahulah nak buat macam mana. Kalau aku yang pergi menasihatinya memang sah kepala aku dapat benjol percuma. Malas aku nak layan.

Aku ternampak Kak Tiah macam nak pergi menjenguk orang meroyan dekat atas sahaja. Cepat-cepat aku menghalang. Lupa nak kenalkan yang Kak Tiah ini orang gaji baru di rumah kami. Kak Tiah menggantikan Mak Cik Rosemah yang sedang terlantar di hospital sekarang kerana menghidap kanser payudara. Kesian bukan? Apa-apa pun cuma doa sahaja yang mampu dikirimkan.

Di rumah ini hanya tinggal kami bertiga sahaja iaitu aku, Julia, dan Kak Tiah. Papa ada bisnes dekat Thailand selama tiga hari dan kak Seri tidak tinggal dengan kami kerana dia tinggal di asrama universiti. Aku sebenarnya gerun juga tinggal di perumahan elit kerana bimbangkan keselamatan diri tapi aku tengok Julia biasa-biasa saja. Tak takut ke dia? Apatah lagi bercinta dengan lelaki yang ada rupa seperti penagih sahaja.

 

*****

Entah kenapa hari ini aku diserang rasa tidak sedap hati sehingga menyukarkan aku untuk tidur. Jadi, aku ambil keputusan untuk menjadi burung hantu dengan bermain Facebook dan menulis blog. Pada waktu itu, jam sudah menunjukkan pukul 12.00 malam. Tiba-tiba aku terdengar suara Julia menjerit.

Aku pada awalnya tidak mahu ambil tahu, tetapi disebabkan perasaan ingin tahu itu muncul aku pun merajinkan diri untuk keluar dari bilik. Aku mengintai dari atas dan apa yang aku lihat Kak Tiah sudah berlumuran darah. Aku takut. Baru sahaja aku ingin berundur ke belakang, tiba-tiba mulutku ditekup dengan sesuatu yang membuatkan aku pengsan dan tidak sedarkan diri.

 

*****

Aku terjaga daripada lena yang panjang. Buka-buka mata sahaja aku lihat aku sedang berada di atas katil. Papa, kak Seri dan Julia tersenyum kepadaku. 

“Adik, aku minta maaf…,” pinta Julia sambil meraih tanganku.

Aku tercengang dengan perlakuan Julia itu. Kenapa dan apa yang membuatkan dia jadi baik terhadapku ?

“Sebab Julia salah. Julia yang menyebabkan semua ini berlaku, dik. Mujur ada papa tahu,” maklum Kak Seri.

Dari cerita Julia, bekas teman lelakinya, Hazim, memang seorang penagih dadah. Oleh kerana Julia ingin memutuskan perhubungan mereka berdua, Hazim jadi gila dan ingin membunuh Julia serta merompak rumah mereka. Hasilnya Kak Tiah ditikam di bahagian perut dan papa pula cedera di bahagian tangan apabila cuba melawan mereka.

Terselit juga rasa bangga dalam diri aku. Yalah… papa kan bersifat lembut. Jadi apabila papa menyelamatkan aku, aku rasa bangga sangat. Bahagia pun ada.

Papa hanya tersenyum kepada. Dapat aku lihat tangannya berbalut. Tetapi ada satu perkara lagi yang membuatkan aku tergamam.

“Perut papa berdarah…,” ujarku.

Dan semua orang di situ menjadi panik dan semakin kronik apabila papa pengsan.

 

*****

Aku memeluk papa seerat-eratnya.

“Adik minta maaf pa. Selama ini adik tak suka papa sebab papa lembut.”

Papa hanya ketawa. “Adik patut tahu yang dulu papa ini bekas gangster dan papa hanya pura-pura lembut.”

Papalah penyelamat aku yang paling aku sayang.

 

 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: