Certot

My Big Hero Diet

Hasil nukilan Humaira Huda 2 years agoSuperhero

             

Sepinggan ayam BBQ dihadangkan di atas meja makan. Orang yang paling bersemangat untuk makan ialah aku dan abangku. Belum sempat aku hendak menikmati hidangan ayamku, abangku, Asyraf mencubit lenganku dan menunjukkan ke arah ayahku yang sudah habiskan tiga ketul ayam BBQ! Aku dan abangku saling berpandangan dan tergelak kecil. Aku baru hendak menyuap makanan, tetapi ayah sudah habiskan tiga ketul sekali gus! Hebat! Ibuku yang juga menyedari keadaan itu segera mencubit bahu ayah.

“Apalah, abang ini. Makanlah elok-elok sikit. Nanti tersedak baru tahu,” tegur ibu.

“Ayah memang hebat!” abangku menyampuk.

“Ayah lapar sangat tadi. Maaflah ya,” balas ayah.

Semua serentak menggeleng.

*****

Keesokkan harinya.

“ Aaaaaaaaaaaaaaa!”

Aku yang sedang ralit menyiapkan kerja sekolah terhenti apabila terdengar jeritan itu.

“Kenapa ini ayah? Kenapa jerit-jerit ini? Terkejut Asya dengar!” soalku.

“Yalah, abang! Kenapa ini?” ibuku pula menyoal.

“Ayah… ayah… tidak ada apa-apalah! Ayah cuma terkejut tengok bilik ayah ini. Ermm… cantik sangat ibu kemas!” jawab ayah.

Aku merasakan yang ayah cuba menyorokkan sesuatu. Aku pasti akan siasat!

*****

Ayah memandang tepat pada penimbang berat yang berada di hadapannya. Kemudian ayahku meletakkan sebelah kakinya di atas penimbang itu. Ayahku hampir pengsan apabila melihat sebelah kakinya sudah mencapai 47 kg! Jikalau ayah menimbang terus satu badan, pasti penimbang itu berpusing! Ayahku segera menyorokkan penimbang itu di dalam almari baju.

Semenjak hari itu, ayahku tidak mahu makan apatah lagi minum walaupun sedikit. Keadaan ini membuatkan aku dan ibuku berasa risau. Kenapa ayah tidak mahu makan?

Keesokkan harinya, ayah mengajakku mengikutnya pergi ke kedai basikal. Katanya mahu membelikan sebuah basikal baru untukku. Tetapi, basikal aku yang lama masih elok dan tidak rosak. Dulu, jika aku yang meminta ayahku untuk belikan basikal baru untukku, pasti jawapannya tak boleh. Tetapi, pada hari ini, ayahku pula yang beria mahu membelikanku basikal baru. Tidak mengapalah, ayah sudah mahu beri, kenapa mahu ditolak pula.

*****

Pada petang itu, ayah mengajakku berbasikal di kawasan taman perumahan. Makin bersemangatlah untuk berbasikal bila ada basikal baru. Tetapi, aku sudah tertipu. Ayahku yang membawa basikal, aku hanya membonceng di belakangnya.

“Apalah ayah ini. Ingatkan beli untuk Asya. Rupanya kongsi,” aku merungut.

“Jangan membazir,” jawab ayah.

Aku mengeluh kecil.

*****

Aku melihat ibuku sibuk menyiapkan kerjanya. Maklumlah, ibuku seorang guru. Aku mengambil tempat di sebelah ibuku. Ibuku mengukir senyuman.

“Ibu, ada apa-apa yang Asya boleh tolong? Asya bosanlah,” soalku.

“Boleh Asya tolong ibu ambilkan buku harian mengajar ibu dalam bilik ibu? Buku itu ada di dalam laci almari ibu simpan,” arah ibuku.

“Baik, bos!” jawabku.

Aku membuka laci almari milik ibu dan ayahku. Aku membelek buku-buku yang tersimpan di dalam laci itu. Akhirnya, aku dapat buku yang ibu mahu aku carikan itu. Kemudian, aku ternampak sebuah kotak yang saiznya sederhana terletak di bawah timbunan kain. Aku menarik keluar kotak itu. Dalam kotak itu terisi sebuah penimbang berat badan. Apabila aku mengangkat penimbang itu, aku menjumpai sehelai nota. Di dalam nota itu tertulis tarikh dan catatan berat badan. Rupa-rupanya itu nota catatan berat badan ayah! Sekarang aku sudah tahu apa yang ayah cuba rahsiakan!

*****

Ayahku meletakkan beg kerjanya di atas sofa panjang. Aku hanya memerhati pergerakan ayahku.

“Ayah, Asya nak tanya sesuatu boleh?” soalku.

“Boleh, apa dia?” jawab ayah.

“Ayah diet ke?” soalku sekali lagi.

Ayah hanya mengukir senyuman lalu meninggalkan aku sendirian di ruang tamu.

*****

Sudah dua bulan aku melihat ayah tidak makan. Aku risau dengan keadaan ayah. Sudah banyak kali aku memujuk ayah untuk makan, tetapi ayah hanya menggeleng. Suatu hari, ayah jatuh pengsan. Aku adalah orang pertama yang menyedari ayah sudah terlantar baring di dapur lalu menjerit memanggil ibu dan abangku, Asyraf. Ibuku jatuh terduduk. 

Air mata membasahi permukaan muka ibuku. Abangku segera menelefon pihak hospital. Tidak lama kemudian, ambulans tiba di hadapan rumahku. Pihak hospital mengangkat ayah lalu memasukkan ayah ke dalam ambulans. Ibuku membawa aku dan abangku ke hospital menaiki kereta milik ayahku.

Sampai sahaja ke lobi utama hospital, ibuku segera menuju ke wad kecemasan. Aku dan abangku hanya mengekori dari belakang. Sampai sahaja didepan wad kecemasan, ibuku segera mencari katil ayah. Akhirnya, ibuku menjumpai katil ayah. Kami mengambil tempat di sisi katil ayah.

Selepas mendapati ayah sedang koma, ibuku menghulurkan surah Yassin kepada aku dan abangku. Selesai sahaja membaca surah Yassin, aku tidak putus-putus berdoa agar ayah selamat dan cepat sedar. Ibuku dan abangku meninggalkanku sendirian di dalam wad ayah. Aku memegang tangan ayah lalu menciumnya.

“Ayah, Asya dah tahu apa yang ayah nak sangat selama ini sampai ayah tak makan. Tak minum. Kenapa ayah sanggup buat macam ini? Asya sangat sayangkan ayah. Ayah, bagi Asya, ayah dah cukup sempurna. Sangat sempurna. Ayah, cepatlah sembuh. Asya tahu ayah kuat. Ayah, kalau sudah terlambat, Asya minta maaf sangat-sangat dekat ayah. Ampunkanlah dosa Asya, ayah.”

Tangan ayahku dikucup sekali lagi.

Serentak dengan itu, ayah sudah membuka mata. Apabila aku sudah menyedari ayah sudah sedar, aku segera memanggil doktor bertugas. Berita ini juga disampaikan kepada ibuku dan abangku olehku. Ibuku dan abangku serentak mengucapkan alhamdulillah.

*****

Seminggu selepas kejadian itu berlaku.

Sup daging dihidangkan diatas meja makan. Aku mengambil tempat di sebelah ayahku. Aku melihat ayahku hanya termenung melihat makanan yang dihidangkan.

“Ayah, makanlah. Penat Asya masak sup ini. Asya buat khas untuk ayah. Ayahkan minat sup daging?” pujukku.

“Asya masak untuk ayah?” soal ayahku.

“Sudah semestinya!” jawabku bersemangat.

Ayah mengukir senyuman.

“Sedapnya! Asya memang pandai memasak!” Tiba-tiba ayah memecah kesunyian.

“Terima kasih, ayah! Ayah makanlah banyak lagi!” pelawaku.

Selesai makan tengah hari, aku menemani ayah di buaian di luar rumah. Aku mengambil tempat di sebelah ayah.

“Kenapa Asya? Ada masalah ke?” soal ayahku.

“Eh, tidak adalah. Sahaja mahu ambil angin luar,” jawabku.

“Asya, Asya rasa ayah ini terbaik tak untuk Asya?” soal ayahku sekali lagi.

“Kenapa pula tidak terbaik? Ayahlah ayah yang paling terbaik!” Aku sengaja memanjangkan perkataan ‘terbaik’ itu.

“Apa? Ayah tak dengar jelaslah.” Ayahku sengaja mahu aku mengulangi apa yang aku cakap sebentar tadi.

“Ayahlah ayah yang paling terbaik!” Disertakan dengan senyuman yang paling manis.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: