Certot

Miskin Bukan Halangan

Hasil nukilan Shakira Balqis 2 years agoSukan 51

           

Aidil anak yatim piatu. Meskipun dia kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, namun itu tidak menghalang Aidil untuk bersekolah.

Dia bukan sahaja pelajar yang cemerlang, tetapi juga hebat dalam bersukan. Aidil meminati sukan bola sepak. Dia merupakan ayam tambatan dalam pasukan bola sepak sekolah. Tidak lama lagi, perlawanan bola sepak akan diadakan.

“Kau mana boleh masuk perlawanan kali ni. Kau tengoklah kasut kau tu. Koyak-rabak!” ejek kawan-kawan sepasukannya.

“Walaupun kau pandai bermain bola, kau tak boleh mewakili sekolah! Kalau kau masuk, malulah kami! Kasut bola bukannya mahal sangat pun. Kau suruhlah nenek kau belikan yang baru. Kasut tu dah boleh buat tadah air hujan,” tambah kapten pasukan sambil berpeluk tubuh.

Kasut yang dipakainya memang sudah lama tidak bertukar baru. Usahkan hendak menukar kasut bola, baju sekolah pun sudah lusuh. 

Petang itu, Aidil pulang ke rumah dengan rasa yang amat sedih.

“Kenapa cucu nenek sedih? Kawan-kawan ejek lagi? Nanti bila nenek dapat upah jual sayur kat belakang rumah tu, kita beli baju sekolah baru, ya?” pujuk nenek sambil tersenyum.

Aidil menggeleng-gelengkan kepalanya.

        “Kapten pasukan bola sepak sekolah Aidil tak bagi Aidil sertai pasukan sekolah sebab….” Aidil menghentikan kata-katanya. Kepalanya ditunduk ke bawah.

        “Sebab apa?” tanya nenek.

        “Sebab kasut bola Aidil dah koyak,” beritahu Aidil serba salah.

Tidak sanggup memberitahu nenek. Dia tahu, nenek pun tiada duit. Dia tidak mahu menyusahkan nenek.

*****

 

Petang keesokan harinya, Aidil berlatih bermain bola seperti biasa, tetapi kapten pasukan menghalaunya keluar dari padang. Mereka tidak membenarkannya berlatih.

Aidil berasa sungguh kecewa. Dia mendapat akal. Dia mahu mengumpul duit sendiri. Barulah dia boleh menyertai latihan semula. Dia mula mengumpul barang-barang terpakai yang boleh dijual.

 

        Separuh masa pertama pada hari perlawanan, pasukan bola sepak sekolahnya kalah teruk. Aidil hanya memerhati di tepi padang. Dia memandang kakinya yang tersarung sepasang kasut bola yang baru. Dari jauh, dia mendengar jeritan jurulatih memarahi pasukan sekolahnya. Kemudian, mereka datang mendekatinya.

        “Kami nak minta maaf sebab ejek kau. Kami harap kau dapat memaafkan kami. Marilah main bola sama-sama. Kami harapkan kau untuk dapatkan kemenangan pada kali ni. Pasukan sekolah kita teruk dikalahkan. Marilah kita sama-sama kalahkan pihak lawan,” pujuk mereka sambil berjabat tangan dengan Aidil.

Aidil tersenyum dan mengangguk. Mereka kemudiannya bermain dengan bersungguh-sungguh dan mendapat kemenangan. 

Sejak hari itu, mereka bersahabat baik dan tidak menghina Aidil lagi. Aidil sedar. Walaupun dia hidup dalam kemiskinan, itu tidak menghalangnya untuk berjaya. Asalkan dia rajin berusaha. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: