Certot

Misi Amylia

Hasil nukilan Amirah Azmi 3 years agoSukan 205

           

Amylia merenung ke luar jendela kelas. Pandangannya kosong. Apa yang dia nampak hanyalah padang sekolah yang luas. 

‘Hmm, minggu hadapan ada sukan tahunan sekolah. Kalau boleh, aku tidak mahu masuk apa-apa acara. Tetapi, apakan daya. Tahun ini, semua tahun 6 rumah biru wajib masuk satu acara. Dengan badan yang gemuk,  bagaimana aku mahu bersukan? Mesti….’

“Amylia! Apa yang kamu menungkan itu? Bangun sekarang. Terangkan apa yang saya ajar tentang purata, mud, dan julat!” Lamunan Amylia terhenti dek suara Cikgu Mariam yang lantang. Bukan sahaja dimarah, malahan mejanya juga diketuk kuat oleh cikgu Matematik yang garang itu.

“Err… err… purata itu permukaan rata. Mud adalah ‘mood’ seseorang. Julat pula suami jiran saya, cikgu.” Amylia hanya menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Apa yang kamu cakap ini? Turun ke padang dan lari dua pusingan. Cepat!” kata Cikgu Mariam.

*****

        “Farisya, aku sebenarnya tengah runsing ini. Kau tahu bukan yang minggu hadapan ada sukan tahunan? Kau tahu, semua tahun 6 rumah biru wajib masuk apa-apa acara!” keluh Amylia.

        “Kau masuk sahajalah. Apa yang mahu kau runsingkan?” Farisya hanya layan endah tak endah. Yalah, Farisya tidak gemuk seperti Amylia. Dia pun bukannya ahli pasukan rumah biru.

        “Kau ini! Aku ini gemuk. Mesti baru bersenam sedikit sudah penat,” Amylia berkata lagi sambil menghirup sup tulang buatan makcik kantin sekolah.

        “Rileks, kau kena banyak berlatih. Banyak bersukan. Lama-lama biasalah,” jawab Farisya. Amylia hanya mengeluh berat.

*****

        Amylia hanya mencuba apa yang diarahkan oleh Farisya. Dia banyak bersukan di sekolah mahupun di rumah. Dia tidak mahu dirinya diketawakan semasa Hari Sukan nanti. Walaupun bersukan itu perit baginya, dia tetap melakukannya juga.

        “Eh, Amy. Makin kurus nampak.”

        “Wah, ini Amylia? Lain benar.”

        Itulah antara ayat-ayat yang ditanya kepada Amylia. Ya, memang tidak dinafikan, Amylia sudah semakin kurus daripada biasa hanya dengan bersukan. Jadi, kali ini dia memasang tekad untuk masuk dalam acara Hari Sukan nanti dan buktikan kepada semua orang bahawa dia pun boleh buat.

*****

        Pejam celik, Hari Sukan telah pun tiba. Ibu bapa Amylia datang bersama untuk menyokong anak mereka.

        ‘Ya, aku boleh buat,’ bisik hati kecil Amylia. Dia memasuki acara lari berganti-ganti. Sebelum bermula, dia cuba untuk tenangkan diri dan akan cuba sedaya upaya.

        Acara sudah pun bermula, semua peserta lari dengan pantas sekali.  Amylia, pelari terakhir rumah biru mula berlari. Akhirnya, dia tiba di garisan penamat. Walaupun tidak mendapat tempat pertama, dia tetap bangga kerana pasukan biru mendapat tempat kedua. Dia hanya tersenyum gembira.

Juga daripada penulis ini:

  • Fobia?

Cerita lain: