Certot

Maafkan Erin

Hasil nukilan Nur Hidayah 3 years agoFiksyen 46

   Erin atau nama panjangnya Nur Erina binti Hisyam ialah seorang budak yang pintar, tetapi keras kepala. Apabila ibunya meminta tolong, pelbagai alasan diberi. Suatu hari, Erin meminta izin daripada ibunya untuk bermalam di rumah rakannya, iaitu Wardah. Namun ibunya tidak mengizinkan.

‘Tak kira. Aku nak pergi juga,’ bentak Erin dalam hati.

Dia kemudian segera mengambil beg baju dan memasukkan baju-bajunya ke dalam beg tersebut. Erin kemudian keluar secara senyap-senyap untuk ke rumah Wardah.

“Erin, mari makan,” panggil Puan Ain. Namun tiada sahutan daripada anaknya itu. Puan Ain kemudian menuju ke bilik Erin.

‘Eh, mana baju-baju Erin?’ soal Puan Ain. ‘Jangan-jangan….’ Puan Ain dapat meneka apa yang berlaku sebenarnya.

‘Erin… Erin….’

*****

“Marilah masuk, Erin,” jemput Wardah.

“Ibu awak bagi ke awak datang sini?” soal Wardah.

Erin hanya sekadar mendiamkan dirinya.

“Erin, mari saya tunjukkan bilik awak,” kata Wardah.

Erin pun mengekori langkah Wardah.

*****

Puan Ain berasa risau tentang anaknya. Entah mengapa dia berasa tidak sedap hati. Dia hanya mampu memohon kepada Yang Esa agar anaknya itu sentiasa dilindungi.

*****

Api sedang marak menyala di rumah Wardah. Rumahnya terbakar. Jiran-jiran cuba membantu dengan menyimbah air. Namun tiada kesan langsung.

“Uhuk, uhuk. Tolong! Tolong!” jerit Erin sekuat hati.

Namun tiada siapa yang mendengar jeritannya. Sebelum dia rebah, dia dapat melihat beberapa jirannya datang kepadanya. Mungkin untuk membantunya. Erin kemudian rebah di situ.

*****

“Doktor, bagaimana dengan anak saya?” soal Puan Ain.

“Anak puan mengalami kelecuran di tubuh badannya sebanyak 30 peratus. Tetapi sekarang anak puan dah stabil. Puan boleh lawat dia,” kata doktor Wana yang merawat Erin.

Puan Ain segera masuk ke dalam bilik anaknya. “Erin!” panggil Puan Ain.

“Ibu.”

Puan Ain segera memeluk anak kesayangannya itu.

“Maafkan Erin, ibu. Kalau Erin dengar nasihat ibu hari itu, mesti tak jadi macam begini,” kata Erin.

“Tak apalah. Perkara dah lepas. Yang penting sekarang Erin selamat,” kata Puan Ain.


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: