Certot

Mamaku Perfect Superhero

Hasil nukilan Adawiyah Nurman 1 year agoSuperhero

Syarha , seorang gadis yang hormat akan ibunya. Walaupun dia anak orang miskin dan yatim, dia tetap menghargai apa yang diberi oleh ibunya. Duit belanjanya hanya 50 sen setiap hari. Setiap hari, Syarha membawa bekalnya berupa sandwih telur yang dibuat oleh ibunya. Selain berkhasiat, sandwich itu penjimat duit belanjanya. Duit belanjanya akan disimpan di dalam tabung untuk kegunaan masa depan.

Ibunya, Puan Hani, selalu berpesan, “Biar miskin harta, jangan miskin kasih sayang. Jangan mengeluh jika kita mahukan kebahagiaan, bahagiakan orang lain. Biar orang lain mengejek kita, jangan kita mengejek orang lain.”

“Tetapi jika orang ejek Syarha, jadi benci juga,” luah Syarha. Ramai kawan Syarha mengejeknya dengan ejekan anak yatim, anak miskin, dan sebagainya.

“Sebab itu Syarha mesti beristighfar banyak-banyak. Lupakan sahaja ejekan itu, tumpukan pada pelajaran,” kata Puan Hani.

Beberapa bulan kemudian, Puan Hani terpaksa lebih bekerja keras untuk menyara Syarha kerana Syarha akan mengambil peperiksaan besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Seorang pak cik Syarha yang baik hati, bermurah hati untuk membiaya separuh yuran bulanan Syarha setiap bulan.

“Tidak mengapa jika duit pak cik habis sehingga tidak tersisa sebab pak cik tiada tanggungan. Pak cik menganggap Syarha seperti anak pak cik sendiri dan anggaplah pak cik seperti ayah sendiri,” kata Pak Adam.

Pak Adam ialah abang kepada Puan Hani. Isteri Pak Adam iaitu Puan Salwa telah meninggal dunia kerana kemalangan bersama sepupu Syarha iaitu Nana yang sama umur dengan Syarha iaitu 17 tahun.

“Terima kasih pak cik sebab tolong jaga kami berdua,” ucap Syarha.

******

Beberapa hari selepas Pak Adam mengatakan kesanggupannya menjaga Syarha dan ibunya, Pak Adam disahkan mengidap penyakit darah tinggi.

Syarha bersungguh-sungguh menjaga Pak Adam sekaligus menjaga ibunya.

Pak Adam mewariskan hartanya berupa dua bentuk cincin perak yang ditukar menjadi wang ringgit kepada Syarha dan Puan Hani. Syarha amat menghargai pemberian Pak Adam.

“Sekarang pak cik sudah pergi, kita hanya ada RM100,000. Mama mahu Syarha pergi beli telefon pintar paling murah, selagi belum beli jangan balik rumah,” arah Puan Hani. Syarha pun pergi ke kedai seperti yang disuruh.

Syarha pergi ke kedai telefon Samsung di Giant Senawang. Sementara itu, Puan Hani di rumah mengambil upah menjahit baju. Penduduk kampung banyak mengambil upah menjahit baju kepada Puan Hani kerana jahitannya yang kemas.

Puan Hani sanggup berjaga malam demi Syarha kerana Syarha satu-satunya anak Puan Hani. Dia mahu masa depan Syarha cerah dan berguna. Dia berharap agar Syarha menjaga dirinya.

Tok! Tok! Tok!

Kedengaran pintu diketuk. Puan Hani membuka pintu.

“Hani, mengapa kamu biarkan Syarha berjalan seorang diri? Dengan telefon barunya,” marah Tok Cik.

“Ayah, saya cuma mahu pastikan kehidupan Syarha lebih baik,” kata Puan Hani dengan perlahan.

“Apa yang baiknya? Telefon ini perosak anak bangsa, kamu tahu?” amuk Tok Cik. Serentak itu dia merampas telefon itu dan mencampaknya ke dinding.

“Ayah! Mengapa ayah campak telefon Syarha? Satu-satunya harta daripada duit warisan Abang Long,” kata Puan Hani.

“Ah! Peduli apa ayah! Tetapi yang ayah tahu, tidak ada satu pun telefon pintar di dalam rumah ini!”

“Ayah, itu satu-satunya alat untuk memberi kami kesenangan untuk masa depan. Tetapi sekarang, ayah sudah campak telefon itu dan telefon itu sudah berderai dan hancur. Ayah memang tidak mahu kami hidup senang, bukan? Itu akibat ayah selalu mendera kami adik-beradik,” luah Puan Hani.

“Oh, sudah pandai tidak hormat orang tua, ya!” serentak itu Tok Cik menampar Puan Hani berkali-kali.

“Tok Cik, sudahlah, saya tidak benci Tok Cik. Berilah kebebasan kepada kami. Jika Tok Cik mahu bertandang, tolong jangan persoalkan tindakan mama. Mama tahu apa yang terbaik buat kami berdua,” kata Syarha dengan perlahan. Dia tidak mahu dianggap tidak hormat orang tua.

“Baiklah, Tok Cik lepaskan mama kamu. Tetapi Syarha mesti belikan Tok Cik sebuah kereta. Tok Cik bagi masa lima bulan dari sekarang,” kata Tok Cik. Sungguh jahat bunyinya. Tok Cik pun balik ke rumahnya.

“Mama, bagaimana ini? Kereta terlalu mahal. Sekiranya telefon bimbit boleh lagi….” Syarha meluahkan perasaannya.

“Tidak mengapa, mama akan kerja di restoran dari pagi sampai malam,” azam Puan Hani.

“Tetapi mama, mesti nanti mama penat yang teramat kerana bekerja tanpa henti,” kata Syarha.

“Syarha, ini semua untuk kebahagiaan kita berdua. Syarha sanggup tengok mama ditampar?” tanya Puan Hani.

“Mestilah tidak. Syarha sayang mama sangat-sangat,” kata Syarha sambil memeluk mamanya.

“Bermula esok, mama akan cari restoran,” azam Puan Hani.

*****

Setiap hari Puan Hani bekerja di Restoran Isa Maju. Dia akan balik ke rumah pada pukul 11.00 malam. Dia tidur selama 15 minit dan sambung menjahit baju penduduk kampung. Setelah siap, dia akan tidur selama 15 minit dan membuat sandwih telur untuk sarapan dan untuk bekalan Syarha di sekolah.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bakal bermula. Puan Hani bekerja keras untuk memberi makanan yang berkhasiat buat Syarha dan untuk membelikan sebuah kereta buat ayahnya.

Setelah habis Sijil Pelajaran Malaysia, Syarha membantu ibunya dengan bekerja sambilan di kedai runcit sementara menunggu permohonan belajar di universiti diluluskan.

“Mama, duit sebanyak ini sudah cukup untuk belikan Tok Cik kereta. Mama berhenti sahajalah,” kata Syarha.

“Mama perlu cari duit untuk bekalan kamu di universiti. Nanti tiada duit mahu makan. Mama tidak mahu anak mama kebulur sebab tidak makan. Nanti Syarha sakit, pelajaran merosot,” panjang lebar Puan Hani berkata kepada Syarha.

Setelah beberapa bulan menunggu jawapan, akhirnya Syarha diterima masuk ke universiti tempatan.

Puan Hani tetap mahu mencari duit untuk membelikan sebuah kereta buat Syarha. Dia tidak mahu Syarha menumpang kawannya.

*****

Setelah beberapa tahun di universiti, Syarha kini menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Pada usia Puan Hani yang sudah tua, Syarha membawa Puan Hani ke rumah kediamannya sendiri, hasil daripada titik peluh Syarha.

“Mama, inilah rumah Syarha. Syarha mendapat modal daripada perniagaan Syarha sendiri, juga daripada usaha mama membesarkan Syarha dan memasukkan Syarha ke dalam universiti. Terima kasih mama kerana mama berusaha untuk Syarha, bekerja siang malam untuk Syarha. Beri Syarha makan, pakaian, pendidikan, dan sebagainya. Mamalah superhero Syarha,” kata Syarha sambil memeluk erat ibunya dengan linangan air mata.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: