Certot

Masa Itu Emas

Hasil nukilan Amelia 2 years agoFiksyen 9

Hai, nama saya Wan Sofia binti Wan Abdul Mubin! Saya berumur 12 tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Permata. Pada tahun ini,saya akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Berdebarnya saya!

Pada ujian TOV yang lalu, saya hanya mendapat 2B4C sahaja. Hmm… bagaimana saya mahu meningkatkan lagi prestasi saya dalam bidang akademik? Saya amat aktif dalam bidang kokurikulum ,tetapi sangat lemah dalam bidang akademik.

Apa-apa pun, saya akan berusaha untuk mendapat straight A dalam ujian seterusnya. Insya Allah!

*****

Kebiasaannya, setiap hari Isnin dan Khamis akan diadakan kelas tambahan khusus untuk tahun enam. Kelas tambahan ini diadakan pada pukul 1.30 hingga 3.30 petang.

Saya tidak pernah ponteng kelas tambahan melainkan saya tidak hadir ke sekolah kerana sakit. Namun begitu, disebabkan saya ditempatkan di barisan terakhir, saya sering tertidur di dalam kelas. Ini kerana saya tidak faham apa yang diajar oleh guru dan apa yang saya dengar ialah pot pet pot pet sahaja.

Tiada gunanya saya sering mengikuti kelas tambahan, tetapi ilmu yang disampaikan itu langsung tidak masuk ke dalam minda. Dalam ujian seterusnya, keputusan saya amat teruk. Saya mendapat 2C4D.A pabila saya tiba di rumah, sudah tentu saya akan mendengar ceramah secara percuma. Mahu bernanah telinga saya apabila mendengar leteran ibu.

Tatkala ibu bertanya mengapa keputusan saya semakin merosot, saya hanya menjawab, “Tidak mengapa! Ini baru ujian kedua. Biarlah keputusan saya merosot sekalipun, asalkan cemerlang dalam ujian sebenar kelak.”

Ibu hanya mengetap bibir apabila mendapat jawapan daripada saya. Geram!

*****

Semakin hari, saya menjadi semakin malas mahu mengulang kaji pelajaran. Keputusan ujian pun tidak seberapa. Malah, lebih teruk daripada dahulu. Semuanya gagal! Janji manis yang ditabur dahulu hanyalah sia-sia. Langsung tidak ditepati!

Bulan September. 

Saya menduduki UPSR pada hari ini. Semua calon kelihatan berdebar-debar tatkala melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan. Mereka membaca doa sebelum kertas soalan diedarkan.

Seorang pemeriksa mengedarkan kertas soalan kepada setiap calon. Ujian pun bermula. Saya tergaru-garu kepala apabila melihat soalan yang dikemukakan. Susahnya! Saya menjawab sebanyak mana yang termampu.

Satu jam berlalu. 

Preet!

Wisel dibunyikan, menandakan tempoh untuk menjawab soalan sudah tamat. Saya meletakkan kertas soalan di sebelah kanan meja sebelum ia dikutip. Aduhai, jika ujian pertama ini pun sudah susah sehingga pecah otak, apatah lagi ujian yang seterusnya!

*****

Dua bulan kemudian….

Hari ini merupakan hari di mana keputusan UPSR akan diumumkan. Saya dapat melihat pelbagai ragam calon-calon sementara menunggu ketibaan ibu saya. Ada calon yang berjalan mundar-mandir, ada yang teruja, ada calon yang hanya berbual kosong, dan sudah tentu sekali ada sebahagiannya yang berdebar, termasuklah saya.

Beberapa minit kemudian, ibu saya pun tiba di sekolah. Semua calon dan ibu bapa atau penjaga dikehendaki berkumpul di dalam dewan. Keputusan akan diumumkan sebentar sahaja lagi.

Seperti biasa, setiap majlis pasti akan dimulakan dengan ucapan guru besar, pentadbir sebuah sekolah. Setelah guru besar menoktahkan ucapannya, keputusan pun diumumkan. Pada saat itu, jantung saya seperti menendang-nendang dada. Kadar degupan jantung lebih laju daripada biasa!

Nama saya dipanggil. Saya bangun daripada duduk dan berjalan ke hadapan dewan bagi mengambil slip keputusan sambil diiringi oleh ibu saya. Saya melihat slip keputusan tersebut. Alangkah terkejutnya saya tatkala mengetahui keputusan itu! Terbelalak biji mata dibuatnya sehingga terasa mahu keluar daripada soketnya!

1C5D! Raut wajah saya bertukar mendung serta-merta. Saya amat menyesali perbuatan saya. Ketika masa masih ada, saya mensia-siakannya. Sekarang, terimalah akibatnya. Semuanya sudah terlambat.

Kini, saya sedar bahawa masa itu ibarat emas. Masa yang berlalu itu tidak akan kembali lagi. Walau sedetik sekalipun! Oleh itu, hargailah setiap masa yang ada dan isikanlah masa tersebut dengan perkara yang berfaedah.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: