Certot

Masih Mencuba

Hasil nukilan Firahz 1 year agoFiksyen

Waktu kian berjalan, malah semakin sedikit, meninggalkan sesiapa sahaja yang alpa akan kehadirannya. Aziq sudah kesuntukan masa. Sebagai S-user harapan sekolah, maruah Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Bitara terletak pada tangan Aziq. Ini kerana lawannya adalah pelajar-pelajar dari Sekolah Elit Perempuan. Pasti akan ada yang mengatakan Aziq mudah dikalahkan perempuan dalam kejohanan kali ini.

Aziq menoleh ke kiri dan ke kanan, sebahagian besar rakan sepasukannya tewas dek serangan S-user lawan. Kini Aziq tinggal keseorangan.

“Aziq, menyerah sahajalah. Kita tidak perlu berlawan lagi. Terang lagi bersuluh awak akan kalah. Lagipun saya tidak mahu sakitkan awak lagi,” Aini bersuara. Seorang M-user (Multi-user).

“Maaflah, dalam kamus hidup saya, tiada langsung perkataan menyerah kalah. Sebaliknya…,“Aziq bersuara dalam suara serak-serak basah.

“Sebaliknya?”

“Teruskan cuba sampai jadi!”

Aini mendiamkan diri. Memang sukar berurusan dengan orang yang kuat semangatnya. Namun itu jugalah sebab dia meminati lelaki di hadapannya.

Aini tersenyum. “Baiklah. Saya faham, Aziq. Tetapi ingat, jika awak gagal, sekolah awak akan menjadi sebahagian sekolah kami dan perlu mengikut budaya kami.”

Aziq meraba poketnya. Dia mengeluarkan sebuah objek berbentuk bulat leper.

‘Benda ini bukannya calang-calang benda. Gunakan apabila perlu sahaja. Orang seperti kamu sahaja mampu mengaktifkan fungsinya.’ Kata-kata ayahnya terngiang-ngiang.

Aziq menekan punat kecil pada belakang objekitu. Seketika objek itu bernyala. Kelihatan Aini dan pasukannya sudah memulakan posisi bertahan. Pelik, mengapa tidak menyerang sahaja?

Aziq meletakkan objek itu pada sarung tangan pemberian ayahnya.

‘Teruskan mencuba, Aziq!’

Objek itu mula menyala lebih marak. Satu gelombang merah terhasil, terus menghala kepada pasukan Aini. Beberapa saat kemudian, kesemua pasukan Aini pengsan secara perlahan-lahan. Dari riak muka mereka, Aziq dapat membayangkan kekuatan gelombang tadi. Dia terlongo apabila melihat Aini masih kukuh berdiri, malah tersenyum.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: