Certot

NAJYA!

Hasil nukilan ANadrah about 3 years agoFantasi 34

Najya mengeluh kuat. Badannya terasa sakit-sakit. Bila dia buka mata, Najya pelik. Di mana dia? Bukankah dia di laman rumah nenek? Baru sebentar tadi dia memanjat tingkap bersama beg galas. Dia masih ingat, beg galas EXO yang mama belikan dulu itu dicampaknya ke tanah melalui tingkap kayu. Seingat dia, sesudah itu, dia terjun dari tingkap bilik. Dia mahu pulang ke Kuala Lumpur. Dia bencikan kampung ini!

Dia bencikan mama dan papa. Sanggup mama dan papa hantar dia ke kampung. Ya, dia tahu mama dan papa ke Mekah untuk tunaikan umrah, tetapi kenapa tinggalkan dia bersama nenek. Rumah nenek rumah kayu. Walaupun besar dan cantik, dia bencikannya. Di sini tiada talian Internet mahu rancangan kegemarannya. Sudahlah begitu, televisyen milik nenek pula tiada suara. Geramnya dia! Terus dia terputus hubungan dengan dunia. Dengan kumpulan K-pop kegemarannya, mahupun tidak dapat berfacebook, dan melayari Internet. Dia bencikan kampung ini! Dia bencikan semua!

Dia buka mata. Jam Baby-G pemberian papa masih ada. Baru jam 4.00 pagi. Najya mengeluh. Sakit lututnya terhentak tanah yang keras. Najya pandang sekeliling. Berkabus dan masih gelap. Najya bangun, mengutip beg galasnya. Aik, mana rumah nenek? Kenapa hanya ada hutan tebal. Di mana dia? Walaupun rumah nenek di tepi sungai, rumah nenek bersih dan tidak jauh dari jalan utama. Pelik. Mana pergi pangkin kayu dan garaj kereta? Mana pergi rumah nenek?

“Kau sudah sesat. Kau takkan dapat pulang lagi.” Najya menoleh. Seekor kucing hitam bertanduk. Mata hijau kucing itu memandangnya. Eh, bukankah ini Rentung, kucing nenek? Rentungkah yang bercakap?

“Ya. Aku yang bercakap. Kau cucu yang tak mengenang budi. Kau budak nakal. Selalu menyusahkan nenek. Kau selalu tarik ekor aku, pulas telinga aku.”

Apa? Dia bermimpikah?

“Aku benci di sini! Aku bencikan kau! Aku bencikan nenek! Semua tak boleh! Aku mahu balik ke Kuala Lumpur!”

Rentung menggerakkan misainya. “Pergilah. Kalau kau mahu pulang ke Bandar Cahaya, seberangi sungai itu. Dalam sungai itu ada seekor raksasa bernama Sulur Bidar. Jika dia izinkan kau menyeberang, kau berjaya. Kemudian, kau akan berjumpa dengan Sang Kancil, jawab teka-tekinya dengan betul. Akhir sekali, kau akan berjumpa dengan seorang nenek tua, Nenek Kebayan. Jika kau dapat pilih yang mana satu sirih kegemarannya, kau akan jumpa Bandar Cahaya.”

Najya ternganga.

“Jika aku gagal?”

Rentung mengiau. “Kau selamanya menjadi hamba aku di alam ini.”

“Tidak!”

Pipinya ditepuk lembut.

“Bangun solat subuh, cu.”

Dia bangun mata.

Nenek!

Najya peluk nenek erat-erat. Dihujung katil, Rentung bagai tersenyum.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: