Certot

Mendung Amani Berlalu

Hasil nukilan Shazarina Aryani 2 years agoSuperhero 20

             

“Yeay! Balik kampung!” jerit Nabilah Amani dengan perasaan sangat teruja tidak sabar bertemu dengan nenek dan datuknya serta saudara maranya yang berada di Tanjung Malim, Perak.

    “Amani! Cepat siap! Kemaskan pakaian kamu tu cepat. Ayah dah nak susun beg dalam kereta! Nanti lambat pula kita sampai kat kampung atuk kamu tu!” jerit ibu Amani dari bawah rumah.

 

    “Ya, mak! Amani dah siap dah!” jawab Amani sambil menjinjing beg pakaiannya sambil turun ke tingkat bawah rumahnya. Mereka pun segera bertolak ke kampung dengan menaiki kereta Perodua Alza milik Encik Ridzwan, iaitu ayah kepada Amani.

 

      Selama empat jam perjalanan ke Perak, Amani hanya tidur di bahagian belakang pemandu. Dia begitu penat mengemas pakaian pada malam hari sehingga tidur lewat malam.

Hari semakin larut malam. Walaupun begitu, ayah Amani tetap meneruskan perjalanan mereka dengan keadaan yang sangat mengantuk kerana sungguh kenyang selepas mereka menjamu selera di tempat rehat dan rawat (R&R) di Sungai Perak.

 

Mata Encik Ridzwan hanya terkelip-kelip semasa memandu. Sebuah lori yang berada di hadapan kereta mereka memandu dengan sungguh perlahan menyebabkan dia semakin mengantuk.

 

Semasa dia membelok kereta ke lorong sebelah kiri, tiba-tiba sebuah lori memecut dari arah belakang kereta mereka sehingga terlanggar kereta Encik Ridzwan. Kereta Encik Ridzwan terbabas ke penghadang jalan.

Encik Ridzwan tercedera di bahagian kepala. Amani yang duduk di bahagian belakang hanya pengsan, tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan. Dalam keadaan parah, Encik Ridzwan tetap memaksakan diri untuk menyelamatkan isteri dan anaknya. Sebelum itu, dia sedaya upaya mencapai telefon bimbitnya kemudian mendail nombor kecemasan.

 

      Setelah itu, dia melihat isterinya yang dalam keadaan nazak dan tersepit di bahagian sebelah pemandu. Encik Ridzwan mengambil keputusan untuk menyelamatkan anaknya terlebih dahulu kerana sukar baginya yang dalam keadaan parah untuk menyelamatkan isterinya yang tersepit itu.

    Secara perlahan-lahan dia mengalihkan anaknya ke tempat yang lebih selamat sambil menangis tersesak-esak membayangkan keadaan isterinya yang nazak. Belum sempat pasukan penyelamat datang ke tempat kejadian, Encik Ridzwan jatuh pengsan kerana tidak dapat menahan rasa sakit di bahagian kepalanya.

 

              *****

 

    Ibu Amani telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dia dan ayahnya yang masih dalam keadaan trauma dihantar ke Hospital yang terletak di Ipoh untuk mendapatkan rawatan. Selama seminggu, Encik Ridzwan hanya terbaring di atas katil milik hospital kerajaan di Ipoh.

 

    Setelah seminggu Amani dan ayahnya di hospital, akhirnya mereka berdua dibenarkan keluar dan pulang ke rumah mereka. Jenazah ibu Amani telah dikebumikan sejurus selepas hari kejadian.

    Musibah yang menimpa telah meninggalkan kesan kepada Encik Ridzwan. Amani melihat perubahan ayahnya yang sering bersendiri dan tertekan.

 

              *****

 

    Pada suatu hari, semasa Amani ingin meminta kebenaran hendak bermain bersama rakannya, dia mendapati ayahnya sudah terbaring di bilik kerja. Amani mula panik dan terus menelefon ambulans.

  “Encik Ridzwan disahkan mengalami tekanan yang sangat teruk. Jika keadaan ini berterusan, dia boleh mengalami gangguan mental,” kata seorang doktor menerangkan keadaan ayah kepada datuk.

  “Adakah dia perlu dirawat di hospital?” soal datuk kepada doktor Fazli.

  “Setakat ini, dia hanya akan diberikan ubat penenang. Tetapi, encik perlu memerhatikannya di rumah. Jika pesakit pengsan, segeralah membawanya ke hospital,” jawab doktor itu.

  Amani hanya berdiam diri semasa datuknya berbincang bersama doktor itu. Dia buntu. Apakah ayahnya mengalami tekanan disebabkan kematian ibunya?

  “Amani?” Amani berhenti mengelamun setelah mendengar teguran Datuknya. Amani memandang datuknya sekilas.

  “Amani kena tinggal dengan atuk lepas ni. Sebab ayah tak boleh jaga Amani. Lagipun macam mana ayah kamu nak jaga kamu kalau dia sakit?” soal datuknya.

      Amani terkedu seketika. Dia sudah kehilangan ibu tersayang dalam sekelip mata. Dia tidak mahu lagi kehilangan orang yang dia sayangi buat kali kedua. Amani menggeleng kepalanya menandakan tidak setuju dengan kata-kata datuknya.

      “Tolonglah faham, Amani. Ayah kamu tak mampu nak jaga kamu,” pujuk datuknya lagi.

      Datuknya cuba untuk memisahkannya dengan ayah. Ayahnya sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkannya semasa kemalangan itu terjadi. Tidak mungkin dia hendak meninggalkan ayahnya begitu sahaja. Hanya kerana ayahnya tidak siuman? Sedangkan ayahnya menjadi begitu kerana hendak menyelamatkannya.

      “Tidak mahu. Amani mahu tinggal dengan ayah,” kata Amani memberontak. Dia segera berlari menuju keluar hospital sambil menangis teresak-esak.

      *****

      “Atuk! Bila ayah akan keluar dari hospital?” Amani bertanya kepada datuknya seraya melompat keriangan. Tidak sabar rasanya mahu berjumpa ayahnya semula setelah beberapa hari terpisah.

      “Ayah kamu sudah dipindahkan ke hospital sakit jiwa, Amani. Kalau ayah kamu dah pulih, ayah kamu baliklah,” jawab Datuk sambil menyelak surat khabar yang dibacanya.

      “Jadi, Amani mesti tinggal dengan atuk? Amani tak nak!” Amani sekali lagi memberontak kata atuknya.

      Amani bertindak agresif dengan keluar dari rumah atuknya. Dia ingin berjumpa dengan ayahnya. Dia segera berlari ke arah perhentian bas berdekatan dengan rumah atuknya.

      Dalam keadaannya yang sangat sedih dan menangis teresak-esak, dia melintas jalan raya tanpa menghiraukan kereta-kereta yang bertali arus.

      Nasib tidak menyebelahi Amani. Sebuah kereta melusuri jalan raya yang tidak pernah sunyi dari bunyi enjin kenderaan. Amani terlambung ke pinggir jalan. Dia mendengar sayup-sayup suara yang memanggilnya sebelum dia menutup kelopak matanya. Dia tidak dapat menahan perit yang mencucuk kepalanya.

      *****

 

      “Amani! Apa dah jadi ni?” Amani melihat wajah orang yang sangat disayanginya. Ayah! bagaimana ayah boleh ada di hadapannya sekarang ini? Bukankah ayah di hospital? Kata-kata itu bermain di benak fikiran Amani.

      “Ayah dah keluar dari hospital, Amani.” Belum sempat Amani bertanya, ayahnya terlebih dahulu menjawab soalan yang membelenggu fikirannya.

      “Kamu dah lama koma, Amani. Sudah dua bulan ayah keluar dari hospital dan pulih seperti sediakala,” Encik Ridzwan menyambung bicaranya sambil tersenyum kegembiraan.

      Amani bersyukur ke hadrat ilahi kerana telah menyembuhkan ayahnya. Baginya, walau apapun yang terjadi kepada ayahnya, dia tidak akan melepaskan tanggungjawabnya sebagai anak kepada ayahnya.Apatah lagi ayahnya telah menyelamatkan nyawanya.

*****

      Tiga bulan berlalu, Amani berjaya melawan trauma yang menghantui dirinya. Ayahnya tak putus-putus menasihat dan membimbing Amani sehingga dia berjaya menjalani kehidupan seperti sediakala.

      Semenjak ketiadaan ibunya, ayah Amani telah menjadi superhero dalam dirinya. Ayahnya melakukan segala kerja-kerja yang dahulunya dilakukan oleh arwah ibunya.

      Ayahnya juga selalu menasihatinya untuk membuat perancangan sebelum melakukan sesuatu perkara kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: