Certot

My Perfect Father

Hasil nukilan Emylia Liyana 2 years agoSuperhero 47

             

Tok! Tok! Tok!

Pintu sudah diketuk bertalu-talu petanda minta dibuka oleh orang yang berada diluar. Seorang gadis mendengus kasar sebelum bangun dari katil untuk membuka pintu. Kaki sengaja dihentak menandakan protes.

Dibuka pintu kayu yang sudah reput dan berlubang akibat dimakan anai-anai, serangga perosak. Di hadapannya berdiri seorang lelaki kurus yang berusia dalam lingkungan 40-an. Lelaki yang merangkap ayahnya itu dipandang dengan perasaan menyampah.

“Arny, mengapa baru bangun? Cepat solat dan terus bersiap untuk ke sekolah. Hari inikan hari Isnin.Kamu lupa, ya?” Pak Tahar sudah lenguh tangan mengetuk pintu untuk mengejutkan Arny, anaknya yang liat bangun pagi.

Arny memandang sekilas ke arah jam yang tergantung di dinding bilik. Terbeliak matanya apabila mengetahui dia sudah terlambat bangun. Nampaknya, subuh gajahlah Arny hari ini.

“Mengapa ayah lambat kejut Arny? Tengok, sekarang sudah pukul tujuh!” Marah Arny dengan suara ditinggikan di hadapan Pak Tahar. Memang tidak beradab! Padahal Pak Tahar sudah mengejutnya hampir 10 kali. Dia yang tidak mengendahkan dan masih berbungkus dalam selimut seperti lepat.

Belum sempat Pak Tahar bersuara, pintu bilik dihempas kuat oleh Arny. Berdentum bunyinya. Pak Tahar hanya mendiamkan diri. Langkah diatur ke dapur bagi menyiapkan bekalan buat Arny.

Semenjak isterinya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, Arny mengalami perubahan seratus peratus. Dahulu, dia gadis yang bersifat positif. Tetapi, sekarang sifatnya berlawanan dengan sifat positif.

                                                                        *****

  Usai mengambil bekalan yang disediakan oleh Pak Tahar, Arny pantas mengambil basikal tuanya dan mengayuh selaju mungkin meninggalkan rumah usang tanpa bersalaman dengan ayahnya.

“Habislah aku!” kata Arny separuh menjerit.

Setelah mengayuh selama 12 minit, akhirnya pintu gerbang Sekolah Menengah Cempaka yang besar berada di depan mata. Arny menyinsing sedikit lengan baju sekolah untuk melihat jam tangannya.

“Fuh… ada lagi lima minit sebelum loceng berbunyi.” Arny menghembus nafas lega. Arny turun dari basikal dan menuntun basikalnya ke tempat meletak basikal. Tiba-tiba….

Kedengaran suara menjerit. “Berhenti!” kata seorang pengawas manakala seorang lagi pengawas mendepangkan tangannya. 

Tret! Kaki Arny membuat brek kecemasan. Muka Arny serta-merta pucat apabila ditahan pengawas. Dia ibarat seekor semut yang bersedia untuk dipijak oleh dua ekor gajah yang garang. Arny menelan air liur.

Ya, di depannya memang ada mahluk yang garang. Bezanya, ia bukanlah dua ekor gajah. Ia adalah TFC (Bukan KFC ya!). TFC merupakan singkatan bagi twin fierce chubby. Mereka ialah dua orang budak kembar yang montel dan garang bernama Hana dan Hani. Mereka popular di seantero sekolah disebabkan kegarangan mereka.

“Mari ikut kami ke bilik disiplin!”  Hana dan Hani hampir serentak mengarah dengan lantang. Selepas mengunci basikal, Arny mengikut mereka ke bilik guru.

                                                                         *****

  “Tadah tangan!” Guru disiplin Arny sudah bersedia dengan rotan ditangan.

Arny teragak-agak. “Apa salah aku?” Dia buntu. Pelik bin Ajaib, tadi dia sudah datang awal.

“Hoi! Kamu dengar ataupun tidak? Saya suruh tadah tangan!” jerkah Cikgu Hilmi. 

 Terkejut Arny dijerkah sebegitu. Sungguh! Arny memang benar-benar buntu! Akhirnya, Arny memberanikan diri bersuara.

“Cikgu, boleh saya tahu apa salah saya?” Pertanyaan Cikgu Hilmi dijawab dengan pertanyaan.

 Kelihatan Cikgu Hilmi menepuk dahinya berkali-kali dan mengerutkan muka. Arny yang masih belum faham hanya mengharapkan penjelasan oleh gurunya. Hana dan Hani yang berdiri berdekatan Arny juga membisu sedari tadi. Adakala, mereka seperti mahu menyampuk. Tetapi, dibatalkan niat sama ada menghormati Cikgu Hilmi ataupun mereka yang berlagak garang turut kecut perut mendengar jeritan halilintar Cikgu Hilmi. Arny malas mahu ambil tahu.

“Pertama, kamu datang lewat. Lewat sepuluh minit! Sekarang sudah pukul tujuh empat puluh. Kedua,pakaian kamu. Mengalahkan budak tadika. Kotor! Busuk! Comot!” jelas Cikgu Hilmi dengan panjang lebar. 

Arny melihat jam tangan yang dipakainya. Jikalau tadi Cikgu Hilmi menepuk dahinya berkali-kali, kali ini Arny pula yang menepuk dahinya berkali-kali tanpa belas kasihan. Arny rasa seperti mahu memijak jam tangan yang dipakainya sehingga pecah. Mana tidaknya, jam itu langsung tidak bergerak jarumnya. Sah jam Arny sudah kehabisan bateri!

                                                                              *****

  Kring!

Bunyi itu menandakan waktu sekolah telah tamat. Semua pelajar bepusu-pusu meninggalkan sekolah. Arny sudah terbayang bantalnya yang menunggu di rumah.

Dia sungguh penat apabila dirotan dan didenda memakai lembaran kertas A4 yang bertulis ‘saya lewat ke sekolah’ dileher. Habis satu sekolah menggelakkannya. Panas juga hati apabila diejek dengan kejam oleh pelajar yang tidak berperikemanusiaan. Ada juga yang memandang dengan perasaan simpati, tetapi tidak berani menolong.

“Beri laluan! Anak yatim miskin nak lalu!”

“Cantik rantai! Beli di mana? Saya mahu juga!”

“Euw… budak busuk datang! No wonder it’s so gross!”

“Hai budak kotor!”

Demikianlah ejekan yang diterima Arny. “Ini semua salah ayah!” jerit hati kecil Arny. Makin bertambah rasa menyampah dan benci kepada ayahnya. Tidak patut apabila seseorang membuat salah dan dia menyalahkan orang lain. Pak Tahar juga menjadi mangsa! Kasihan…

Arny juga sempat membuat ulasan bahawa siapa yang garang namanya akan bermula dengan huruf ‘H’, iaitu harimau. Hana, Hani, dan Hilmi…

“Hoi Arny! Jangan lupa petang ini, pukul 5.00. Tunggu kami di tempat biasa,” balas Khalida, rakan karibnya atau lebih mesra dipanggil Khalid kerana perwatakannya yang tomboy. Arny hanya mengangguk. Baginya, yang penting sekarang adalah tidur!

Jam sudah menunjukkan pukul 4.00 petang. Arny masih tidur lena dalam keadaan memakai baju sekolah. Dia memang teramat penat.

                                                                           *****

  Arny menggosok-gosok matanya. Dikecilkan mata untuk melihat jam di dinding. “Baru pukul empat setengah,” gumam Arny.

“Wait a minute! Sudah pukul empat setengah?! Alamak! Lambat lagi.” Arny yang asalnya mahu menyambung tidur terus melompat turun dari katil gaya ninja. Tuala laju diambil dan masuk ke bilik air. Paip air dibuka dan diambil gayung. Satu gayung… dua gayung… tiga gayung… Siap!

Perlahan-lahan Arny keluar dari biliknya agar tidak disedari oleh ayahnya. Pak Tahar yang sedang menjemur kain ternampak anaknya terhendap-hendap. Lantas ditegur, “Arny… mahu ke mana lewat petang begini?”

“Alamak! Ayah nampak pula,” rungutnya perlahan. Arny yang terkejut ditegur berusaha membuat muka selamba.

“Arny mahu ke kelas tambahan di sekolah. Cikgu kata semua wajib datang!” bohong Arny. Sengaja ditekankan perkataan wajib. Biar ayahnya tahu.

Tanpa menunggu jawapan balas daripada ayahnya, terus diambil basikal tuanya. “Arny pergi dahulu! Sudah lambat,” laung Arny.

Pak Tahar tidak sempat berkata apa-apa. Dia melihat Arny meninggalkan rumah itu. “Pelik… Ada juga sekolah yang membuat kelas tambahan pada waktu sebegini,” bicaranya seorang diri. Dia masuk ke rumah dan merebahkan diri diatas lantai yang beralaskan tikar mengkuang yang sudah koyak di sana sini. Dia berhasrat untuk menghilangkan penat bekerja seharian sebagai buruh demi menyara kehidupan Arny.

                                                                           *****

  Azan maghrib berkumandang. Sungguh merdu suara bilal yang melaungkannya.

Pak Tahar yang tidur terbangun mendengar azan maghrib. Dia teringat yang dia belum menyediakan makan malam buat Arny. Selepas solat maghrib, dia mula memasak makanan buat Arny. Makan malam mereka adalah nasi putih, sayur kangkung, ikan tilapia goreng, dan telur mata.

Pintu bilik Arny diketuk untuk megajak anaknya makan bersama. Walaupun anaknya tidak akan makan bersama, dia tetap tidak lupa mengajak. Dipusing tombol pintu, tidak berkunci. Pintu dibuka hanya sekadar mampu memasukkan kepala untuk menjenguk. Takut Arny marah kepadanya. Ditoleh kiri dan kanan, tetap tiada.

Baru Pak Tahar ingat! Tadi Arny memberitahunya yang dia ke sekolah menghadiri kelas tambahan. Tetapi, mengapa belum pulang? Digaru kepalanya yang tidak gatal. Hairan….

Pada waktu yang sama…

“Hahaha!” Kedengaran hilai tawa sekelompok remaja yang berusia 13 tahun. Terdapat di tangan masing-masing memegang sama ada sepuntung rokok atau sebuah rokok elektronik yang dikenali sebagai vape.  Asap menyelubungi pondok yang terletak di hutan itu. Lelaki dan perempuan bertepuk tampar sesama sendiri. Tiada batas pergaulan antara dua jantina. Memang mencemarkan maruah! Maruah diri, ibu bapa dan agama Islam!

Itulah rutin Arny bersama rakan-rakan yang sekutu dengannya. Dibohongi Pak Tahar dengan alasan yang direka. Arny Binti Mohd Tahar, gadis yang tidak mengenang jasa ibu bapa!

“Arny, hari ini kau bagi alasan apa pula dekat ayah kau?”

“Senang sahaja. Aku kata aku ada kelas tambahan di sekolah. Semua wajib datang,” jawabnya tanpa segan silu. Rakan-rakannya memang sudah masak dengan perangai Arny yang paling nakal dan jahat dikalangan mereka semua.

“Berani kau selalu tipu ayah kau kan? Kau tak takut dosa ke?” usik Taufik sambil menghembus asap dari vape miliknya. Taufik seorang anak kepada kontraktor kaya-raya. Walaupun Taufik dan Arny duduk di kawasan perumahan elit, Arny bukanlah golongan kaya. Hanya sekadar berteduh di rumah usang berhampiran hutan.

“Yang kau sibuk kenapa? Yang kita buat sekarang ini pun berdosa.” Arny mula meninggikan suara. Dia sudah mengepal penumpuk kecilnya.  Ish… ish… ish… Rupa-rupanya Arny tahu yang dilakukan sewaktu itu berdosa.

Khalid tahu angin Arny tidak baik terus meredakannya. Dia pelik mengapa sejak akhir-akhir ini Arny agak sensitif jika bercakap berkaitan ayahnya. Taufik yang berniat mengusik juga memohon maaf.

                                                                         *****

  Selepas solat Isyak, Pak Tahar mengangkat tangan berdoa kepada-NYA.

“Ya Tuhan, kau lembutkanlah hati anakku, Arny. Berikanlah Arny hidayah agar dia menyedari kesalahannya. Tunjukkanlah Arnh jalan yang benar.  Aku memohon kepadamu Ya Tuhan. Makbulkanlah doa hambamu ini. Sesungguhnya, kepada engkaulah tempat aku memohon sesuatu hajat dan keampunan….” Pak Tahar meraup mukanya. Kain pelikat dan sejadah dilipat.

Pak Tahar melihat bilik Arny. Gelap, tandanya Arny masih belum pulang. Dia mula curiga. Mana ada kelas tambahan sampai lewat begini. Akhirnya, Pak Tahar membuat keputusan untuk mencari Arny sendiri. Pintu rumah usang dikunci sebelum memulakan misi mencari Arny.

Pak Tahar pergi ke belakang rumah untuk mengambil lampu suluh. “Hah! Jumpa pun….” Lampu suluh diambil. Tiba-tiba… Pak Tahar terpandang samar-samar cahaya dari celah-celah semak. Sumber cahaya itu datang dari tengah hutan. Pak Tahar mula berasa seram sejuk. Cahaya apa pula pada tengah malam sebegini?

Diberanikan diri untuk pergi ke arah sumber cahaya itu. Lampu suluh yang dibawa cuba dihidupkan.

“Alamak! Lupa mahu masukkan bateri pula…,” keluh Pak Tahar. Semakin hampir ke sumber cahaya itu, semakin laju degupan jantung Pak Tahar. Pak Tahar menyorok disebalik semak supaya tidak disedari oleh mahluk Tuhan yang berada di depan. Pak Tahar yang sedang mengintip terpijak seketul batu lalu tersungkur.

“Oh… anak siapalah yang membuat perkara berdosa malam-malam begini?” Pak Tahar beberapa kali menggelengkan kepala apabila melihat anak-anak muda itu menghisap rokok. Dia memerhati satu per satu wajah yang berada diatas pondok itu. Matanya tertumpu kepada seorang gadis yang sedang bergelak tawa. Wajah itu memang sangat dikenalinya.

Hampir terjojol biji mata Pak Tahar apabila mengetahui, gadis itu adalah anaknya! Dengan perasaan kecewa dia keluar dari tempat persembunyian lalu menghampiri pondok itu. Serta-merta semua yang berada di situ diam sebelum terjerit-jerit bagai disampuk hantu.

Pak Tahar hairan mengapa mereka menjerit-jerit apabila melihatnya. Dia melihat biasan mukanya di lopak air. Patutlah mereka terjerit seperti histeria. Mukanya comot dengan tanah lembik akibat tersungkur tadi dan banyak daun kering melekat di tubuhnya. Kelihatan seperti penunggu hutan yang menakutkan.

Pak Tahar mengelap mukanya dengan T-shirt yang dipakai. Arny yang tadinya turut sama menjerit terus terdiam. Begitu juga rakannya yang lain. Alamak, rahsia sudah terbongkar!

“Arny… sampai hati kamu buat ayah begini? Bertaubatlah anak-anak semua….” Pilu suara Pak Tahar.

Arny sudah mengangkat kaki meninggalkan pondok itu. Marahnya makin meluap-luap. Geram sungguh Arny dengan ayahnya. Dia melintas jalan raya tanpa menoleh kekiri dan ke kanan

Pin! Pin! Hon kereta berbunyi panjang.

“Arny! Jaga-jaga” ierit Pak Tahar sekuat hati.

Boom!

                                                                             *****

  Arny berlari anak mengikut jururawat yang mengusung mangsa kemalangan yang baru diturunkan dari ambulan di wad kecemasan.

“Maaf, adik tidak dibenarkan masuk. Adik boleh menunggu di luar sahaja,” terang jururawat bertugas.

Arny hanya menganggukkan kepala. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia merempuh masuk. Dia beristighfar banyak kali.

Arny seperti cacing kepanasan. Sekejap berdiri dan sekejap duduk. Dia mengangkat tangan berdoa.

“Ya Tuhan, kau permudahkanlah urusanku. Kau selamatkanlah ayahku….” Air mata Arny sudah bergenang. Dia terbayang insiden tadi dalam gerak perlahan, sebuah kereta sedang meluncur laju membelah angin dan dia melintas jalan dengan tergesa-gesa. Ketika itu juga, tiba-tiba muncul satu susuk tubuh yang kurus terbang lagak superhero dan menolaknya ke tepi jalan.

Setelah menunggu hampir satu jam, seorang jururawat memanggil Arny untuk berjumpa doktor. Arny membaca selawat sebelum masuk ke dalam bilik doktor.

“Sila duduk.” Ramah doktor itu menjemput. Di kotnya tersemat tanda nama Doktor Elya. Namanya manis, semanis orangnya.

“Doktor, bagaimana dengan ayah saya?” soal Arny sejurus duduk. Arny sudah tidak sabar. Doktor Elya tersenyum.

“Adik, maaf… Tuhan lebih menyanyangi ayah kamu. Kami telah cuba sebaik mungkin. ” Kata-kata Doktor Elya membuatkan air mata Arny mengalir deras.

Doktor Elya memeluk Arny. “Sabar ya adik. Ingatlah di sebalik sesuatu ada sesuatu, sangka baik dan redha.” Doktor Zareena memberi kata-kata semangat. Arny tersenyum hambar. Pak Tahar telah kembali ke rahmatullah, Arny serta-merta menjadi yatim piatu.

                                                                             *****

10 tahun berlalu….

Dengan izin Tuhan, Arny masih berpeluang untuk hidup di muka bumi-Nya. Sejak peristiwa dahulu, Arny berazam ingin menebus kesalahannya dan membalas jasa ayahnya Dan juga ibunya. Memang besar jasa ayah dan ibunya. Kedua-duanya adalah superhero Arny. Hero dan heroin Arny.

Alhamdulillah, Arny berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Dia telah menjadi seorang hafizah.

“Tahniah Arny. Umi bangga dengan kamu” Selepas kematian Pak Tahar, Doktor Elya telah mengambil Arny menjadi anak angkatnya. Arny dimasukkan ke tahfiz atas kehendaknya sendiri. Dia juga tidak lupa untuk mendoakan ibu bapanya disana dan juga buat Uminya.

“Ayah… mungkin jika ayah tidak selamatkan Arny dahulu, sekarang Arny masih belum insaf. Mungkin menjadi penagih dadah dan mempunyai penyakit. Ayah adalah hero Arny. Ayah penyelamat Arny. Ayah berjaya mengubah masa depan anak ayah menjadi cerah. Jika ayah masih ada, ayah dapat lihat anak ayah menjadi hafizah. Arny sayang ayah dan ibu! Arny sayang superhero Arny! Terima kasih superhero Arny!” Arny tersenyum ceria.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: