Certot

My Hero

Hasil nukilan Dina Izzati 2 years agoSuperhero 42


“Kak Ngah, sini!” 

Panggilan adik segera aku sahut. Tanganku pantas melipat telekung dan sejadah lalu aku letakkannya di atas rak, bersebelahan dengan Al-Quran. Aku keluar dari bilik dan berjalan ke arah adik yang sedang menonton televisyen.

“Kak Ngah, tengok tu!” ujar adikku dengan nada teruja. Aku mengalihkan pandanganku ke skrin televisyen.

 “Tahniah lagi sekali Kak Ngah!” kata mamaku pula bersama senyumannya yang manis. 

Berita tentang kejayaanku yang merangkul gelaran johan dalam Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa bagi kategori perempuan benar-benar membuatkan ahli keluargaku bangga. Malah, kejayaanku mengharumkan lagi nama negara.

“Mesti arwah ayah bangga dengan Kak Ngah kan?” tanya adik kesayanganku yang berusia 12 tahun. Dia melihat wajah mama yang tenang.

“Ya, arwah ayah pasti sangat bangga dengan Kak Ngah.” Suara mama perlahan sahaja. Pasti teringatkan arwah ayah yang telah menghadap Ilahi dua tahun yang lalu.

Tiba tiba sahaja, ingatanku memutarkan kembali memori lamaku bersama arwah ayah. Aku memang sangat rapat dengan arwah ayah berbanding abangku dan adikku. Hehe, kiranya aku ini anak ayah. Ayah sangat memahami aku. Ayah bagaikan ada kuasa yang boleh mengetahui apa yang tersirat di dalam hatiku. Aku sentiasa berkongsi cerita dengan arwah ayah. Ayah juga begitu.

Aku dan arwah ayah ada banyak persamaan. Mungkin kerana persamaan itulah membuatkan aku sangat rapat dengan ayah selain memiliki pertalian darah dengannya. Ayah menyayangi aku sama rata dengan adik beradikku yang lain, sama juga dengan mamaku. Tiada istilah pilih kasih.  Ayah benar-benar mahukan yang terbaik bagi aku dan adik-beradikku. Ayah sanggup mengikat perut semata-mata mahu aku dan adik beradikku tidak kelaparan. Ayah sanggup memakai baju raya yang sama setiap tahun semata-mata mahu lihat adik beradikku gembira di pagi raya. Ayah sanggup menghabiskan duit semata-mata hendak memenuhi permintaan kami bertiga. Pendek kata, kami bertiga bagaikan permata hati ayah dan mama. 

Ayah juga pernah berkorban nyawa demiku. Ya, ada satu peristiwa menyebabkan aku nyaris hilang nyawa semasa usiaku 12 tahun. Aku dilanggar lari oleh sebuah kereta semasa berjalan kaki pulang dari sekolah. Ketika itu pula aku sedang menghidapi demam panas yang membuatkan penglihatanku jadi kabur lagi lagi aku di bawah cahaya terik matahari. Aku kehilangan banyak darah yang menyebabkan aku memerlukan penderma. Sekiranya tiada yang menderma, nyawaku mungkin melayang. Hanya ayahlah satu-satunya ahli keluarga terdekatku yang darahnya sesuai didermakan kepadaku. Aku… benar-benar perlukan ayah di sisiku selain mama.

Semasa aku berumur 12 tahun juga, aku memperolehi keputusan yang cemerlang iaitu 5A dalam UPSR ( Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan pangkat Mumtaz dalam PSRA ( Penilaian Sekolah Rendah Agama). Ayah dan mama sangat bangga dengan keputusan peperiksaan aku. Senyuman yang terukir di bibir mereka membuatkan aku gembira dan senang. Kalau boleh, aku mahu mereka tetap tersenyum. Hajat ayah untukku menjadi seorang hafizah aku cuba tunaikan sebaik mungkin. Di saat aku jatuh, aku segera teringatkan kembali segala pengorbanan ayah dan mama. Alhamdulillah, hajat ayah yang suci itu akhirnya tertunai. Aku telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan menjadi seorang hafizah. Sungguh, aku benar-benar rindukan ayah. 

“Kak Ngah menangis?” Aku tersentak mendengar pertanyaan adikku yang duduk di sebelahku. Aku cepat-cepat menyeka air mataku yang keluar tanpaku sedari. Ah, indah sungguh kenangan dulu semasa bersama dengan ayah!

 Aku tidak menjawab soalan adikku itu. Aku tahu, adikku tahu jawapannya. 

 “Ma, apa kata esok kita ziarah kubur arwah ayah?” cadangku. Mama hanya mengangguk, mengiakan cadanganku. Aku hanya tersenyum kecil. Senang hati dengan jawapan mama. Dalam hati, aku sedekahkan Al-Fatihah buat ayahku yang tersayang. Ayah, you are my hero!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: