Certot

MR RIGHT BADMINTON

Hasil nukilan Farhan Zolkefly 2 years agoSukan 26

             

Tok! Tok!

“Boleh saya berjumpa dengan Fahrin Hakimi?” Seorang guru wanita  yang berkaca mata mengetuk daun pintu kelas Tingkatan 3 Genius.

“Silakan cikgu,” ringkas Cikgu K yang sedang mengajar memberi respons.

Seorang pelajar lelaki terpisat-pisat menghampiri guru wanita tersebut. “Ada apa Cikgu Mar?” tanya Fahrin.

Beliau terus menyerahkan sekeping nota kepada Fahrin Hakimi.

             

Fahrin Hakimi,

Anda terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan badminton yang akan diadakan pada bulan hadapan. Sila hadir ke latihan pada petang Khamis ini.

~Cikgu Azmi~



 

 

 

 

“Saya hanya dipesan oleh Cikgu Azmi,” kata Cikgu Marwiyah lantas berlalu pergi selepas menerima ucapan terima kasih Fahrin. 

Berbunga-bunga hati Fahrin tatkala membaca nota tersebut. Dia yang sudah lama memasang impian untuk mewakili SMKA Al-Hamidiyyah dan akhirnya tercapai juga. Alhamdulillah!

                                                                              ***

 

 

 

“Ibu tak benarkan. Kamu sepatutnya lebih fokus untuk menghadapi peperiksaan PT3 yang bakal menjelang,” Puan Hanim menggunakan kuasa vetonya membuat keputusan.

“Ibu, saya mempunyai jadual belajar yang padat. Insya Allah, saya akan mengikutinya dengan istiqamah dan berterusan,” Fahrin cuba mengambil hati ibu kesayangannya.

Puan Hanim diam buat seketika sebelum membuka bicara, “Ibu faham kamu mempunyai jadual belajar. Apa yang merisaukan hati ibu adalah kamu akan ketinggalan dalam pelajaran. Hasilnya, kamu akan memperoleh keputusan yang tidak memberangsangkan nanti.”

“Saya berjanji akan belajar dengan bersungguh-sungguh di samping aktif dalam bidang sukan.” Kata-kata yang lahir dari mulut anak tunggalnya itu membuatkan dia pasrah dan mempersetujui usul tersebut.

“Terima kasih ibu. Saya amat sayangkan ibu.” Mereka dua beranak tersenyum.

                                                                                   ***

“Nah, rasakan pukulan padu ini.” Fahrin memukul bulu tangkis kepada Cikgu Azmi dengan tangkas. Cikgu Azmi cuba membalas tetapi gagal.

Fahrin tersenyum lega. “Kamu dapat bermain dengan bagus sekali. Tidak sia-sia saya pilih kamu.” Pujian Cikgu Azmi diterima sebagai pembakar semangat.

“Alhamdulillah, ini semua atas tunjuk ajar daripada cikgu juga. Saya akan buat yang terbaik demi sekolah yang tercinta ini.” Fahrin bersyukur kerana mempunyai jurulatih yang berdedikasi dan penyayang.

“Mari kita sambung semula latihan.” Cikgu Azmi mengambil raket dan menghulurkannya kepada Fahrin.

                                                                             ***

 

 

 

Pertandingan akan menjelang seminggu lagi. Fahrin meningkatkan latihannya bersama Cikgu Azmi pada waktu petang setiap hari. Kadang kala dia keluar semasa kelas berlangsung untuk berbincang dengan Cikgu Azmi.

“Saya tidak benarkan. Jangan berani keluar semasa saya mengajar,” tegas Cikgu Hifzi melarang.

“Cikgu, saya ada urusan penting sekarang,” Fahrin membalas.

“Apa yang lebih penting daripada peperiksaan PT3? Setahu saya inilah perkara yang paling penting demi masa depan kamu yang cerah. Kamu antara yang tercorot dalam pelajaran Matematik.” Kata-kata pedas Cikgu Hifzi seperti menikam-nikam Fahrin.

Dia sudah sedia maklum tentang hal itu. Manik-manik mutiara hampir berjuraian dari tubir matanya. Demi mempertahankan maruah lelakinya, dia sedaya upaya menahan empangan matanya daripada pecah. Turut kedengaran suara-suara sumbing berbisik-bisik dan apa yang lebih sadis ialah wanita pujaan hatinya, Fazura turut gelak bersama pelajar yang lain. 

                                                                      ***

 

 

“Usah diambil hati tentang kejadian dalam kelas tadi. Cikgu Hifzi itu paling garang di SMKAAH, memang layaklah gelaran itu disandang olehnya yang sejak azali lagi sudah keras hati.” Selamba Aizan Faiz menghamburkan kata-kata penghinaan terhadap guru Matematik tersebut.

‘‘Aizan, tidak baik kamu berkata sebegitu. Beliau guru kita dan kita mesti menghargainya seadanya.’ ‘Fahrin seperti lagak seorang ustaz menasihati rakan karibnya.

Aizan Fahmi menghabiskan suapan terakhirnya, “Baiklah, Ustaz Fahrin. Bagaimana persediaan akhir kamu untuk pertandingan badminton itu?’‘

“Alhamdulillah, baik sahaja. Esok merupakan hari terakhir saya.’’ Kedua-dua sahabat itu bangun dan berjalan beriringan menuju ke kelas mereka.

‘‘Saya yakin awak akan memenangi pertandingan itu.’’ Semangat dititipkan khas buat sahabatnya.

‘’‘Doakanlah kejayaan saya supaya dapat menjulang piala tersebut.’’ Suara Fahrin kedengaran begitu bersemangat.

Kring! Kring!

Mereka berdua masuk ke dalam kelas untuk memulakan proses pembelajaran.

                                                                      ***

 

Hari pertandingan tiba. Ramai peminat badminton membanjiri gelanggang badminton. Semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja, dewasa, dan tua hadir. Pemain-pemain bersiap siaga dengan memanaskan badan dan mendengar arahan terakhir jurulatih masing-masing. Fahrin menatap lama jadual perlawanan.

 

‘‘Kamu sudah bersedia? Buat sehabis baik dan jangan lupa bertawakkal kepada Allah.’’ Tangan Fahrin digenggam erat.

Tiba-tiba mikrofon berbunyi, ‘‘Kepada pemain dari SMKA Al-Hamidiyyah dan SMKA Al-Bakriyyah, sila bersedia kerana perlawanan akan dimulakan sebentar lagi.’‘

Fahrin bersalaman terlebih dahulu sebelum memulakan permainan. Dia menghela nafas dan hatinya tidak terhenti bertasbih memuji Tuhan Yang Esa.

Pemain SMKA Al-Bakriyyah memulakan permainan .Corak permainannya amat gopoh dan kelam-kelabut. Itu memudahkan Fahrin mengalahkan pemain SMKA Al-Bakriyyah.

‘‘21-9.’’ Suara pengadil perlawanan mengembirakan hati Fahrin dan Cikgu Azmi.

Perlawanan terakhir adalah dengan pemain SMKA Al-Ahmadiah. Kali ini, Fahrin membuat hantaran servis dengan cermat dan disambut baik oleh pihak lawan. Pihak lawan melakukan pukulan tinggi membuatkan Fahrin tersasar. Markah lawan meningkat.

Masa terus berlalu sehingga pengadil perlawanan menjerit, ‘‘SMKA Al-Ahmadiah 20 dan SMKA Al-Hamidiyyah 21.’‘

Fahrin bersalaman dengan pihak lawan dan terus mendapatkan Cikgu Azmi. Ucapan tahniah tidak putus-putus di bibir Cikgu Azmi. Fahrin memeluk jurulatihnya serat-eratnya.

‘‘Terima kasih, cikgu.’’ Fahrin menjulang pialanya di sebelah Cikgu Azmi.

                                                                      ***

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: