Certot

MAMAKU IDOLAKU

Hasil nukilan Afia 10 months agoSuperhero

‘‘Abang Awenlah pula main!” teriak Munawir lantang pada adiknya.

‘‘Muhsin pun baru main, tunggulah dulu!” balas Muhsin mencebik.

*****

Puan Hana seorang ibu tunggal. Suaminya sudah meninggal dunia lima tahun lalu kerana kemalangan ketika pulang dari tempat kerjanya. Puan Hana mempunyai tiga anak orang yang bernama Hafizhah, Munawir dan Muhsin. Anak-anak Puan Hana sering bergaduh walaupun pada perkara-perkara kecil seperti berebut kerusi atau pensel. Puan Hana selalu menjadi orang tengah jika terjadi pertelingkahan antara mereka.

******

“Berilah Abang Awen pula main,’’ kata Munawir sambil merampas remote control dari tangan adiknya, Muhsin.

‘‘Sekejaplah. Belum pun seminit,’’ kata Muhsin ingin mengambil kembali remote control dari tangan abangnya.

‘‘Apalah Abang Awen ini, kedekut kuda,” ejek Muhsin pada abangnya.

‘‘Abang Awen bukan kedekutlah!’’ balas Munawir sambil menjelirkan lidah.

‘‘Ya, kedekut,’’ bentak Muhsin.

‘‘Tidak!” balas Munawir mencubit adiknya

‘‘Aawww… sakitlah’’ jerit Muhsin. Kemudian, mereka pun bergaduh dan berguling-guling di atas lantai sehingga kakak mereka, Hafizhah datang cuba meleraikan pergaduhan adik-adiknya.

“Sudahlah itu, benda kecil pun mahu bergaduh,’’ kata Hafizhah sambil cuba memisahkan kedua-dua adiknya dari terus bergaduh.

‘‘Kakak! Abang Awen yang mula dulu, Usin mahu main kereta remote itu sekejap pun tidak boleh,” adu Muhsin seperti ingin menangis.

“Seminit pun belum, kedekut.” Muhsin menjelir lidah pada abangnya.

‘‘Mana ada kedekut, tadi abang sudah ber,” balas Munawir membela diri.

‘‘Tetapi sekejap sangat, mana sempat main, kedekut,” Muhsin mengejek lagi.

“Kau ini memang mahu kena.” Muwanir sudah menggenggam penumbuk sedia untuk bergaduh.

“Sudah! Sudah!” jerit Hafizhah kurang sabar dengan kerenah adik-adiknya.

‘‘Kakak tidak payah sibuklah!” Munawir memarahi kakaknya.

‘‘Kakak tidak mahu kamu berdua bergaduh!” jelas Hafizhah sedikit meninggi suaranya.

‘‘Sebenarnya kakak cuba menangkan adik,” alasan Munawir mencari gaduh dengan kakaknya.

Kemudian terjadilah pertikaman lidah antara Hafizhah dan Munawir. Masing-masing tidak mahu beralah sehinggalah ibu mereka datang menenangkan keadaan.

‘‘Mengapa ini?” tanya Puan Hana lembut.

‘‘Mereka dua ini,” Hafizha memberitahu ibunya dengan muka masam.

“Mari kita istighfar dulu,” kata Puan Hana dengan suara yang tenang sambil menarik mereka ke sofa.

“Astaghfirullahalazim, auzubillahiminassyaithonirrojim.” Serentak adik beradik itu menyebut kalimah suci yang membuatkan syaitan-syaitan lari bertempiaran.

“Adik-beradik tidak baik bergaduh, Islam pun melarang sesama Muslim bergaduh,” nasihat Puan Hana pada anak-anaknya.

“Adik-beradik harus tolong menolong dan saling menghormati, sama juga sebagai orang Islam kita harus berbuat baik pada semua orang apatah lagi adik-beradik,” terang Puan Hana panjang lebar.

“Awen, mama belikan kereta remote bukan untuk Awen main seorang, trtapi untuk main bersama Muhsin, kakak pun boleh main sama,” sambung Puan Hana lagi.

“Kalau kita beralah bukan bermakna kita kalah, tetapi menunjukkan kita lebih baik. Malah kita boleh tunjuk ajar orang yang berada di bawah kita, faham sekarang Awen dan kakak?” tanya Puan Hana pada Munawir dan Hafizhah.

“Ya, faham,” jawap Munawir dan Hafizhah serentak.

“Okey, sekarang kamu bertiga harus minta maaf dan bersalaman,” arah Puan Hana pada anak-anaknya. Kemudian, Hafizhah, Munawir dan Muhsin bersalaman sesama mereka dan bermaafan menandakan mereka sudah berbaik semula.

******

Malam itu Hafizhah menulis di diarinya kejadian yang berlaku. Dia kagum dengan sikap mamanya yang sentiasa sabar melayani setiap kerenah anak-anaknya. Hafizhah berazam menjadi seperti mamanya bila dewasa nanti.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: