Certot

MAAFKAN SARA

Hasil nukilan Nurul Hazirah 2 years agoSukan 14

Kelihatan murid-murid berkerumun di papan kenyataan. Qaisara yang baru sampai kehairanan. 

‘Ada apa kat situ?’ tanya Qaisara dalam hati. Dia menghampiri kelompok murid tersebut. ‘Pertandingan bola jaring antara kelas? Menarik!’ bisik hati Qaisara, teruja. Dia terus menuju ke kelasnya.

“Hai, Sara,” sapa Nisha, rakan baiknya. 

“Hai.” Qaisara melemparkan senyuman. 

“Sara, kau nak masuk pertandingan bola jaring tak? Hadiahnya lumayan,” tanya Nisha, membuat tanda bagus. 

“Mestilah. Tapi aku kena tanya ibu aku dulu,” jawab Qaisara, tersenyum lebar. 

“Mesti ibu kau bagi punya,” tambah Nisha, meyakinkan hati Qaisara. 

“Harap-haraplah. Dahlah, jom pergi dewan. Nanti kena denda pula,” Qaisara bingkas bangun. Nisha menuruti langkahnya.

*****

“Ibu, Sara nak sertai pertandingan bola jaring, boleh?” tanya Qaisara semasa di ruang tamu. 

“Tak payahlah. Lagipun, tahun ini Sara UPSR. Jadi, ibu nak Sara beri tumpuan pada pelajaran,” jawab Puan Suraya. 

“Alah, ibu. Sara tahu bahagikan masa. Bolehlah ibu…,” pujuk Qaisara lalu merangkul pinggang ibunya. 

“Tak boleh. Ibu tak nak pelajaran Sara merosot,” tegas ibunya. 

Qaisara mendiamkan diri. Hatinya sebak.

*****

“Sara, ibu kau bagi tak?” soal Nisha ketika di kantin sekolah. 

“Bagi apa?” soal Qaisara kembali. 

Nisha menekup mukanya dengan tangan. “Masuk pertandingan bola jaringlah.” 

“Oh.” Qaisara serba salah. 

“Bagi tak?” tanya Nisha lagi. 

“Bagi,” jawab Qaisara. 

“Ha, baguslah. Lagipun kau ini jaguh. Nanti kita pergi jumpa Cikgu Azura,” ujar Nisha lalu menyambung aktiviti makannya. 

‘Tak apalah. Lagipun, ibu takkan tahu,’ bisik hati kecil Qaisara.

*****

“Hari perlawanan pun tiba. Qaisara diletakkan di posisi penyerang. Dalam setiap perlawanan, Qaisara banyak menjaringkan gol. Akhirnya, kelas Qaisara layak ke peringkat akhir. Rania, dari kelas 6 Bintang berasa iri hati. 

‘Tak boleh jadi ini. Aku perlu buat sesuatu,’ getus hati Rania, geram. 

Dalam perlawanan akhir, Qaisara telah menjaringkan dua gol. Rania berasa geram dan menyadung kaki Qaisara hingga Qaisara jatuh dan pengsan. 

“Qaisara!” jerit rakan sepasukannya. Cikgu Azura membawa Qaisara ke hospital dan terus menelefon ibunya.

“Assalamualaikum, Puan Suraya. Qaisara cedera ketika bermain bola jaring,” beritahu Cikgu Azura. 

“Waalaikumsalam. Setahu saya, saya tak izinkan dia bermain, tapi kenapa….” Terhenti suara Puan Suraya. 

“Yakah? Puan datang ke hospital dan kita akan bincang lebih lanjut,” ujar Cikgu Azura, menenangkan hati Puan Suraya. 

*****

Sesampainya Puan Suraya di hospital, Qaisara sudah pun sedar. 

“Ibu, maafkan Sara. Sara tak dengar cakap ibu. Maafkan Sara, ibu” rayu Qaisara, menangis teresak-esak. 

“Tak apa, sayang. Ibu dah maafkan. Jadikan kejadian ini sebagai pengajaran untuk Sara,” kata Puan Suraya sambil mengusap kepala anaknya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: