Certot

MR. FAT

Hasil nukilan Aina Zahira about 3 years agoSukan 67

Namaku Amirul Amin. Aku berusia 12 tahun. Aku bersekolah di SK Titiwangsa. Di sekolah, aku sering diejek dengan panggilan Mr. Fat kerana struktur tubuh badanku yang agak gemuk. 

Kok! Kok! Kok!

Ayam telah berbunyi menandakan hari sudah siang. Aku mengambil kain tualaku lalu masuk ke dalam bilik air yang tidak seberapa mewah itu. Setelah selesai mandi, aku memakai pakaian seragam sekolahku yang serba lengkap. Selepas itu, aku pergi ke dapur untuk sarapan pagi. 

“Erm, sedapnya masakan mak. Nasi lemak dengan air milo panas lagi,” pujiku. 

“Tak usah puji-puji. Mak tahu masakan mak sedap. Cepat. Nanti lewat nak pergi sekolah,” kata emakku.

Aku pun makan dengan pantas kerana takut namaku dicatat oleh pengawas bertugas. Setelah selesai, aku pun bersalaman dengan emakku. Aku menunggang basikal dengan berhati-hati.

Kring!

Loceng sekolah sudah berbunyi. Nasib baik aku sudah melepasi pagar sekolah. Kalau tidak , namaku ditulis dan dihantar kepada guru disiplin atas kesalahan datang lewat ke sekolah. Aku masuk ke dalam kelasku.

“Mr. Fat dah datang. Piweet. Cantik airbag,” ejek Shahrul iaitu musuh ketatku.

Aku cuma berdiam diri sahaja. Aku sudah muak mendengar ejekkan itu. Aku pun meletakkan beg galas biruku itu di atas kerusi dengan elok agar aku berasa selesa ketika duduk di atas kerusi. Sebelum menunggu cikgu masuk ke dalam kelas, aku sempat lagi mengelamun.

“Bangun. Assalamualaikum Cikgu Arif,” kata Faris iaitu ketua kelas kelasku. 

Aku tersentak dari lamunan. Ketika itu, semua orang sudah bangun kecuali aku. Semua orang mentertawakan aku. Aku berasa sangat malu.

“Baik, murid-murid. Kita lupakan tentang hal tadi. Untuk pengetahuan kamu semua, pada bulan hadapan kementerian belia dan sukan negara kita akan mengadakan satu pertandingan badminton peringkat kebangsaan di gelanggang badminton yang terletak di pusat bandar. Sesiapa yang ingin menyertai pertandingan ini, sila jumpa dengan cikgu di bilik guru,” terang Cikgu Arif.

Senyuman terpancar di wajahku yang tembam ini. Aku berasa sangat tidak sabar untuk menunggu hari perlawanan. 

“Sesiapa yang nak sertai pertandingan badminton, ikut saya,” kataku.

Semua orang menggaru kepala melihat diriku. Mereka terkejut kerana kata-kataku itu seperti aku juga ingin menyertai pertandingan itu. 

*****

Aku pergi ke bilik guru untuk berjumpa dengan Cikgu Arif. Ketika itu, orang lain juga berada di situ. 

“Cikgu, saya nak sertai pertandingan itu. Akan dikenakan yuran tak?” tanyaku.

“Kau ni biar betul. Dah la kau tu gemuk. Nak smash pun tak larat. Ada hati nak wakil sekolah,” kata Shahrul.

“Yuran tidak akan dikenakan, Amin. Malahan, semuanya ditanggung oleh pihak sekolah. Yang Shahrul tu pulak. Janganlah suka ejek orang,” terang Cikgu Arif.

Cikgu Arif pun memberikan kepada kami surat kebenaran waris untuk diberikan kepada waris masing-masing.

*****

Aku pulang ke rumah dengan perasaan gembira. Aku berasa sangat tidak sabar untuk menunggu hari itu.

“Emak, Amin nak sertai pertandingan badminton boleh. Please,” rayuku.

Emakku mengangguk tanda membenarkan. Aku melonjak keriangan. Sudah lama aku tidak mengasah bakatku dalam permainan badminton. Setelah usai solat asar, aku terus berlatih bersama abangku. Ketika bermain, fikiranku sering terganggu mengingat arwah ayahku iaitu seorang jurulatih profesional dalam permainan badminton. Air mataku berlinangan.

“Amin, kenapa tak pukul bulu tangkis tu? Amin ada masalah ke?” tanya abangku.

“Amin tak ada masalah, abang. Cuma teringatkan arwah ayah,” terangku. 

“Abang pun turut bersimpati. Tak apa, Amin. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah ayah,” kata abangku.

*****

Hari perlawanan sudah tiba. Aku pergi ke sana dengan membawa nama keluarga dan sekolah. Aku harus menjaga nama baik mereka. Aku membawa raket badminton bertuah ayahku yang masih elok. 

“Murid-murid, mainlah dengan bersungguh-sungguh ya. Jangan main tipu. Tak baik,” pesan Cikgu Arif.

Aku peserta pertama yang mewakili sekolahku untuk melawan peserta dari negeri Kelantan. Aku memulakan dengan membaca basmallah. Alhamdulillah. Aku telah berjaya menewaskan lawan tiga kali berturut-turut . 13-21 , 9-21 dan 17-21. Aku berasa sangat gembira. Aku berjaya sehinggalah peringkat separuh akhir. Setengah jam lagi, aku akan melawan dengan peserta wakil negeri Johor iaitu pencabar yang paling susah untuk ditewaskan dan telah mendapat tempat pertama tiga tahun berturut-turut. Mulut Shahrul terlopong kerana terkejut bahawa aku dapat pergi ke peringkat akhir. 

Peserta dipanggil ke gelanggang. Sebelum perlawanan dimulakan, kami berjabat tangan.

“Aku jamin, kau akan kalah punya. Orang kata, orang gemuk ni tak kuat. Tengok aku. Bentuk badan aku ideal. Booooo. Gemuk, gemuk, gemuk,” ejek pihak lawan.

Aku memekakkan telingaku daripada mendengar ejekan itu yang akan melemahkan semangatku. Aku menjadikan cerita tentang katak yang pekak itu sebagai pedoman. Aku memulakan dahulu. Aku mengingat segala pesanan ayahku.

‘Ayah, Amin akan buat yang terbaik. Amin takkan memalukan ayah,’ kata Amin dalam hati.

Aku bermain dengan bersungguh-sungguh. Aku membuat pukulan smash dengan baik. Aku ingin menjadi seperti ayahku dan Datuk Lee Chong Wei. Alhamdulillah. Aku telah menewaskan pihak lawan dengan memenangi dua daripada tiga set. 14-21 dan 16-21. Aku melonjak keriangan. 

“Tempat pertama jatuh kepada Muhammad Amirul Amin bin Aliff Daud dari negeri Selangor. Tahniah kami ucapkan.”

Air mata emakku menitis membasahi pipinya yang gebu. Aku naik ke atas podium dengan penuh perasaan gembira. Menteri besar Selangor mengalungkan pingat emas dan memberikan piala kepadaku. Aku menjulang piala itu tanda aku sudah berjaya.

“Maaf, Amin. Selama ini saya selalu ejek awak. Saya tak sangka awak pandai bermain badminton. Saya takkan ejek awak Mr. Fat lagi. Saya menyesal,” kesal Shahrul.

“Tak mengapa, Shahrul. Saya dah maafkan awak lama. Untuk pengetahuan awak, semasa saya di sekolah lama, saya mewakili sekolah saya dalam peringkat zon dan mendapat tempat pertama dan arwah ayah saya dulu seorang jurulatih badminton. Tentang Mr. Fat tu tak mengapa. Saya tak terkesan pun. Sedap jugak nama tu,” terangku.

Sejak itu, hubunganku dengan Shahrul sudah semakin rapat dan aku masih dipanggil Mr. Fat. 


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: