Certot

Papa Hero!

Hasil nukilan Nur Hidayah 2 years agoSuperhero 2

 “Alia,dah siap mop lantai belum?” soal Puan Layla dengan nada suara yang tegas.

“Sudah, ibu,” jawab Alia.

Alia duduk di dapur dengan peluh yang menitik di dahi.Nafasnya juga tercungap-cungap kerana kepenatan.

 Itulah rutin Alia, seorang gadis yang berumur 12 tahun. Alia tidak bersekolah seperti gadis lain yang sebaya dengannya malahan disuruh melakukan kerja rumah seperti, membasuh baju, mengemas rumah, dan lain-lain lagi.

Alia juga sering dimarahi ibu dan bapanya sekiranya dia melakukan kesalahan kecil. Pernah juga Alia dirotan berkali-kali sehingga dia mengalami demam panas hanya kerana dia tertumpahkan air di atas lantai.

Alia kemudian keluar dari rumahnya kerana terdengar suara kanak-kanak sedang bermain.

 “Hai, Alia!” tiba-tiba seorang gadis menegur Alia.

 “Hai, Diana! Siapa tu?” soal Alia sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah tiga orang kanak-kanak yang sedang berkejar-kejaran dengan riang.

“Oh, itu adik sepupu saya. Mereka tengah bermain dengan adik saya,” terang Diana.

‘Seronoknya mereka. Kalaulah aku ada keluarga yang bahagia macam tu.’ 

“Alia! Alia!” Tiba-tiba kedengaran suara Puan Layla dari dalam rumah.

“Eh, Diana. Ibu saya dah panggil tu. Saya masuk dulu,” pinta Alia.

Diana hanya melihat Alia terkocoh-kocoh berlari ke dalam rumah. Diana  menggeleng-gelengkan kepalanya. Memang dia tahu rutin harian Alia. Dipaksa melakukan kerja rumah dan tidak bersekolah pula. Diana sangat kasihan dengan Alia. Tapi, Diana sendiri tidak tahu cara membantu Alia. Diana hanya membantu Alia dengan menjadi kawan Alia dan mendengar cerita sedih Alia setiap hari.

          *****

Alia meletakkan hidangan sarapan di atas meja.Kemudian,dia segera membancuh air teh.

 Puan Layla dan Encik Fazil bangun dengan bersenang-lenang. Semua kerja yang sepatutnya mereka lakukan dilakukan oleh Alia.

“Kereta siapa tu? Mewah betul!” Encik Fazil jadi terpaku melihat sebuah kereta BMW hitam di depan rumahnya pada awal pagi.

“Yalah, mesti orang kaya!” Puan Layla pula sudah tersengih seperti kerang busuk. Maklum sahajalah, suami isteri itu memang jenis mata duitan.

Alia juga turut sama mahu tengok tapi dihalang oleh ibu bapanya.

“Kamu duduk di dapur sana!” arah Encik Fazil.

Alia hanya menurut arahan ayahnya tanpa membantah.

 Seorang lelaki yang segak  dengan memakai cermin mata hitam dan berpakaian kemas masuk ke rumah Encik Fazil dan Puan Layla.

“Erm, silakan masuk.” Puan Layla cuba berlakon baik dan mempelawa lelaki itu masuk ke dalam rumahnya.

“Tuan ni siapa?” soal Encik Fazil yang sengaja menggunakan bahasa yang sopan.

Lelaki itu lantas menanggalkan cermin mata hitamnya. Puan Layla dan Encik Fazil jadi ternganga mulut.

Aku datang sini nak ambil anak kandung aku, Alia!” kata lelaki itu.

 Alia yang terdengar dari dapur terkejut.

 “Anak kandung?” 

Alia lantas berlari ke ruang tamu. Dia memerhatikan lelaki yang segak bergaya itu.

“Alia!” panggil lelaki itu dan dia terus berdiri.

Alia berjalan perlahan-lahan menuju ke arah lelaki itu.Tiba-tiba tangannya ditarik oleh ibu bapanya.

“Hei, apa yang kau cakap ni? Alia anak kami!” Encik Fazil bersuara keras.

 Lelaki itu terkejut lantas berkata, “Alia, ini papa. Ini papa. Percayalah.” 

Alia cuba untuk menarik tangannya tapi tidak berjaya. Akhirnya lelaki itu turut sama menarik tangan Alia.

Secara tiba-tiba juga Encik Fazil melepaskan tangan Alia. Puan Layla jadi hairan dengan suaminya. Lelaki itu cuba membawa Alia keluar.

“Ah, bahaya!” jerit Alia apabila terlihat Encik Fazil memegang pisau.

Lelaki itu melindungi Alia dengan badannya. Akhirnya,pisau itu terkena pada tangan lelaki itu. Darah mengalir tidak berhenti.

 Encik Fazil dan Puan Layla terus berlari keluar dari rumah.

 “Papa!” 

“Tolong! Tolong!” Alia menjerit meminta tolong.

        *****

Kini barulah Alia tahu, Puan Layla dahulu ialah pembantu rumah ayahnya dan Encik Fazil merupakan pemandu ayahnya.

Mereka telah melarikan Alia ketika Alia masih bayi kerana mereka tidak mempunyai anak.

Kini, Alia hidup bersama ayahnya, Encik Aiman dan dia juga rupa-rupanya mempunyai adik kembar, Arif dan Ariffin.

“Terima kasih, papa. Selamatkan Alia! Papa hero!” kata Alia.

“Sama-sama,” balas Encik Aiman sambil tersenyum.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: