Certot

Ibu, Aku Sayang Kamu

Hasil nukilan DD al-Qadhi 2 years agoSuperhero

Adakah kau mengerti siapa itu ibu? Adakah kau tahu betapa peritnya dia melahirkan kita? Kerana ibulah, aku berada di sini dan kerana ibu aku masih boleh berlari riang dan merasai kehidupan dunia sementara ini.

Aku seorang yang agak malas dan kadang-kadang tidak acuh dengan kata-kata ibuku. Secara tidak langsung ia membuatkan aku tidak menghormati ibuku. Sentiasa bertangguh bila ibu meminta tolong. Masih terngiang-ngiang di benak kepalaku akan peristiwa lama. Aku meninggikan suara kepada ibu. Oh ibu! Maafkan aku. Tetapi kerana seorang budak aku berubah. Ya, itulah kisah silamku.

Dua tahun lepas, aku keluar bersiar-siar di Kampung Lalang. Ketika itu, aku terlihat seorang budak lelaki dibuli. Dia berpakaian buruk dan dirinya kelihatan amat selekeh. Dia berada dalam keadaan ketakutan. Pada waktu itu terlihat budak itu dipukul oleh dua orang budak yang kelihatan lebih besar berbandingnya.

Aku dari jauh menyergah budak lelaki itu. “Kamu buat apa? Jangan apa-apakan budak itu?” kataku lantang.

Budak-budak itu terus lari lintang pukang. Aku dengan pantas pergi menolongnya lalu aku bertanya pada budak itu. “Adik okey? Mengapa adik dipukul?”

“Mereka mengacau dan mengejek saya. Mereka geli dan mertertawakan melihat baju. Saya miskin dan tidak mampu memiliki baju bersih apatah lagi baju baru. Ibu pula sakit. Saya terpaksa mengambil upah mencuci kereta.” ujar budak itu sambil menangis.

“Sudahlah dik, mereka sungguh tidak berperi kemanusiaan. Mari abang hantar kamu pulang.”

Lalu budak itu sekadar menganguk. Dalam perjalanan, aku sempat berkenalan. Namanya Adam.

*****

Apabila sampai di rumahnya, aku melihat kelibat ibunya yang agak tua dan sedang batuk teruk lalu aku menghampirinya dan seperti kelihatan keluar darah dari mulutnya.

“Mak cik sudah lama batuk?” kataku. Lalu perempuan berusia lewat 50-an itu berkata, “Sebenarnya mak cik menghidap penyakit barah otak tetapi Adam tidak tahu tentang perkara ini. Mak cik takut dia risau.”

“Jika begitu, mari saya bawa mak cik ke hospital, saya akan meminta ibu dan ayah saya menolong mak cik membayar kos perubatan,’’ kataku lagi.

“Tidak perlu, mak cik dapat merasa bahawa umur mak cik ini tidak lama dan akan pergi tidak lama lagi,” katanya sambil mengesat air matanya.

Kelihatan dari jauh Adam sibuk mengemas rumahnya. Adam sangat ringan tulang. Walaupun baru berumur sembilan tahun tetapi dia seorang yang ambil berat tentang ibunya setelah ketiadaan ayahnya. Adam seorang anak tunggal. Dalam hatiku terdetik, aku sangat beruntung dilahirkan dalam keluarga yang sempurna. Boleh dikatakan kehidupanku jauh lebih senang daripada hidup Adam. Ibu menyayangiku tetapi aku kadang kala melawan kehendak mereka. Oh ibu.

“Nak?” ujar wanita itu. Aku tersedar dari lamunan.

Aku terdiam dan perempuan itu berkata lagi, “Kalau kamu hendak tolong, tolong belikan pensil warna buat anak mak cik.”

“Baiklah mak cik, esok saya akan datang membawa pensil warna.” Lalu aku pun balik.

Dalam perjalanan pulang aku mengenang peristiwa yang menyayat hati itu. Aku bertuah memiliki kehidupan yang bahagia dan serba baik. Sampai di rumah, aku memeluk erat ibu dan menceritakan tentang hal itu. Aku berjanji akan mendengar kata-kata ibu dan sentiasa akan menolong ibu. Ibu berkata akan menolong mereka dan akan melawat mereka.

*****

Keesokannya aku dan ibu datang membawa pensil warna di samping yang sama ibu membeli barang keperluan dapur untuk mereka. Apabila aku jejak kaki di rumah itu kelihatan mak cik itu sedang baring. Anaknya pula sedang makan di sebelahnya.

‘’Assalamualaikum, mak cik ini ibu saya,” ujarku. Mereka bersalaman.

“Ini pensel warna yang mak cik pesan,” kataku lagi.

“Terima kasihlah, maaf kerana menyusahkan,” katanya.

“Eh kak, mana ada susah pun, sudah tanggungjawab kami menolong mana yang mampu,” kata ibu.

“Adam! ambilllah pensel warna ni,” kataku sambil tersenyum.

Adam mengambilnya dengan senyuman dan berkata, “Terima kasih abang, terima kasih mak cik.”

Selepas selesai makan,dia terus melukis dengan pensil warna yang telah kuberikan, seraya itu anaknya berkata, “Ibu marilah tengok Adam melukis.”

Dengan kata-kata anaknya itu ternampak linangan air mata ibunya, mak cik itu cuba untuk bangun tetapi tiada kudrat, lalu Adam mendapatkan ibunya sambil melukis lagi.

“Ibu ini rumah kita nanti, ada dua tingkat, besar dan ada taman. Ini Adam sedang mengayuh basikal,” kata Adam.

Kemudian ibunya bertanya, “Mana ibu?”

Lalu anaknya berkata, “Ini ibu sedang berehat di laman.”

Aku hanya melihat dari jauh dan dalam tidak sedar kami anak beranak terharu. Tanpa disedari air mata ibuku mengalir. Aku turut terharu melihat kemesraan mereka dalam keadaan serba kekurangan itu. Sejak dari itu aku tidak pernah melawan kata ibuku dan sentiasa menolong ibu. Aku banyak meluangkan masa bersama keluarga. Terima kasih Ya Allah akan pengajaran yang bermakna ini dan memberi hidayah padaku.

Kini aku kenal betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Terima kasih, ibu. Aku berjanji pada diriku sejak peristiwa itu, aku akan menjadi anak yang baik, mendengar kata, dan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa ibu.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: