Certot

My Talent - Speedcubing

Hasil nukilan ahanim 2 years agoFiksyen 42

“Johan bagi pertandingan Rubik’s Cube Open Malaysia 2018 jatuh kepada… Sakinah Mawaddah. Dipersilakan Sakinah naik ke atas pentas untuk menerima hadiah yang berupa sebuah trofi, wang tunai sebanyak RM 500, sebuah Moyu Lingpo, dan juga sebuah Moyu Aolong.”

Tepukan gemuruh bergema di dalam dewan yang disertai dengan sorakan peserta lain. Sakinah yang tergamam terus naik ke atas pentas. Tiba-tiba dia tersadung ketika menaiki tangga dan suasana dewan terus bertukar menjadi di dalam bilik.

“Hmm… mimpi rupanya,” keluh Sakinah lalu dia bangun daripada katil. Kemudian, dia segera bersiap-siap untuk pergi ke sekolah.

Dalam perjalanannya ke sekolah, Sakinah bertembung dengan rakan karibnya, Amirah yang tinggal berhampiran dengan rumahnya. Ketika itu, lorong menuju ke sekolah mereka masih lagi sunyi. Untuk memecahkan kesunyian, Amirah segera memulakan perbualan.

“Sakinah, hujung tahun nanti ada Malaysia Open. Jom kita pergi,” ajak Amirah dengan harapan yang tinggi.

Kata-kata Amirah itu membuatkan Sakinah teringat balik akan mimpinya. Namun Sakinah tidak mahu menceritakan apa-apa kerana dia menganggap mimpi itu adalah hal yang memalukan dirinya.

“Sakinah, kenapa hari ini awak diam sahaja?” tanya Amirah kerana berasa geram dengan tindak balas Sakinah.

Sakinah tetap membisu, tetapi dia memberi respons dengan menggelengkan kepalanya menandakan dia tidak mahu pergi ke pertandingan tersebut.

“Takkanlah awak tidak mahu pergi,” balas Amirah tidak percaya.

“Entahlah. Saya rasa kita berdua macam tidak ada masa untuk berlatih sebab tahun ini kita berdua akan menghadapi peperiksaan PT3. Awak sudah lupa ke? Kalau boleh, kita bincang lepas peperiksaan itu habis.”

Kata-kata Sakinah membuatkan Amirah terdiam dan mereka berdua pun meneruskan perjalanan mereka ke sekolah dalam keadaan mulut masing-masing berkunci.

Semasa mereka tiba di sekolah, perhimpunan rasmi hampir bermula. Sakinah dan Amirah terus menyertai rakan sekelas mereka yang lain. Aktiviti seharian di sekolah berjalan seperti biasa dan normal.

Semasa Sakinah sedang berjalan pulang ke rumah, dia ternampak sekumpulan kanak-kanak sedang cuba menyelesaikan satu buah Rubik’s Cube. Sakinah yang melihatnya berasa agak teruja, namun keterujaan itu hanya disimpan di dalam hati kerana memikirkan bahawa dia akan menghadapi PT3.

Beberapa bulan kemudian, akhirnya tiba juga hari yang digeruni para pelajar tingkatan tiga, iaitu peperiksaan PT3. Sakinah yang mendapat semua A semasa percubaan pun berasa agak gementar. Mujurlah Amirah ada untuk menenangkannya.

Dalam peperiksaan Sakinah, Amirah dan pelajar-pelajar yang menjadi harapan sekolah bertungkus-lumus untuk berjaya dalam peperiksaan.

Seminggu selepas minggu peperiksaan tamat, Amirah mengulang kembali perbincangan mereka pada awal tahun.

“Jadi, peperiksaan kita sudah tamat. Awak sudah fikirkan tentang pertandingan itu? Baik awak masuk, Sakinah. Tonjolkanlah keistimewaan awak itu.”

“Baiklah, saya akan masuk. Saya akan mendaftar nama awak sekali di laman web World Cube Association,” jawab Sakinah memberi persetujuan.

Sepanjang hujung tahun sebelum pertandingan itu, Sakinah dan Amirah berjaya mengumpul teknik dan formula-formula penting untuk mencipta satu teknik yang baru.

Sakinah dan Amirah bercadang untuk mengambil bahagian dalam acara 2×2, 3×3, One-handed 3×3, 4×4, Skewb, Megaminx, dan juga Pyraminx.

Semasa pertandingan, Sakinah dan Amirah berusaha untuk mencatatkan masa yang terbaik. Mereka berdua juga telah memecahkan rekod mereka sendiri semasa sedang berlawan.

“Akhirnya, sampai juga masa yang dinanti-nantikan. Dengan ini saya mengumumkan juara bagi Rubik’s Cube Malaysia Open 2018 ialah… Sakinah Mawaddah dari negeri Selangor!” ucap pengacara pertandingan dengan bersemangat sekali.

Sakinah bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Dia pun naik ke atas pentas dan menerima hadiah yang serupa seperti dalam mimpinya. Sakinah sangat bersyukur kerana selang beberapa minggu sebelum itu, Sakinah dinobatkan sebagai Murid Terbaik PT3 di sekolahnya.


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: