Certot

Mr Man-Man

Hasil nukilan Yaya Madzlan about 3 years agoSuperhero 53

             

Riezky berlari anak ke arah kereta milik ayahnya. Tangannya dipegang kuat sehelai kertas. Kemudian, dia menarik pemegang pintu lalu masuk ke dalam kereta itu.

“Hai, Riezky! Belajar apa hari ini?” tanya ayah Riezky, Encik Azrul sambil tersenyum lebar melihat anak lelakinya yang sedang termengah-mengah akibat berlari tadi.

Riezky menghelakan nafas yang panjang. “Ayah, cikgu kata minggu hadapan ada perjumpaan ibu bapa di sekolah. Riezky tak fahamlah .Perjumpaan apa itu, ayah?” tanya Riezky lalu menghulurkan sehelai kertas yang masih kekal di tangannya tadi.

Encik Azrul mengerut dahi lalu mencapai kertas itu. Encik Azrul membaca dengan tekun.

“Oh, ibu bapa perlu hadir ke sekolah Riezky untuk mengambil kad laporan! Memanglah Riezky tak faham dengan ini kerana dahulu di tadika, tiada lagi perjumpaan sebegini,” jelas Encik Azrul panjang lebar. Kemudian, dia menekan enjin untuk menggerakkan kenderaan.

“Kad laporan? Apa itu, ayah?” tanya Riezky yang masih belum memahami apa-apa. Kemudian, dia mengambil kertas itu lalu membacanya perlahan-lahan. Maklumlah,Riezky baru sahaja berumur tujuh tahun. Jadi, dia masih tidak memahami dengan perjumpaan itu.

Stereng kereta dipusing ke kiri. Kemudian ke kiri semula lalu ke kanan pula.  “Kad laporan itu diisi dengan pencapaian akedemik Riezky di sekolah. Pada perjumpaan itu, guru-guru akan memberitahu tentang keadaan Riezky di sekolah. Faham?” jelas Encik Azrul lagi lalu kakinya menekan brek setelah melihat lampu isyarat berwarna merah. 

Riezky mengangguk perlahan. Dia sendiri tak pasti sama ada dia faham sepenuhnya ataupun tidak.

 

*****

Riezky berjalan ke arah biliknya di tingkat dua iaitu tingkat paling atas. Kemudian, dia memusingkan tombol pintunya.

Di dalam bilik tidurnya, penuh dengan patung mainan Ultraman. Di bahagian kiri, terdapat sebuah rak yang dibeli semata-mata mahu meletakkan koleksi patung Ultramannya. Manakala cadar katil Riezky, ditulis Ultraman dan berwarna merah dan biru. Almarinya juga ada gambar Ultraman.

Akibat obses yang melampau sejak berumur tiga tahun, Riezky tidak boleh melihat barang yang berkonsepkan Ultraman. Kalau nampak juga, seratus peratus dia akan meminta kedua-dua ibu bapanya membeli barang itu.

Malah, beg sekolahnya juga mempunyai gambar kartun Ultraman. Tetapi sewaktu kecil, Riezky tidak panda menyebut perkataan ‘Ultraman. Sebaliknya dia menyebut Man-Man. Jadi, sehingga sekaranglah dia menyebut Man-Man.

Riezky tersenyum puas melihat bilik tidurnya. Lalu, dia meletakkan beg sekolahnnya di atas kerusi lalu mencapai topeng Ultraman untuk memakainya.

“Aku mahu jadi Man-Man!”

Begitulah ayat yang disebut oleh Riezky setiap hari. Betapa besarnya impiannya walaupun impiannya itu agak mustahil untuk dijadikan realiti.

****

Malam sudah hampir melabuhkan tirainya. Sekawan burung menyanyi riang pada pagi itu. Semua kelihatan ceria. Lebih-lebih lagi kerana pada hari itu adalah hari Ahad di mana semua orang sedang berehat daripada penat akibat menjalankan tugas masing-masing di tempat kerja.

Hari itu, Encik Azrul bercadang mahu berehat sahaja di rumah. Dia terasa malas untuk pergi bersiar-siar. Isteri Encik Azrul, Puan Aminah juga terasa mahu duduk di rumah. Mereka berdua merasakan sungguh letih selepas lima hari bekerja. Tambahan pula semalam Encik Azrul sekeluarga pergi kenduri kahwin. Empat majlis kenduri kahwin pula itu! Mereka sekeluarga pulang lewat ke rumah selepas semua majlis telah didatangi olehnya.

Usai menikmati sarapan, Encik Azrul bertanya, “Mana Riezky? Dia tak bersarapan dengan kita pun pagi ini.”

“Tadi saya ada ke biliknya .Dia kata dia penat sangat akibat kita pulang lewat semalam. Biarlah, dia mahu tidur secukupnya,” jelas Puan Aminah lalu mengangkat pinggan untuk diletakkan di singki.

Encik Azrul mengangguk lalu berjalan ke arah bilik anak tunggalnya untuk memeriksa keadaannya.

Tok! Tok! Tok!

Encik Azrul berjalan masuk ke dalam bilik tidur anaknya. Dia berasa hairan melihat muka anaknya yang pucat lesu semacam. Kemudian, tapak tangan Encik Azrul diletakkan pada dahi Riezky.

“Ya, Allah! Panasnya!”

****

“Jika suhu badannya bertambah, saya meminta Encik datang semula ke sini untuk membuat pemeriksaan kali kedua.”

Ayat yang dikeluarkan oleh mulut doktor di klinik sebentar tadi masih terniang-ngiang di ingatan Encik Azrul.

Puan Aminah mengurut dahi Riezky di bahagian belakang kereta. Kelihatan Riezky sudah pun tidur nyenyak sambil memeluk patung Ultramannya.

“Macam mana kalau Riezky benar-benar menghidap penyakit demam denggi?” tanya Puan Aminah risau.

Encik Azrul tidak menjawab. Dia hanya terus memandu kereta. Dia sendiri pun tidak pasti dengan jawapan untuk soalan itu.

Kereta Myvi berwarna putih itu berhenti di hadapan rumah milik keluarga Encik Azrul. Kemudian, mereka bertiga berjalan masuk ke dalam rumah.

*****

Hari Isnin sudah pun tiba di mana pada tarikh itulah para ibu bapa datang ke Sekolah Kebangsaan Seri Merah untuk mengambil kad laporan anak masing-masing.

Akan tetapi, Riezky perlu berehat di rumah. Puan Aminah meminta cuti untuk menjaga anaknya di rumah, manakala Encik Azrul akan bekerja seperti biasa.

“Ibu, hari ini ada perjumpaan ibu bapa. Siapa yang akan pergi nanti?” tanya Riezky lalu menelan bubur ke dalam mulutnya.

“Ayah,” jawab Puan Aminah ringkas lalu menyuapkan bubur nasi lagi. Riezky mengangguk perlahan tanda faham.

“Ibu, Riezky nak tanya. Sebenarnya doktor kata Riezky demam apa?” tanya Riezky lalu mencapai cawan plastik yang mempunyai gambar Ultraman.

“Ermm… doktor kata Riezky demam biasa sahaja,” jawab Puan Aminah. Sebenarnya itu bukannya jawapannya yang sebenar. Puan Aminah menipu kerana takut anaknya ketakutan dengan penyakit yang dihadapinya itu.

“Ibu, kenapa muka ibu macam risau sahaja?” tanya Riezky yang terlalu mengambil berat. Puan Aminah menggeleng tanda tiada apa-apa.

“Ibu, Riezky sudah kenyang,” jelas Riezky. Puan Aminah mengangguk lalu berjalan menuruni tangga.

Ding! Dong!

Puan Aminah segera membuka pintu rumah. Kelihatan Encik Azrul sedang berdiri tegak di hadapan pintu.

“Alhamdullilah. Riezky berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan pertengahan t ahunnya!” sorak Encik Azrul sambil tersenyum lebar.

Puan Aminah turut mengukirkan senyuman yang sangat lebar. Akhirnya Riezky berjaya membuat mereka bangga.

Akan tetapi, Riezky tidak langsung berasa gembira dengan berita itu. Dia berasa agak tertekan dengan demamnya itu. Dia tidak pernah demam yang sangat tidak selesa dan kini dia berasa sangat tidak selesa. Sendi-sendinya asyik sakit sahaja. Hendak berjalan pun sudah tidak bermaya.

*****

Dua minggu sudahpun berlalu tetapi Riezky masih belum sembuh. Seminggu yang lepas, suhu badannya sudah menurun tetapi selepas dua hari meningkat semula. Nak tak nak, dia perlu membuat suntikan. Selepas dikaji, memang sah Riezky diserang demam denggi!

Riezky telah ditahan wad sehingga dia betul-betul pulih. Puan Aminah terpaksa meninggalkan kerjanya buat sementara waktu untuk menjaga anaknya di hospital.

Dua hari sudahpun berlalu ketika dia berada di hospital. Riezky sudah tidak tahan untuk duduk di hospital walaupun baru sahaja dua hari dia di situ.

Pada hari ketiga, Puan Aminah perlu datang ke pejabat dan tidak boleh meninggalkan kerjanya lagi kerana sudah banyak hari dia meminta cuti. Jadi, Enck Azrul pula yang perlu meninggalkan kerjayanya.

“Riezky, kamu nak apa untuk buatkan kamu gembira?” tanya Encik Azrul sambil tersenyum lebar.

“Ermm… Riezky nak Man-Man!” jawab Riezky bersemangat sekali.

“Oh, Man-Man! Boleh tetapi dengan satu syarat, Riezky kena tabah dengan dugaan yang dihadapi oleh Riezky,ya?” kata Encik Azrul.

“Sudah tentu! Tetapi, Riezky tak nak patung Man-Man. Riezky nak Man-Man yang sebenar,” jelas Riezky sambil tersengih.

Encik Azrul terdiam setelah mendengar permintaan anaknya itu. Permintaan yang bukan-bukan sahaja!

Kring! Kring!

Tiba-tiba telefon bimbit Encik Azrul bordering. Setelah melihat nama yang terpampar di skrin, dia segera mengangkat panggilan.

Riezky berteka-teki siapa yang menelefon ayahnya.

“Ya, ya. Baiklah, saya faham. Terima kasih,” kata Encik Azrul lalu memutuskan panggilan.

“Ada apa, ayah?” tanya Riezky yang sibuk mahu tahu.  

“Kawan ayah. Katanya pejabat ayah terbakar pagi tadi,” jelas Encik Azrul dengan nada sayu.

Riezky melopong setelah mendengar penjelasan ayahnya. “Ayah terpaksa cari kerja yang baru,” kata Encik Azrul lagi. Dia cuba untuk menyembunyikan perasaan sedihnya itu.

Riezky tahu yang ayahnya sedang bersedih. Ya, dia tahu!

*****

Puan Aminah perlu pergi ke Sabah akibat urusan kerja selama seminggu. Tinggallah Riezky dan Encik Azrul. Encik Azrul bersusah-payah menjalankan tanggungjawabnya. Setiap malam dia perlu tidur di hospital kerana mahu menjaga anaknya.

Encik Azrul juga menjalankan tugas seorang ibu sementara Puan Aminah sedang berada di Sabah.

Riezky berasa terharu melihat ayahnya yang bermandi-peluh demi anaknya. Dia sangat berterima kasih.

“Ayah, Riezky sudah tak tahan! Kenapa suhu badan Riezky bertambah semula?” tanya Riezky lalu menangis teresak-esak.

“Riezky kan dah janji supaya menjadi tabah?” kata Encik Azrul lalu mengusap lembut kepala anaknya.

“Tapi ayah dah janji nak tunjukkan Riezky Man-Man sebenar.”

Perbualan itu terngiang-ngiang di fikiran Encik Azrul. Nak tak nak, dia perlu menunaikan janjinya!

“Baiklah, sudah siap,” kata seorang jururawat yang baru sahaja membuat suntikan pada lengan Riezky. Riezky cuba menahan pedih.

Selepas jururawat itu keluar, Encik Azrul masuk ke dalam bilik.

Riezky sangat terkejut apabila melihat ayahnya yang memakai baju Utraman dan topeng Ultraman. Riezky sangat gembira. Dia berjaya berjumpa dengan Ultraman walaupun dia tahu itu adalah ayahnya.

“Riezky, ayah adalah seorang superhero! Superheero Ultraman!” sorak Encik Azrul.

“Tak, ayah! Ayah bukannya Super Hero Ultraman. Pada Riezky, ayah seorang superhero kerana ayah bersusah payah menjaga Riezky. Sayang ayah!” jerit Riezky lalu memeluk erat ayahnya.

“Ayahku superhero!Ayahku Mr Man-Man!”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: