Certot

MAAFKAN SAYA, AYAH!

Hasil nukilan Dayana 2 years agoSuperhero 5

Razif diam melihat Hakimi menceritakan percutiannya bersama keluarga pada cuti sekolah baru-baru ini. Fatin juga menceritakan detik indah bercuti di luar negara bersama keluarganya. Manakala, Razif tidak ke mana-mana. Dia habiskan masa waktu cuti sekolah menolang emaknya di gerai menjual pisang goreng.

“Kau pergi bercuti ke mana Razif?” tanya Hakim sebaik Fatin bercerita kisah menarik percutiannya.

Razif tertunduk dan terus berdiam. Tidak tahu apa yang perlu dijawab. Teman-temannya itu tidak tahu, dia daripada keluarga yang susah. Dia malu ingin mengaku kesusahan keluarganya, sedangkan dua sahabatnya itu daripada keluarga yang senang.

Razif suka menipu kisah latar belakang keluarganya. Dia tidak mengaku ayahnya bekerja sebagai buruh binaan dan emaknya menjual pisang goreng di simpang jalan kampungnya.

“Awak tak cerita pun, awak pergi mana cuti sekolah baru-baru ni.” Hakimi ingin tahu cerita Razif pula. Dia dan Fatin sudah bercerita, kini giliran Razif pula.

“Saya pergi ke China. Mak cik saya tinggal di sana, jadi kami pergi melawat dan sambil bercuti,” jawab Razif menipu.

Pesanan emaknya Puan Fatimah tidak diendahkan Razif. Jangan menipu, nanti memakan diri. Tuhan marah orang yang suka menipu.

*****

Pak Cik Fahim duduk menyandar di anjung rumah. Air kopi dihirup perlahan dan sesekali dicicahnya dengan biskut kering. Itu sahaja makan petang untuk hari ini yang ada di rumah. Hari ini, Pak Cik Fahim tidak pergi bekerja kerana syarikat dia bekerja ada masalah di tempat kerja.

Razif yang baru pulang daripada bermain dengan kawan-kawannya masuk ke dalam rumah. Melihat ayahnya yang duduk tersandar dia merapati. Punggung diletak di sebelah ayahnya.

“Dari mana ni Razif?” soal Pak Cik Fahim kepada anaknya, Razif.

“Razif pergi ulang kaji dengan kawan-kawan di sekolah ayah. Cikgu ada buat tuisyen.” Razif menipu lagi. Langsung tidak bersalah menipu.

Pak Cik Fahim anggukkan kepalanya. “Baguslah. Razif belajar rajin-rajin. Ayah nak Razif jadi anak yang bijak. Ayah tak mahu Razif jadi macam ayah,” pesan Pak Cik Fahim nasihatkan anaknya.

Razif anggukkan kepala tanda faham. “Ayah, cikgu minta duit tuisyen.”

Pak Cik Fahim diam. Mana dia ada duit untuk diberikan kepada Razif. Syarikat kerjanya ada masalah. Gaji pula tidak berbayar. “Berapa?” soal Pak Cik Fahim.

“Dua ratus. Cikgu nak hari Khamis ni.”

Pak Cik Fahim hanya mengangguk. Memikirkan kepentingan anaknya untuk belajar, Pak Cik Fahim perlu berusaha. Tanpa banyak bersoal, Pak Cik Fahim bangun dari duduknya. Bersiap-siap dan keluar semula dari rumah selepas berpesan kepada Razif agar tidak ke mana-mana.

*****

Tertunduk-tunduk Pak Cik Fahim mengutip tin yang dibuang. Hingga ke dalam tong sampah barang yang boleh dijual dikutipnya masuk ke dalam beg plastik hitam yang dibawanya. Hanya itu sahaja cara dia dapat megumpul duit sebanyak RM200.00 yang diinginkan Razif untuk bayaran tuisyen. Itu belum pasti mencukupi.

“Pak cik buat apa ni?”soal Hakimi bila melihat seorang lelaki tua mencari barang di dalam tong sampah di perhentian bas.

“Pak cik cari barang-barang yang boleh dijual. Pak cik nak bayar yuran tuisyen anak kat sekolah,” jawab Pakcik Fahim. Pak Cik Fahim sempat bercerita sekolah di mana anaknya belajar.

Hakimi kasihan melihat pak cik tua itu. Sangkanya pak cik itu mahu mencari sisa makanan. “Pak cik, rumah saya ada banyak barang-barang terpakai. Pak cik boleh ambil di rumah saya.”

Pak Cik Fahim tegak melihat Hakimi. Baiknya anak muda yang sebaya dengan anaknya Razif ini. “Tak apalah, anak. Pak cik boleh usaha sendiri.”

Pak Cik Fahim terus berlalu. Dia tidak mahu menyusahkan anak muda itu. Dia berjalan sepanjang jalan mencari tin-tin yang dibuang dan apa sahaja yang boleh dijual. Bila beg plastiknya sudah penuh, Pak Cik Fahim terus pergi ke kedai lusuh. Selepas ditimbang, hanya RM20 sahaja yang dapat daripada hasilnya tadi.

*****

Pak Cik Fahim terlibat kemalangan jalan raya ketika mahu melintas menyeberangi jalan. Hakimi yang ketika itu baru naik kereta terus berlari bersama pemandu ayahnya Pak Mat. Terus dibawa Pak Cik Fahim ke hospital.

Terkejut Hakimi bila melihat Razif ketika melawat Pak Cik Fahim. Takut-takut Razif ingin berbual dengannya.

“Apa hubungan pak cik tu dengan awak, Razif?” soal Hakimi kepada kawan baiknya.

Razif telan liur. Mulutnya tidak keluar kata. Mengambil masa untuk menjawab. “Dia pak cik kebun rumah aku.” Tipu Razif terselit rasa bersalah. Hakimi tidak boleh tahu itu adalah ayahnya. Dia malu!

Hakimi tidak membalas. Ketika pendaftaran tadi, dia ada melihat sendiri nama pak cik itu Fahim. Pak Mat ada serahkan kad pengenalan ketika pendaftaran. Mohd Fahim bin Musa. Nama Razif pula Muhammad Razif bin Mohd Fahim.

“Bukan ayah kau?”

Terkejut Razif. Dia tertunduk.

Hakimi juga ada teringat, Pak Cik Fahim ada cerita kepadanya ingin membayar duit yuran anaknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Kecil. Sama sekolahnya belajar.

“Tak baik kau buat ayah kau macam tu, Razif. Kau tahu tak, ayah kau kutip tin dan barang-barang lusuh untuk dijual. Dia cerita nak bayar duit tuisyen sekolah.” Tidak lepas Hakimi tenung Razif. Setahunya di sekolah tuisyen masih belum dimulakan. Kenapa Razif menipu ayahnya?

“Aku… aku….”

***

Kaku Razif berdiri di sebelah ayahnya. Air mata sudah mula membasahi pipinya. Badannya direndahkan lalu dipeluk badan ayahnya yang terbaring.

Pak Cik Fahim yang nyenyak lena terjaga daripada lenanya. Tangan kirinya bergerak lalu menyentuh kepala Razif lembut.

“Razif, kenapa menangis?” soal Pak Cik Fahim.

Tangan ayahnya itu disambar dan dikucup. “Ayah, maafkan Razif.”

Tidak mengerti Pak Cik Fahim dengan sikap Razif. Namun, wajah itu tidak lekang mengukir senyuman. “Kenapa Razif minta maaf pada ayah? Ayah yang patut minta maaf pada Razif, sebab ayah tak dapat berikan duit yang Razif nak tu. Nanti dah keluar hospital, ayah pergi jumpa cikgu, ya?” Lembut sahaja kata-kata Pak Cik Fahim. Berharap sangat berjumpa dengan guru tuisyen anaknya.

Makin teresak-esak Razif menangis, sambil kepalanya menggeleng laju. “Ayah tak perlu jumpa cikgu.”

“Kenapa? Ayah perlu jelaskan pada cikgu. Susah mana sekali pun ayah, ayah akan usaha yang terbaik untuk anak-anak ayah.” Pak Cik Fahim begitu baik.

“Tak ada pun tuisyen ayah. Razif tipu. Razif cakap macam tu, sebab Razif nak beli telefon macam kawan-kawan Razif. Maafkan Razif, ayah.” Makin teresak-esak tangisan Razif. Bersalah sekali kerana menipu.

Pak Cik Fahim menghelakan nafasnya. Badan Razif ditarik dekat dengannya. “Ayah tak ajar Razif menipu. Kenapa Razif menipu ayah?” soal Pak Cik Fahim.

Razif tertunduk. Air mata dibiarkan di pipinya. “Razif malu dengan kawan-kawan.”

“Ayah faham. Ayah nak Razif faham. Ayah tak senang dan hanya kerja biasa-biasa sahaja. Ayah tak mampu beri kekayaan pada Razif. Tapi, ayah mampu berikan kekayaan ilmu agama pada Razif. Biar kita kaya dengan budi pekerti dan sikap yang baik.”

Razif anggukkan kepalanya tanda faham. Dia berdosa sangat dengan ayahnya. Ayahnya sudah menjadi ayah terbaik, tetapi dia tidak hargai.

“Maafkan ayah sebab tak mampu berikan apa yang Razif nak.” Pak Cik Fahim terasa sebak mengenangkan kehidupannya yang biasa-biasa sahaja.

“Ayah tak salah. Razif yang salah. Razif patut bangga punya ayah macam ayah. Walaupun ayah tak berikan semua tu, Razif patut bangga. Razif ada hero yang paling terbaik dalam dunia ni. Terima kasih ayah untuk semuanya.”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: