Certot

Diva Bola

Hasil nukilan Najwa Sofea Lutfi 2 years agoSukan 13

 “Azalea Rafea!” Nama penuh Azalea disebut dari arah tangga. Siapa lagi si pemilik suara nyaring tahap singa betina kalau bukan Puan Fira, ibu Azalea. Ini sudah masuk kali keempat Azalea bangun pada jam 6.45 pagi. Ibunya memang anti apabila anaknya lewat bangun dan menjadikannya alasan tidak ke sekolah.

“Yalah!” Tidak mampu berdolak dalih lagi, Azalea segera menuju ke pintu tandas. Tuala yang berwarna merah jambu dicapai. Pintu tandas dibuka perlahan-lahan. Matanya tidak dibuka luas, jalan pula terhuyung hayang. Tidak sampai lima minit ,pintu tandas dibuka kembali.

Dia lantas menyarungkan baju sukan berwarna biru ke badannya yang kecil. Membetulkan tudungnya dengan gaya tiup-tiup macam orang kena sawan lalu mencapai beg sekolahnya yang turut berwarna merah jambu. Apalah otak Azalea fikirkan sehingga semuanya jadi merah jambu!

‘Adui, malas betullah,’ Azalea mengeluh kecil dalam hati. Pantang didengari ibunya yang mempunyai telinga terlebih kuasa hingga mampu mendengar bisikan umpatan di sekelilingnya. Merah telinganya nanti dikerjakan ibunya yang garangnya hampir setaraf cikgu disiplin.

Tanpa bersarapan, Azalea bersalaman dengan ibunya lalu terus keluar. Dia lantas mencapai kasut hitamnya yang bersih digilap. Dia segera membuka pintu kereta ayahnya dan duduk di bahagian hadapan. Kereta berwarna hitam itu lantas meninggalkan perkarangan rumah Azalea.

*****

“Azalea, kenapa hari ini lewat sampai? Selalunya sejam awal dah sampai dah,” Airina,rakan karib Azalea bertanya sambil menyindir Azalea. Selalunya Azalea datang lewat. Cuma tidaklah selewat ini.

“Tertidur lama sangat,” Azalea memberitahu tanpa memandang wajah Airina. 

Sebenarnya, semalam Azalea ralit membaca diari kisah silamnya sehingga tidak sedar jarum jam pendek sudah tegak menunjuk arah nombor dua. Matanya tidak jemu menurunkan titisan air dari kelopak mata Azalea ketika membaca kisah lalunya.

“Semua murid beratur dan bergerak ke padang sekarang.“Suara Cikgu Ariel mematikan lamunan Azalea. Mukanya seratus peratus menunjukkan reaksi tidak puas hati. Tidak kurang juga Airina yang masam mencuka. Rasanya lemon yang masam pun tidak semasam wajah mereka berdua!

Murid terus pergi ke padang. Seluruh Sekolah Kebangsaan Sentosa perlu pergi ke padang. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, semua telah dipaksa. Sesiapa yang melanggar, pintu tandas akan sentiasa dibuka untuk dicuci.

Sebenarnya, aktiviti gerak gempur mega terhebat, terulung, dan pelbagai lagi akan diadakan. Seluruh pelajar perempuan diminta memasuki pemilihan bola sepak kerana pelajar lelaki sudah tidak boleh diharap! Kerana itulah wajah Azalea dan Airina yang semanis gula berubah menjadi semasam lemon!

“Okey semuanya, kita mesti kawal keayuan tidak kira apa pun,” Fisya, seorang gadis bersikap agak diva berpesan pada rakannya.

“Semua orang akan pandang kita. So, senyum semanis yang mungkin,” sambungnya lagi.

‘Merepek apa sepak bola pun kena kawal ayu,’ Rina, rakan karib Fisya mengutuk Fisya dalam hati. Dia tahu rakannya yang seorang lagi, Qila juga sudah rasa mahu meletup telinga mendengar penjelasan Fisya yang merepek lagi mengarut!

Beberapa ketika kemudian, bunyi visel ditiup Cikgu Zafri menandakan bermulanya pemilihan bola sepak yang pertama kali diadakan. Jam demi jam berlalu, saat demi saat juga pergi bergerak pantas. Tibalah giliran Azalea. Tugasnya mudah, hanya perlu menyepak bola kedalam gawang gol. Tetapi perlu membawa bola dari jauh dan masa adalah terhad iaitu 30 saat.

“Satu… dua… tiga!” Cikgu Zafri memberi arahan.

Mata Azalea terpejam akibat ketakutan sedari tadi. Apabila membuka matanya, tanpa sebarang kebuntuan, tanpa sebarang kelewatan, hanya jeritan menjadi peneman, Azalea menyepak bola sekuat hati tanpa berlari terlebih dahulu. Siapa sangka, bola itu masuk ke gawang gol! Masih terkebil-kebil Azala berdiri di situ. Airina menggosok matanya berkali kali. Teringat jeritan Azalea tadi.

“Labah-labah!” Terngiang ngiang di kepala Airina.

Sementara mereka berdua terpaku, semua yang lain memberi sorakan yang paling padu untuk orang yang telah berjaya menjaringkan gol dengan begitu kemas sekali. Namun paling memeranjatkan adalah ia dilakukan oleh seorang perempuan berbadan kecil.

Azalea mendapatkan Airina. Airina masih memikirkan soal labah-labah tadi. Sebenarnya Azalea ingin menyepak labah-labah, bukannya bola!

Entah mengapa, melihat pesaing divanya diberi tepukan gemuruh, jiwanya tercabar. Fisya juga ingin membuktikan kehebatannya!

“Girls, lihatlah. Itu sahaja yang dia mampu? Saya boleh buat lebih baik!” Fisya mengungkapkan kata-kata yang sengaja diperdengarkan kepada Azalea. Rakannya sudah pening. Apa yang Fisya mahu sebenarnya. Keayuan atau kemenangan?

Tibalah giliran Fisya pula. Seorang perempuan berwajah putih berseri membisikkan sesuatu ke telinga Fisya. Mata Fisya yang bulat itu terus bersinar bak bulan mengambang! Seperti Azalea, sepakan yang turut kemas diberikan oleh Fisya. 

“Gol!” Itulah ungkapan semua.

Hari demi hari berlalu, tibalah hari penentuan pemain. Alangkah terkejutnya Azalea apabila namanya turut tersenarai! Dia memang tidak mahu. Nama Fisya juga tersenarai. Yang pasti, bergegar sekolah itu nanti akibat pergaduhan.

Berlatih bersama memang cukup menyukarkan bagi Fisya dan Azalea. Ikutkan hati Azalea, mahu sahaja dia ponteng latihan. Tetapi ibunya yang segarang rasaksa pasti memarahinya.

*****

Hari semakin hari, dari Isnin bertemu semula Isnin. Hubungan Fisya dan Azalea bertambah akrab. Mereka tidak bergaduh lagi. Suatu hari, Azalea mengajak Fisya ke sebuah taman rekreasi.

“Kenapa awak ajak saya ke sini?” Fisya bertanya.

“Sebenarnya, saya nak minta maaf pada awak.”

“Saya juga.” Fisya juga telah menyedari kesilapannya

“Awak mahu tahu apa yang Riha bisik pada saya? Sebenarnya dia mahu membelanja saya membeli belah di Mid Valley,” sambung Fisya lagi.

Azalea ketawa. Mereka meneruskan perbualan.

*****

Hari mendebarkan telah tiba. Perlawanan bola antara pasukan yang diketuai Azalea. Sewaktu permainan, mereka hanya mampu berdoa dan berusaha. Tinggal lima minit berbaki, mereka kekal seri 3-3. Saat itu, tiba-tiba semangat membara muncul jauh di lubuk hati Azalea. Dia menyepak bola sekuat hati dan berjaya menjaringkan gol pada minit terakhir. Semua orang berbangga dengannya. Dia sedar yang dia harus bersukan dan bukan hanya terperuk dan tergedik-gedik berlagak diva yang berbeza dengan dirinya dahulu.

Dia teringat suatu ketika dulu.

Azalea sebenarnya seorang gadis kasar. Bidang sukan amat diminatinya. Dia hanya ada seorang kawan perempuan iaitu Zaifa. Zaifa selalu memberi nasihat. Hinggalah suatu hari, Zaifa menegur Azalea.

“Awak perempuan. Bukankah lebih sopan jika awak jadi seperti perempuan lain?” Ungkapan itu bagai menyuntik sesuatu dalam diri Azalea. Namun dia merasakan belum tiba masanya. Hinggalah dia sekeluarga akan berpindah ke tempat lain. 

Azalea pula masuk ke Sekolah Kebangsaan Sentosa. Dia nekad mengubah dirinya seratus peratus. Namun maksud sebenar Zaifa disalah anggap. Dia berhenti bersukan. Sekarang baru dia sedar walau di mana kita berada, sukan tetap perlu dilakukan.

       

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: