Certot

Pantun

Hasil nukilan LIN HADHIRA 2 years ago 222

Cepat Hadhira! Ada 20 saat lagi sebelum masa menjawab pantun tamat!” kata cikgu Nurul. Dahiku sudah berpeluh. Aku tidak tahu apakah pembayang yang sesuai buat pantunku.

Ting!

Bunyi loceng menandakan masa menjawab pantun sudah pun tamat. Saat itu hatiku berasa sangat berdebar. Aku takut dimarahi cikgu Nurul kerana tidak memberikan pembayang yang terbaik buat pantunku. 

“Hadhira, cikgu sudah ajar awak membuat pantun berkali-kali! Mengapa pantun ini masih tidak sempurna?” 

Mataku sudah berair menahan rasa sebak di hati. Aku mengaku,aku tidak pandai membuat pantun.

Kring! 

Loceng sekolah berbunyi menandakan tamatnya waktu sekolah. Aku segera menggalas beg sekolah dan berlalu. 

“Tunggu! Cikgu nak kamu buat yang terbaik untuk pertandingan pantun esok,” kata cikgu Arina, cikgu yang melatih aku dan rakan yang lain berpantun. Aku hanya tersenyum lalu menyalam cikgu Arina dan cikgu Nurul.

Malam itu aku hanya duduk di dalam bilik, bermain komputer riba untuk menenangkan perasaan. Aku membuka laman sesawang seorang seniman .Setiap perkataan yang ditulis sangat menenangkan hati ini

“Usaha kunci kejayaan.” Itulah yang sentiasa bermain di fikiranku. Aku tertidur kerana kepenatan.

“Bangun!” ujar Puan Fatimah, ibuku. Aku segera bangun dan menyiapkan diri.

“Semoga berjaya!” kata ibuku.

Aku segera keluar dari kereta selepas bersalaman dengan ibu. Hari ini hari yang sangat bermakna bagiku. Aku memakai kebaya satin yang berwarna biru muda. 

Aku segera menuju ke bilik pantun untuk bertemu rakan yang lain. 

“Mari kita bergerak ke Sekolah Kebangsaan Sentosa,” kata cikgu Nurul. Kami ke sana dengan penuh keyakinan untuk merangkul gelaran juara.

Dalam perjalanan aku dan rakan yang lain berdoa dengan bersungguh-sungguh. Tiba sahaja di perkarangan SK Sentosa itu, kami terus mendaftar di kaunter pendaftaran lalu bergegas ke dewan sekolah bagi taklimat mengenai pantun.

Selesai taklimat kami semua terus berlawan pantun. Aku berasa gemuruh, namun demi mengharumkan nama sekolah, tetap kutabahkan juga hati ini. Alhamdullillah! Dengan izin Allah, pasukan pantun sekolahku menjuarai pusingan awal dan suku akhir. Namun, prestasiku sangat lemah. Hanya rakan sepasukan pantunku sahaja yang menyumbangkan markah yang banyak.

“Hadhira, kamu perlu tingkatkan lagi semangat dan usaha untuk pusingan separuh akhir esok,” ujar cikgu Arina.

Keesokan pagi, kami semua bergegas ke bilik perlawanan peringkat separuh akhir. Aku berasa teruja dan yakin kerana kata-kata semangat dan dorongan dari ibu bapa dan guru.

“Alhamdullillah! Kita merangkul gelaran juara sekali lagi!” jerit cikgu Nurul keriangan. Aku turut berasa gembira. Walaupun ini tahun pertama aku menyertai pantun, tetapi aku berjaya mengekalkan gelaran juara. Sudah tiga tahun sekolahku menjadi juara.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: