Certot

Missing, You….

Hasil nukilan Wan Nur Arliana 2 years agoFiksyen 72

Nama aku Natasha. Aku mempunyai seorang rakan karib bernama Kayra dan kami tinggal di kawasan perumahan yang sama. Paling istimewa, kami sentiasa bersama-sama seperti belangkas. Kayra sahaja yang memahami perasaanku dan setia menemaniku tatkala susah dan senang.

Tatkala kami ingin ke sekolah, kami perlu melalui jalan yang agak jauh sekitar lima kilometer. Kami perlu bangun awal supaya tidak terlewat untuk pergi ke sekolah. Lima kilometer bukanlah sekangkang kera, hendak dilangkah begitu sahaja. Berpeluh-peluh dibuatnya kerana perlu berjalan kaki. Kami bukanlah daripada keluarga yang mewah, ingin menaiki kereta Ferrari ke sekolah.

Namun, ada sebuah jalan pintas yang dapat menyingkatkan masa dan memendekkan perjalanan sekitar dua kilometer sahaja. Terdapat sebuah laluan yang sempit, yang perlu merentasi landasan kereta api. Kebanyakan penduduk kawasan itu lebih gemar menggunakan jalan pintas yang agak berbahaya itu. Kami berdua tidak gemar menggunakan jalan pintas itu untuk menjamin keselamatan diri.

Satu hari, kami agak leka menikmati sarapan sehingga tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 7.10 pagi. Aku dengan segera mengetuk pintu rumah Kayra dan kami agak sedikit kalut ketika itu. Tinggal 20 minit sahaja lagi sebelum pintu pagar sekolah ditutup rapat. Hendak berjalan merentasi pekan, ianya memakan masa 45 minit. Oleh sebab itu, kami terpaksa menggunakan jalan pintas yang berbahaya itu.

“Cepat! Kita tiada masa untuk berfoya-foya! Kita sudah terlambat untuk ke sekolah. Nanti dirotan pula kita berdua.” Aku kelihatan tergesa-gesa ketika itu. 

Kayra mengangguk laju seraya berkata, “Baiklah, saya pun sama. Bimbang berbelang pula badan saya nanti. Menyeramkan!”

Aku merentasi landasan kereta api itu dengan penuh berhati-hati. Dengan pantas, aku sudah sampai ke seberang jalan. Aku menanti ketibaan Kayra yang masih teragak-agak.

“Cepat! Usah teragak-agak! Nanti kereta api datang pula, nahas awak nanti!” laungku, kuat. 

Kayra mengangguk. Sebaik sahaja Kayra tiba di landasan keretapi, kelihatan sebuah keretapi KTM (Kereta api Tanah Melayu)  datang secara tiba-tiba. Kayra berasa pegun, tiada reaksi.

“Kayra! Kereta api datang! Awak mahu matikah?” aku menjerit sekuat hati, menyedarkan Kayra. Akhirnya, Kayra tersedar namun sudah terlambat….

Kayra maut dilanggar kereta api itu dengan sekelip mata. Aku yang melihat dengan mataku sendiri berasa terkejut dan hampir pengsan. Aku segera mendapatkan Kayra yang berlumuran darah. Segera aku memanggil ibu dan ayah Kayra untuk menemuinya.

Kini, sudah genap enam tahun pemergian Kayra. Masih aku terbayang dalam fikiran, wajah manis Kayra yang tersenyum ceria. Tragedi itu membuatkan aku fobia dan tidak lagi menggunakan jalan pintas itu. Aku kini menunggang basikal ke sekolah selepas ketiadaan Kayra untuk menemani. Kayra, aku kini merinduimu. Tiada siapa yang dapat menggantikan tempatmu sebagai sahabat karibku.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: