Certot

Mamaku Superhero

Hasil nukilan Dhia 1 year agoSuperhero

Kring! Jam loceng yang berbentuk kucing milik Dara berbunyi.

Tup! Dara menekan kunci jam locengnya.

Dara bangun dari katilnya lalu mencapai tuala mandi. Usai mandi, Dara bersiap siap untuk ke Kluang Mall. Memang rutin Dara dan mamanya ketika hujung minggu untuk membantu mamanya menjual kek aiskrim dan aiskrim di gerai kek dan aiskrim. 

“Dara! Mari sarapan. Nantikan kita perlu ke gerai,” panggil ibunya dari dapur.

“Baiklah, mama!” balas Dara.

Selepas bersarapan dan membantu mamanya mencuci pinggan, mereka menaiki kereta untuk ke Kluang Mall. Sepanjang perjalanan, Puan Mawar dan anak emasnya, Dara berbual rancak.

“Okey, sayang. Kita sudah tiba di destinasi yang kita tuju,” kata Puan Mawar sambil mematikan enjin keretanya.

“Dara! Jangan melintas dahulu! Banyak kereta melintas!” tegur Puan Mawar.

Dara pula entah dengar atau tidak. Dia ingin menunjukkan pada mamanya yang dia sudah matang dan mampu berdikari. Dara melintas jalan. Pada masa yang sama, sebuah kereta meluncur laju ke arah Dara! 

“Dara!” jerit mama Dara sambil menolak anaknya ke tepi. Puan Mawar terjatuh di jalan, tetapi digagahkan diri juga untuk ke bahu jalan.

Pemandu kereta Alphard yang bernombor JQH 345, memarkir keretanya di bahu jalan lalu segera keluar melihat Puan Mawar dan Dara. Pemandu yang bernama, Encik Harry segera membawa dua beranak itu ke klinik berhampiran.

“Mama, Dara minta maaf kerana tidak ambil peduli kata-kata mama,” kata Dara kesal setibanya di Klinik Penawar.

“Lain kali, janji dengan mama yang Dara akan dengar cakap mama,” balas mamanya tanpa eksperesi marah walhal anaknya telah mengakibatkan dirinya cedera.

Dara tersenyum seraya mengangkat tangan.

“Err… sebenarnya saya yang bersalah dalam kes ini, puan. Saya memandu melebihi had kelajuan yang sepatutnya sehingga menyebabkan puan tercedera,” celah Encik Harry.

“Tidak mengapalah, encik. Saya cedera sedikit sahaja. Bukan serius pun,” balas Puan Mawar.

“Nasib baik Pak Cik Harry baik,” Dara menyampuk.

“Isyy…,” tegur Puan Mawar.

“Mama tahu tidak?“tanya Dara.

Puan Mawar menjungkit bahunya.

“Mama adalah Superhero Dara! Mamaku Superhero!” laung Dara sekuat hati.

Puan Mawar tertawa kecil melihat keletah anak emasnya itu.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: