Certot

Mamaku Super Everything

Hasil nukilan Izzatul Aisyah Abd Raniabout 9 months agoSuperhero

Jam loceng yang berbentuk kucing kepunyaan Nanie Shamim berbunyi nyaring sekali. Nanie terus membuka mata dan meluru ke dapur. Pagi itu, dia amat gembira kerana mamanya, Puan Hani mahu membawanya ke pesta buku. Tambahan pula, Puan Hani sudah berjanji untuk belikan Nanie sebuah buku tentang sains.

Nanie Shamim melilau di setiap sudut dapur bagi mencari mamanya. Ternyata Puan Hani ada di dapur bersama Bibik Siti sedang menyiapkan sarapan.

“Mama jadi pergi?” tanya Huda penuh harapan.

“Mama mahu minta maaf pada Nanie sebab mama terpaksa batalkan. Ada pesakit mama melahirkan baby semalam. Jadi, hari ini mama kena rawat dia,” jawab Puan Hani sambil memegang tangan Nanie.

Namun kata-kata mamanya itu membuat Nanie kecewa.

“Tetapi… mama sudah janji,” kata Nanie, mengharapkan mamanya bertukar fikiran.

“Mama minta maaf sangat pada Nanie, tetapi mama perlu pergi hospital sekejap lagi,” jawab Puan Hanis.

“Ah! Mama selalu begitu! Sudah janji, tetapi tak tepati!” marah Nanie. Lalu dia terus berlari ke biliknya. Pintu biliknya dihempas begitu kuat menandakan protes.

“Nanie!”

“Sayang… Nanie pun tahu mama kerja doktor. Mama sudah berjanji untuk merawat orang sakit. Mama tidak boleh sesuka hati tinggalkan tanggungjawab mama…,” rayu Puan Hani, tetapi Nanie yang ada di dalam bilik hanya pekakkan telinga.

Nanie menangis teresak-esak di atas katilnya. Dalam hatinya terbuku seribu kekecewaan.

‘Mama selalu begitu. Selalu utamakan orang lain. Anak sendiri dibiarkan. Kata rawat orang, bukan mahu rawat hati Nanie pun,’ bisik hati Nanie.

‘Mama tidak pernah ada masa untuk Nanie.’

“Lebih baik mama jangan jadi doktor!” Akhirnya Nanie menjerit melepaskan kekesalannya.

Semenjak ayahnya meninggal dunia setahun yang lalu, Nanie Shamim sering rasa sepi. Kadang-kadang dalam seminggu, Nanie tidak langsung keluar berjalan-jalan bersama mamanya. Kerana kesibukan Puan Hani, Nanie selalu ditinggalkan di rumah dengan Bibik Siti.

Selepas tangisannya reda sedikit, Nanie memutuskan untuk pergi ke rumah Amelia, kawan rapatnya. Selepas 20 minit mengayuh basikal, Nanie sampai ke rumah Amelia.

“Eh, Nanie? Saya baru mahu pergi ke hospital. Ibu saya baru melahirkan baby semalam. Saya mahu pergi melawat. Saya tidak sabar ini. Marilah ikut sekali!” pelawa Amelia.

Nanie terpinga-pinga mendengar pelawaan Amelia. Namun, Nanie tidak menolak pelawaan itu. Nanie terus masuk ke dalam kereta yang dipandu oleh ayah Amelia lalu mengambil tempat di sebelah kawannya itu. Tanpa membuang masa, mereka pun berlalu ke hospital.

Sebaik sahaja mereka berada di lobi hospital, Amelia menarik tangan Nanie untuk pergi ke wad bersalin. Nanie ]mengikut sahaja ke mana Amelia mahu pergi.

Tidak jauh dari pintu masuk ke wad bersalin, kelihatan Mak Cik Zu sedang memeluk bayinya. Sebaik terlihat yang dia ada tetamu, dia terus melambai dan tersenyum riang.

Tiba-tiba Nanie ternampak ibunya. Pandangan mata mereka bertembung.

‘Jadi mama yang menyambut adik Amelia semalam,’ bisik hati Nanie, baru tahu perkara sebenar.

“Wah, ada tetamu datang. Mahu tengok orang baru, ya,” Ibu Nanie menegur Amelia. Dia juga memberikan senyuman buat Nanie.

“Terima kasih doktor, sebab tolong ibu saya lahirkan baby ini. Wah… comelnya baby ini, sayang sangat,” ujar Amelia sambil mencium pipi tembam adiknya.

“Sama-sama. Tolong ibu jaga adik, ya,” sempat Puan Hani berpesan sebelum meminta diri untuk kembali ke pejabatnya.

Selepas berbual-bual seketika, ayah Amelia mengajak Amelia dan Nanie pulang.

“Nanie, mama awak hebat! Saya kagum dengan dia. Bila besar nanti, saya mahu jadi doktor seperti mama awak,” kata Amelia dengan semangat yang berkobar-kobar.

“Pasti awak bangga dengan mama awak, bukan? Dia hebat sangat!” tambahnya.

Nanie terdiam. Dia teringat kembali peristiwa yang berlaku pagi tadi. Dia amat menyesal dengan perbuatannya padahal sepatutnya dia harus berbangga mempunyai seorang ibu yang hebat seperti mamanya.

*****

Malam itu, semasa di meja makan, Huda meminta ampun daripada ibunya. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka seperti Si Tanggang.

“Nanie, mama tidak ambil hati. Lagipun Nanie belum faham tugas mama.”

“Sekarang Nanie sudah faham,” jawab Nanie lalu memeluk dan mencium pipi mamanya dengan penuh kasih sayang.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: