Certot

Memori Mufin Mama

Hasil nukilan Dina Izzati 3 years agoFiksyen 47

“Iman, kalau kamu buat sesuatu, buatlah dengan penuh kasih sayang. Semoga orang lain dapat merasai kenikmatan kasih sayang kamu.” Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Iman Zafira. Itulah kata-kata yang sering mama titipkan kepadanya semasa kecil.

Memori bersama mama masih kekal segar dalam ingatan. Kukuh terpahat di minda dan hati. Mama sering membakar mufin vanila semasa dia kecil. Aroma mufin yang harum seringkali semerbak dalam rumahnya. Bau itu sudah lali.

Mama sering mengajaknya menolong menghias mufin yang comel itu. Dia sangat seronok bermain dengan krim, gula aising, dan bebola manik. Mama sering memuji hasil kerjanya itu walaupun comot. Mama selalu kata, kalau kita hendak sesuatu perkara itu sempurna, kita perlu sentiasa berlatih dan terus berlatih.

Kadangkala, mama selalu calitkan krim pada pipinya. Dia pastinya akan membalas semula perbuatan mama itu. Mereka akan main calit-calit krim sehingga bersepah dapur. Tepung berselerak memenuhi meja. Dia masih ingat lagi, betapa indahnya gelak ketawa mama tika itu.

Dia sering membawa buku nota dan pen yang dihias mama dengan reben merah jambu untuk mencatat resipi mufin mama. Mama kata, dia berikan nama Mufin Kasih Sayang. Dia hairan dan gelakkan nama mufin mama. Mama hanya tersenyum manis sambil tangannya pantas mengacau adunan mufin.

“Mama, kenapa mama cucuk mufin guna lidi?” tanya dia, polos. Mama tersenyum lagi. Ah, manisnya senyumanmu!

Mama jawab, kalau kita hendak tahu mufin sudah sempurna dibakar, kita perlu cucuk guna lidi. Kalau ada isi mufin melekat pada lidi, itu bermakna mufin belum sempurna dibakar.

Mama selalu menyuruh dia memberikan mufin kepada kawan-kawannya di sekolah. Rata-ratanya, semua komen mufin mama sedap dan terbaik!

Mereka selalu makan mufin bersama-sama ayah pada minum petang. Menggigit mufin yang lembut dan gebu dan mencicip perlahan air teh yang disediakan mama. Papa selalu menceritakan kisahnya di zaman mudanya, kembara satu Malaysia, ragam manusia, dan bermacam lagi. Kadangkala dia dan mama tidak kering gusi mendengar kisah papa.

Ah, indahnya semasa itu! Ingin rasanya dia mengulang kembali memori itu, tetapi amat mustahil akan berlaku.

Kini, tinggal dia dan papa yang semakin tua di rumah keluarga kecil mereka. Mama sudah lama pergi menghadap Ilahi. Dia yang menjaga papa di rumah.

“Cik Iman Zafira!” Suara Anissa, pembantunya membuatkan dia tersentak. Iman Zafira kembali ke dunia nyata. Anissa memandangnya. Wajah Anissa kelihatan berpeluh.

“Kenapa?”

“Saya hendak beritahu, pelanggan hari ini terlampau ramai. Mereka beratur panjang semata-mata ingin membeli mufin, kek cawan, biskut, dan donut. Kek Cawan Lobak Keju dan Kek Cawan Pelangi hampir habis. Biskut-biskut dan donut juga begitu. Mufin Cip Coklat dan Mufin Kasih Sayang sudah habis. Cik Iman tolong bakar semua itu dengan cepat, ya?” ujar Anissa panjang lebar. Sesekali dia membetulkan apron yang tersarung di badannya.

“Baiklah! Beritahu pelanggan kita, minta bawa bersabar. Pesanan akan siap dengan cepat!” kata Iman Zafira penuh bersemangat. Anissa menunjukkan thumbs up sebelum keluar.

Iman Zafira mencapai apron yang tergantung di tepi pintu. Dia teringat kata-kata mama.

“Mama, Iman akan ingat kata-kata ibu dan Iman akan sentiasa sebarkan kasih sayang kepada orang lain.”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: