Certot

Mama The Superwoman

Hasil nukilan Ana Anaqah 1 year agoSuperhero

Aisyah mengurut jari-jemarinya. Dia melihat sekali lagi hasil tangannya yang dirasakan kurang memuaskan. Kemudian dia menulis sekali lagi. Apa agaknya yang ditulis oleh Aisyah, ya? Kemudian dia tersenyum memanjang. Puas rasanya setelah memerah otak memikirkan ayat yang sesuai untuk syairnya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia rasa mahu menulis syair buat mamanya sempena hari ulang tahunnya tidak lama lagi pada malam itu juga. Syair itu bertajuk Mama.

Aisyah membaca syair hasil kerja kerasnya dengan lengguk suara bak seorang penyair. Dibacanya syair tersebut dengan sepenuh perasaan.

“Mama,

Lembutnya dalam bicara,

Tegasnya dalam agama,

Bijak dan cerdiknya engkau wahai mama.

Mama, 

Dalam duka juga lara,

Engkau hadir menyapa mesra,

Butir katamu adalah doa,

Yang sentiasa menemaniku meredah samudera.

Mama, 

Dalam kesempatan yang tidak berpanjangan,

Ingin anakanda ucapkan,

Selamat ulang tahun ke tiga puluh sembilan,

Moga hayatmu diberkati Tuhan.

Anakanda Aisyah Humaira.”

Aisyah tersenyum-senyum. Hendak menangis rasanya. ‘Sedap juga suara aku ni,’ oh, berangan rupanya. Tiba-tiba, tombol pintu dipulas. Daun pintu dikuak perlahan. 

Terjengul wajah seorang yang amat dikenali Aisyah. “Eh, mama?”

“Tadi mama dengar kamu bercakap. Mama takut pula kalau kamu bercakap seorang diri. Jadi mama buka la pintu ini. Kamu buat apa tadi?” 

 Aisyah tersengih bak kerang terkena toksin. Kerang busuk. Dia segera berjalan ke arah mamanya dan melakukan rutin hariannya seperti biasa. Memohon maaf dan bersalaman dengan mamanya. Dahulu, dia akan melakukan kewajipan tersebut kepada mama dan papanya, tetapi disebabkan sekarang papanya bekerja di bandar dan akan pulang lewat malam, Aisyah terlepas peluang hendak mengucup tangan sejuk papanya.

Setelah memohon maaf, mengucup tangan dan pipi juga menyalami mamanya, Aisyah kembali semula ke katil bilik tidurnya. Dia memang suka menulis di atas katil yang empuk. Aisyah hanya akan berada di meja belajar jika terdapat kerja sekolah atau hendak melukis kartun. Itu sahaja. Dia mahu menulis beberapa untaian kata-kata berkenaan seorang yang bergelar ummi, ibu, emak, mama, dan sebagainya yang membawa maksud yang sama, yakni wanita yang melahirkan seorang anak.

‘Wahai hamba Allah, ketahuilah, ibumu yang melahirkanmu, ibumu yang membesarkanmu, ibumu yang mendidikmu. Ketahuilah, bahawa Rasulullah mengangkat tinggi darjat seorang ibu tiga kali lebih daripada seorang ayah yang mencari duit untuk menyara keluarga.

Wahai hamba Allah, ketahuilah, Rasulullah pernah mengaminkan doa malaikat bahawa, “Celakalah seorang anak yang masih mempunyai ibu bapa tetapi tidak menghormati mereka.

Kesimpulannya, hormatilah kedua ibu bapamu selagi mereka masih hidup. Hargailah mereka. Dengarlah setiap butir mutiara yang keluar daripada mulut mereka. Khususnya ibumu. Ketahuilah, sesungguhnya mereka tidak mahu kita terjerumus ke lembah yang hina.’

Aisyah kemudiannya menutup buku nota comelnya dan segera baring di atas katil setelah menutup lampu. Dia tiba-tiba teringat peristiwa setahun yang lepas ketika dia mengambil slip keputusan UPSR. 

Waktu itu, dia sangat sedih. Keputusannya sangat tidak memuaskan dirinya. Dia hanya berjaya mendapat 3A 2B. Tetapi, motivasi mamanya telah membuatkan semangatnya kian membara setinggi gunung. 

“Aisyah, kamu kena bersyukur. Kuatkan semangat. Jangan sedih. Jangan bimbang kerana mama dan papa bangga apabila kamu berjaya mendapatkan keputusan yang terbaik. Kamu telah berusaha keras sebelum ini. Sebab itu, kami tidak kisah jika kamu tidak mendapat straight A. Kami tahu tahap kamu. Penguasaan kamu lebih kepada bahasa dan sastera. Bukan kepada Matematik dan Sains. Lagipun sebelum ini kamu tidak pernah mendapat A dan B dalam dua mata pelajaran tersebut. Kamu telah membuktikan yang kamu boleh. Ingat pesan mama, jangan lihat orang di atas kita, tetapi lihatlah orang di bawah. Ada yang keputusannya lebih teruk daripada kamu. Jadi, jangan sedih.” Kata-kata motivasi penyuntik semangat itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Aisyah melepaskan keluhan yang berat. Esok, dia akan kembali ke asrama tempat dia mengenali erti kehidupan.

Aisyah segera membaca surah Al-Fatihah, surah tiga Qul, ayat Kursi dan doa tidur. Dia meniup bacaan tersebut ke telapak tangan dan menyapunya ke seluruh badan. Tidurnya diiringi dengan semangat yang berkobar-kobar hendak melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading atas doa dan harapan daripada dua orang yang sangat dicintainya. Dia berdoa agar kedua-dua ibu bapanya dipanjangkan umur supaya mereka sempat melihat kejayaan anak tunggal mereka.

     

Juga daripada penulis ini:

  • Mama

Cerita lain: