Certot

NILAM Star

Hasil nukilan Amelia 2 years agoFiksyen 8

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang dihormati guru besar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permata, Encik Rahman bin Abdul Hadi, barisan guru penolong kanan, guru-guru, dan murid-murid yang saya kasihi sekalian. Saya, Puan Hamidah, selaku guru pemimpin Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS), ingin menyampaikan satu pengumuman. 

Bermula pada 15 Februari 2016, iaitu pada hari esok sehingga 30 Ogos 2016 akan diadakan pertandingan Nadi Ilmu Amalan Membaca atau NILAM. Murid-murid hanya perlu membaca seberapa banyak buku dan catatkan pada buku NILAM. Buku NILAM ini boleh didapati di pusat sumber sekolah secara percuma. Peserta khususnya tingkatan lima yang membaca buku paling banyak akan dipilih menjadi juara sekali gus  menyandang gelaran Tokoh NILAM peringkat sekolah. Sebarang pertanyaan lanjut, boleh rujuk papan kenyataan sekolah. Sekian, terima kasih.”

Ariana melonjak kegembiraan sebaik sahaja pengumuman itu berakhir. Dia sememangnya seorang yang gemar membaca buku. Dia berazam akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyandang gelaran Tokoh NILAM. Dia yang berada di tingkatan lima pada tahun ini mempunyai peluang yang cerah menyandang gelaran tersebut.

Seketika dia terlupa, sekiranya seseorang itu mahu melakukan sesuatu perkara, niat perli ikhlas. Lakukannya kerana Allah, bukan kerana mahu mendapatkan pujian semata-mata. Sesiapa yang melakukan sesuatu perkara itu kerana Allah, Insya Allah perbuatannya akan diberkati dan diredhai oleh Allah Yang Maha Esa.

*****

Pada waktu rehat, kebanyakan pelajar lebih gemar mengisi perut di kantin. Tidak seperti Ariana, dia selalu terperap di dalam kelas dan mengulang kaji pelajaran. Dia akan hanya makan sekurang-kurangnya dua biji karipap sardin sebagai alas perutnya.

“Sudah tentu aku yang akan menyandang gelaran Tokoh NILAM itu,” kata Nabila, rakan sekelas Ariana dengan bongkaknya.

Ariana yang kebetulan terdengar inti pati percakapan Nabila, menjegilkan biji mata. Dengan perasaan marah yang berapi-api, dia berjalan ke meja Nabila. 

“Apa engkau kata sebentar tadi? Engkau fikir kau boleh menang semudah itu?” Ariana melepaskan amarahnya di hadapan  muka Nabila.

Bernanah telinga Nabila dibuatnya apabila mendengar kata-kata sinis daripada Ariana itu. Dia membalas kembali, “Salahkah jikalau saya menaruh harapan untuk menang?”

“Memang salah kerana aku sahaja yang layak untuk menyandang gelaran Tokoh Nilam itu!”

“Mengapa pula engkau berkata sebegitu?” tanya Nabila. Dia sekadar bersikap selamba sahaja.

“Ini kerana aku lebih bijak daripada engkau. Engkau mana mampu mengalahkan aku!” balas Ariana dengan lantang.

Nabila mengaku bahawa Ariana sememangnya murid terpandai di dalam kelas. Tahap kebijaksanannya tidak setanding dengan Ariana. Ariana sering mendapat kedudukan nombor satu setiap kali musim peperiksaan menjelang. Nabila pula? Tidak perlu diceritakan lagi! Dia sering mendapat nombor berbelas-belas.

“Saya ada idea! Apa kata sekiranya kita membuat pertandingan sendiri? Pertandingan NILAM itu akan bermula hari esok, bukan? Kita akan menilai buku NILAM masing-masing. Sesiapa yang membaca bahan bacaan paling banyak, dia dikira sebagai pelajar yang paling layak menyandang gelaran Tokoh NILAM. Saya akan memeriksa buku kamu berdua pada minggu hadapan,” cadang Karmila. Dia muncul sebagai orang ketiga.

Cadangan Karmila mendapat persetujuan daripada Ariana dan Nabila.

“Baik, kami setuju!” Ariana dan Nabila berkata serentak.

******

setelah seminggu berlalu, seperti yang dijanjikan, Ariana dan Nabila berkumpul di dalam kelas pada waktu rehat. Mereka sanggup berlapar demi menentukan siapakah yang paling layak menyandang gelaran Tokoh NILAM. Karmila akan menjadi pengadil bagi pertandingan ini.”

“Baiklah, keluarkan buku NILAM kamu berdua.”

Ariana membelek-belek buku NILAMnya. “Eh, mengapa ada kesan contengan pada buku NILAM saya?”

“Ini mesti engkau yang conteng, bukan?” Ariana membuat tuduhan secara melulu.

Nabila buat endah tidak endah sahaja pada pertuduhan Ariana yang tidak berasas itu. “Tiada bukti, bukan? Jadi, jangan suka-suka tuduh dong, “Nabila mengajuk cara orang Indonesia bercakap. Ariana hanya mencebik melihat aksi Nabila itu.

Karmila mula meneliti buku NILAM mereka berdua. “Eh, mengapa catatan kamu berdua sama?Semua bahan bacaan yang dicatat oleh Nabila sama secetak dengan buku kamu, Ariana.”

“Apa!” Ariana pura-pura terkejut. Padahal, dia yang meniru catatan Nabila itu. Dia sanggup membuat apa sahaja asalkan dia dipilih menjadi pemenang.

“Ermm… peliknya. Mengapa pula? Adakah engkau meniru catatan aku, Ariana?”

“Eh, mana ada! Engkau tiada bukti yang kukuh. Jadi, jangan nak tuduh-tuduh, okey,” Ariana berkata sepertimana ayat yang dinyatakan oleh Nabila sebentar tadi. Gedik!

“Engkau tidak perlu berdalih lagilah, Ariana! Semua bukti sudah terang lagi bersuluh. Engkau bersalah.”

“Adakah perbuatan engkau itu tidak salah, Nabila? Mengaku sahajalah bahawa engkau yang conteng buku aku. Engkau cemburu melihat catatan aku yang banyak,” balas Ariana.

“Jaga sedikit mulut engkau yang laser itu! Aku sumbat cili baru tahu!” Nabila mula hilang sabar. Dia dengan pantas mencapai hujung tudung Ariana dan terus menariknya dengan sekuat hati. Terjerit-jerit Ariana apabila diperlakukan sedemikian rupa.

Zakri yang baru sahaja masuk kelas terkejut melihat pergaduhan dua rakan sekelasnya itu. Dia beristighfar panjang.

“Ya Allah, apa yang berlaku ini?Mengapa kamu berdua main tarik-tarik tudung?” tanya Zakri.

“Mereka berdua bergaduh kerana tidak puas hati sesama sendiri. Mereka berebut mahu menyandang gelaran Tokoh NILAM pada tahun ini,” jawab Karmila. Dia pun mula menjadi tidak menentu sebaik sahaja melihat pergaduhan yang tidak disangka-sangka itu.

Zakri menggeleng. Kesal dengan sikap rakan sekelasnya yang keanak-anakan.

“Kamu berdua sebagai rakan sekelas, perlu tolong-menolong. Kita perlu menjaga perhubungan supaya ukhuwah tidak terputus begitu sahaja. Rasulullah s.a.w. tidak menyukai umatnya yang memutuskan hubungan persaudaraan, lebih-lebih lagi dengan sanak-saudara sendiri,” Zakri mula memberi tazkirah ringkas. Dia memang telah dididik oleh ibu bapanya menerapkan sifat-sifat islamiah dalam diri.

Ariana dan Nabila berhenti bergaduh. Terpancar keinsafan melalui mata mereka. Memang benar. Pergaduhan sebegini tidak membawa apa-apa keuntungan. Sebaliknya hanya membuatkan hubungan sesama mereka terputus.

“Saya minta maaf, Nabila. Saya mengaku yang saya telah meniru catatan awak. Saya telah tergoda dengan bisikan syaitan.,A riana memohon maaf dengan tulus ikhlas. Dia sedar perbuatannya selama ini akan memakan dirinya sendiri sahaja.

“Saya pun mahu meminta maaf. Saya harap awak dapat memaafkan saya atas kesilapan saya yang telah menconteng buku NILAM awak,” ucap Nabila.

Ariana dan Nabila saling berpelukan. Mereka berjanji akan terus menjaga persahabatan mereka sehingga akhir hayat.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: