Certot

Penulis cilik

Hasil nukilan Nur Hidayah 2 years agoFiksyen 39

   Aisyah seorang yang amat suka menulis. Dia juga pernah mempunyai impian untuk menerbitkan bukunya sendiri. Tetapi, setiap kali dia menyertai pertandingan menulis cerita atau cerpen, dia tidak pernah memenangi pertandingan itu. Aisyah berasa amat sedih dan hampa. Dia seperti sudah berputus asa. Impiannya untuk menjadi seorang penulis cilik seperti tidak akan tercapai. Keputusan pertandingan menulis cerpen yang disertai Aisyah baru-baru ini juga amat menghampakan. Dia kalah sekali lagi. Dia menangis berseorangan di dalam biliknya.

“Aisyah, kenapa menangis ni? Sudahlah, cuba cerita dengan ibu,” pujuk Puan Azira.

“Aishah kalah lagi pertandingan menulis cerpen ibu,” kata Aishah sambil menangis.

Puan Azira mengusap lembut kepala anaknya. Dia tahu anaknya amat minat dalam bidang penulisan, tetapi tiada rezeki. Sudah banyak pertandingan disertai, tetapi masih kalah juga. Puan Azira kemudian tersenyum memandang anaknya.

“Aisyah, tadi ibu tengok dekat internet ada satu pertandingan menulis cerpen. Aisyah nak masuk?” soal Puan Azira. Dia pasti berita ini akan membuatkan anaknya gembira.

“Takpelah, ibu. Aisyah dah penat. Aisyah rasa, elok Aisyah lupakan impian Aisyah tu. Impian tu tak mungkin tercapai untuk orang macam Aisyah,” kata Aisyah dengan nada yang sayu.

Puan Azira terkejut mendengar pengakuan anaknya. Dia seakan-akan tidak percaya mendengar kata-kata Aisyah. Selama ini, anaknya selalu bersemangat waja apabila ada pertandingan sebegini. Tetapi kali ini tidak. Anaknya benar-benar sudah berputus asa. Puan Azira kemudian berlalu keluar dari bilik anaknya. Dia hanya mampu berserah kepada Allah.

~~~~~~~~~~~~~

Puan Azira sedang menyiram pokok bunga di halaman rumahnya. Dia melihat semua pokok bunga hidup dengan subur.

“Ibu,” kata Aisyah.

“Ye Aisyah, kenapa?” soal Puan Azira.

“Pertandingan hari tu dah ditutup ke penyertaannya. Kalau belum, Aisyah nak masuklah,” kata Aisyah lagi.

“Emm, ibu dah agak. Anak ibu ni mesti nak masuk. Takpe nanti ibu daftarkan,” balas Puan Azira.

“Tapi ibu, kalau Aisyah tak menang juga pertandingan ni, Aisyah dah tak nak masuk pertandingan lain nanti,” kata Aisyah.

Puan Azira kemudian mengangguk tanda setuju.

~~~~~~~~~~~~

Kini, sudah seminggu pertandingan yang disertai Aisyah berakhir. Aisyah berdebar-debar menanti keputusannya.

Ibunya pun menyemak nama para pemenang di internet. Tertulis di situ, tempat pertama ialah… Nur Aisyah binti Umar.

Puan Azira segera memberitahu Aisyah tentang hal itu. Aisyah berasa sungguh gembira. Kini dia sedar, jika kita berusaha pasti akan membuahkan hasilnya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: