Certot

Pengorbanan Seorang Ibu

Hasil nukilan Sahara Nagayashiko 1 year agoFiksyen 52

Matahari telah tinggi di atas kepala. Ainun dan ibunya, Puan Azizah ke pasar mini berdekatan. Sebelum masuk ke dalam pasar mini tersebut, mata Ainun telah tertumpu pada beberapa biji coklat yang berada di atas kaunter di situ. Ainun terus melintas jalan tanpa melihat ke kiri dan ke kanan. Ainun berlari sambil memegang kain baju kurungnya ke arah kaunter itu seperti Cinderella, tetapi yang ini versi lain sedikit. Versi yang ini memakai baju kurung, bertudung, dan agak berisi. Muslimah sedikit.

“Ainun , hati-hati!” laung Puan Azizah dari tempat parkir kereta.

Pap!

Kuat kedengaran hentakan Ainun pada pintu automatik pasar mini tersebut. Semua orang terkejut melihat wajah Ainun yang montel itu terlekat pada pintu automatik pasar mini yang lut sinar tersebut. Ada yang terpinga-pinga melihat Ainun di muka pintu, ada yang menangis, ada yang buat tak tahu, ada yang tahan gelak. Macam-macamlah.

Ainun tahan nangis. Ainun teringatkan kata-kata yang selalu diucapkan oleh ibunya jika sakit.

“Anak ibu ni kan kuat, gagah perkasa.” Begitulah kata-kata ibunya. Di samping itu, Puan Azizah menunjukkan otot lengannya. Lemak sahaja lebih. Anak dengan ibu sama sahaja. Bak kata pepatah, ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya’.

Puan Azizah segera ke muka depan pintu pasar mini. Kasihan melihat anaknya itu. Habis merah pipi Ainun yang montel itu terlanggar dengan pintu automatik tersebut.

“Sakitlah ibu, rasa macam kena tampar sahaja,” kata Ainun sambil mengusap pipinya yang kemerah-merahan itu.

“Anak ibu kan kuat macam besi. Sudah, jangan lari-lari,” pujuk Puan Azizah. Sudah agak, mesti Puan Azizah akan berkata begitu.

Ainun mengangguk dan berjalan ke arah kaunter yang terdapat beberapa biji coklat di dalam kotak. Dia melihat satu per satu coklat itu untuk memilih jenis yang paling sedap. Dia tertarik pada sebiji coklat. Di atas pembalut coklat itu tertera perkataan ‘5 in 1’, Ainun memberitahu kepada ibunya bahawa dia mahu coklat itu. Tetapi, Puan Azizah tidak memberi kebenaran kerana harganya cukup mahal.

Ainun pulang ke rumah dengan muka yang murung. Puan Azizah sudah banyak kali memujuknya, tetapi langsung tidak memberi keberkesanan.

*****

Pada keesokan harinya, selepas solat isyak, Puan Azizah mengeluarkan sebuah kotak panjang yang comel siap bereben dan memberikannya kepada Ainun.

Ainun mengambil kotak itu dan bertanya. “Apa isi di dalam kotak ini, ibu?” Soalan itu diucapkan oleh Ainun dengan cukup hairan.

“Bukalah kalau mahu tahu,” kata Puan Azizah dengan senyuman yang manis.

Ainun membuka simpulan reben itu dan mengangkat topi kotak itu. Ainun gembira tak terhingga apabila dapat diketahui isi kotak itu ialah coklat yang dikehendakinya semalam di pasar mini. Ainun mendakap erat tubuh Puan Azizah. Puan Azizah masih lagi dengan senyumannya itu.

“Terima kasih ibu, sayang ibu.” Kata-kata itu diluahkan dengan gembira oleh Ainun.

‘Ya Allah, betapa besarnya pengorbanan seorang ibu itu Ya Allah,’ kata Ainun dalam hati. Sehingga kini, Ainun masih membeli coklat itu. Tambahan, Ainun kini mempunyai syarikat coklatnya sendiri

“Tamat. Begitulah pengorbanan seorang ibu. Ibu sebenarnya sanggup mengorbankan apa-apa sahaja demi melihat anaknya bahagia. Jadi pengajarannya ialah janganlah kita menyusahkan ibu bapa kita. Kadang-kadang, perkara remeh ialah perkara yang sangat penting untuk diri kita. Jadi, Syahida dan Aina jangan lupa untuk hargai ummi,” kata Ainun kepada anak-anaknya.

“Baik, ummi,” jawab anak-anak Ainun.

“Ainun sayang, mari makan. Sudah selesai hidang ni”laung Puan Azizah sambil memegang mangkuk yang berisi lauk di dapur.

“Baik, ibu.”jawab Ainun di dalam bilik. Dia sedang menyiapkan kerja sekolahnya.

“Ummi, ummi,” panggil Aina sambil menggoyang-goyangkan peha ibunya.

“Oh, ada apa?” tanya Ainun sambil mengelap air matanya dengan hujung lengan bajunya. Dia terkenangkan arwah ibunya.

“Aina nak makan,” kata Aina yang kelaparan.

“Okey, okey. Mari kita makan,” kata Ainun kepada anaknya.

Juga daripada penulis ini:

  • Otosan

Cerita lain: