Certot

Mamaku Terbaik

Hasil nukilan Adlina 1 year agoSuperhero

Adlina ialah seorang puteri, tetapi mempunyai perwatakan yang kasar. Adlina tidak suka menjadi seorang puteri kerana beliau terikat dengan protokol diraja. Kawan karibnya pernah menegurnya beberapa kali, tetapi Puteri Adlina tidak mengambil kisah teguran kawan karibnya itu. 

        “Biarlah. Puteri Harisya tidak perlu tegur saya. Tidaklah semestinya seorang puteri perlu berjalan dengan lemah lembut dan sopan santun,” kata Puteri Adlina dengan nada yang sedikit tinggi.

  Apabila Puteri Adlina pulang dari sekolah, dia mengadu kepada mamanya. Permaisuri Hasliza mendengar dengan teliti setiap pertuturan anak tunggalnya. Selepas Puteri Adlina berhenti mengadu, Permaisuri Hasliza pun mengambil peluang untuk bercakap sambil memikirkan kata-kata yang sesuai.

        “Adlina sayang. Apa yang dikatakan oleh Puteri Harisya itu memang benar. Adlina tidak patut meninggikan suara. Mama pun sudah beberapa kali menegur Adlina,  tetapi Adlina tidak mendengar sebutir perkataan pun yang mama cakap. Jadi mama mahu  Adlina meminta maaf kepada Puteri Harisya esok,” kata Permaisuri Hasliza dengan lembut agar Puteri Adlina menerima kata-katanya.

        “Baiklah,  mama,” kata Puteri Adlina dengan sedikit kecewa.

      Puteri Adlina terus menuju ke biliknya untuk berehat sebentar. Sampai sahaja di biliknya, dia terus merebahkan diri ke atas katil empuk miliknya. 

Dia berkata dalam hati, ‘Ingatkan mama membela saya. Rupa-rupanya kena ceramah pula. Lebih baik saya tidak perlu mengadu pada  mama tadi. Buat saya sakit hati sahaja.’  Puteri Adlina tidak puas hati lalu  mendengus geram.

                        *****

        Keesokan harinya, Puteri Adlina datang ke sekolah seperti biasa. Perhimpunan pada pagi itu ditagguhkan ke minggu hadapan kerana minggu ini murid-murid tahun enam  sedang menduduki Ujian Pentaksiran Sekolah Rendah (UPSR). 

Sampai sahaja di sekolah, Puteri Adlina pergi ke arah sekumpulan pelajar yang sedang bersembang rancak. Malangnya, kehadiran dia tidak diendahkan oleh murid-murid itu. 

Sepanjang Puteri Adlina berada di sekolah, dia hanya bersendirian. Pulang sahaja dari sekolah, Puteri Adlina terus menuju ke biliknya sambil menangis teresak-esak. Dia menekup mukanya ke bantal kesayangannya. 

Permaisuri Hasliza berasa pelik dengan perangai anaknya itu. Bagi  mengetahui apa yang berlaku,  dia menuju ke arah bilik anaknya. Permaisuri Hasliza mengetuk pintu bilik Puteri Adlina. Oleh sebab tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan oleh Puteri Adlina, dia memulas tombol pintu bilik anaknya. 

Permaisuri Hasliza memeluk anaknya seerat mungkin supaya hati anaknya tenang sedikit. Selepas Permaisuri Hasliza melepaskan pelukannya, Puteri Adlina segera memusingkan kepalanya. Ternyata tindakan Permaisuri Hasliza berjaya. Permaisuri Hasliza segera bertanya.

        “Mengapa dengan Adlina? Ada apa-apa yang terjadi di sekolah?” tanya Permaisuri Hasliza dengan lembut.

Puteri Adlina mengangguk. Kemudian,dia berkata, “Rakan-rakan tidak mahu berkawan dengan Adlina. Sekiranya Adlina pergi ke arah rakan-rakan, mereka  buat tidak endah sahaja. Adlina sedih sebab tidak mempunyai seorang kawan pun. Semua orang benci Adlina,” kata Puteri Adlina dengan perasaan sedih.

Permaisuri Hasliza senyap. Dia memikirkan sesuatu. Beberapa minit kemudian, dia bersuara semula.

        “Erm… mama sudah membuat keputusan . Mama akan ubah Adlina menjadi Puteri yang sebenar. Bercakap dengan lembut, berjalan dengan sopan santun dan banyak lagi. Jadi mama akan mengambil cuti pada minggu hadapan untuk melatih Adlina. Lagipun, minggu hadapan Adlina cuti. Mama harap Adlina setuju,” kata Permaisuri Hasliza.

        “Setuju!” jerit Puteri Adlina.

                              ******

        Bermulalah latihan Puteri Adlina.

Pada pagi itu, Puteri Adlina disuruh belajar bercakap dengan lembut dan tenang. Keesokannya pula, dia disuruh berjalan dengan sopan. Puteri Adlina merungut apabila mamanya   menyuruh dia berjalan dengan sopan. Tetapi dia tetap mengikut perintah mamanya.

        “Arh! Mengapa mama suruh saya berjalan dengan sopan? Sekiranya jadi manusia biasa lagi seronok. Huh!” rungut Puteri Adlina dengan perlahan supaya tidak didengari oleh mamanya.

Hari   yang seterusnya pula, dia disuruh belajar mengawal kemarahan. Hari yang lain, dia perlu  buat benda yang sama. Pada Hari Sabtu dan Ahad,  Puteri Adlina bernasib baik kerana mamanya memberi dia rehat.

                        ******

        Pada hari Isnin, Puteri Adlina sampai sekolah lambat kerana terdapat kemalangan. Puteri Adlina terus menuju ke kelas. Sampai sahaja di kelas,  semua rakannya terkejut dengan perubahan yang mendadak pada diri Puteri Adlina. Rakan-rakannya mula berkawan dengannya semula. Puteri Adlina menceritakan tentang latihan yang diberikan oleh mamanya.

        “Mama saya mengajar cara mengawal kemarahan. Mama saya kata sekiranya rasa ingin marah, baca doa ini, kata Puteri Adlina dengan teruja. Kata mama saya lagi, orang yang suka marah akan cepat dimakan usia.”

Bederai ketawa rakan-rakan Puteri Adlina sambil menunjukkan tanda bagus kepada Puteri Adlina. Puteri Adlina tersenyum.

“Mama, engkaulah superheroku!”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: