Certot

Maafkan Alif, Ayah

Hasil nukilan Aisyah 2 years agoSuperhero 143

Nama aku Alif bin Sufian. Kehidupan aku seperti budak lain, normal.  Tinggal di rumah berkembar, mak aku seorang peniaga. 

Tetapi pekerjaan ayah aku ni lain sikit, aku sendiri pada mulanya tidak percaya. Kalau isteri seorang ahli perniagaan, suaminya pula tukang kutip sampah. Ya, betul. Ayah aku seorang pengutip sampah! Ayah sering kali keluar awal dan balik lewat malam, kadang-kala seharian aku tak tengok muka ayah.

Ada satu hari aku tanya mak.  “Mak, kenapa mak tak tegur ayah? Saya malu, tahu tak.”

“Huh, malaslah nak tegur ayah kamu tu. Kalau mak tegur dia buat pekak je,” leter mak.

Hachuum! “Kenapa tiba-tiba ayah bersin ini? Macam ada orang mengata ayah,” sindir ayah dari meja makan.

Itu cerita di rumah, cerita di sekolah lain pula.

*****

“Baiklah murid-murid, hari ini cikgu nak tanya pekerjaan ayah kamu,” tanya Cikgu Fiza.  Aku seolah-olah tersentak dengan soalan cikgu itu. 

“Dari mana nak mula, ya,” soal Cikgu Fiza.

“Saya! Saya!” Ramai murid angkat tangan untuk dipanggil kecuali aku.  Tindakan aku dikesan oleh cikgu.

“Alif, sila beritahu pekerjaan ayah kamu?” tanya Cikgu Fiza.

“Pekerjaan ayah saya… er… er….” Aku berkata tergagap-gagap.

“Alif, cepatlah. Apa pekerjaan ayah kamu?” Cikgu Fiza mendesak.

“Pekerjaan ayah saya adalah pengutip sampah!” aku berkata dengan penuh rasa malu.  Serentak seluruh kelas tergelak dan riuh. Aku terus tunduk, tetapi Cikgu Fiza langsung tidak marah, namun menggelengkan kepala.

“Alif selepas waktu sekolah, sila berjumpa dengan saya di bilik guru,” arah Cikgu Fiza.

*****

Selepas waktu persekolahan.

Aku berada di hadapan bilik guru, perasaan aku sungguh gementar sekali.  Aku pergi ke meja Cikgu Fiza.

“Kenapa cikgu panggil saya?” tanya aku.

“Cikgu nak tanya apa kamu cakap tadi, betul?” tanya Cikgu Fiza.

Aku mengangguk lemah.

“Alif, walau apa pun pekerjaan ayah kamu, kamu mesti redha, asalkan ia halal dan mematuhi syariah,” jelas Cikgu Fiza.  Aku terdiam. Fikiranku kosong.

“Tetapi cikgu, pekerjaan ayah saya adalah pengutip sampah, pekerjaan yang kotor dan memalukan,” aku bertegas.

“Alif, tahu tak pengutip sampah adalah pekerjaan hebat,” kata Cikgu Fiza.

“Mengapa?” tanya aku yang keliru.

“Bukan semua orang mampu melakukan pekerjaan itu, dan cikgu rasa kamu pun tak mampu kerana kamu cakap ia kotor dan memalukan.  Seorang yang mampu buat pekerjaan itu hanya ada tiga jenis.” Belum sempat cikgu menghabiskan ayatnya, aku mencelah.

“Apa tiga golongan itu?”

“Pertama, orang dipaksa.  Kedua, orang yang terpaksa.  Ketiga, orang memang nak,” kata Cikgu Fiza.

“Dan pengutip sampah adalah pekerjaan yang mampu membersihkan alam sekitar,” kata Cikgu Fiza dengan senyuman manis.  Tetapi dalam hatiku, cikgu berkata sedemikian semata-mata untuk melegakan hatiku.

“Saya faham, cikgu.” Aku berpura-pura berkata begitu. Aku pun terus beredar dari situ.

“Huh, cikgu berkata begitu kerana ingin menyedapkan hati aku,” aku mengomel.  Dalam perjalanan balik aku bertemu dengan Faizal dan konco-konconya, kumpulan nakal yang terkenal di sekolah kami, SK Ceria.

“Assalamualaikum,” Faizal memberi salam sambil tersenyum lebar seperti ahli sihir.

“Waalaikumussalam.”

“Aik, muram saja muka, kenapa ni? Eh, aku baru ingat.  Ayah kau ajak kau ikut dia pergi kutip sampah, kan?” kata Faizal sambil meletakkan tangannya di atas bahuku, konco-konconya bukan main gelak besar menghinaku.  Aku cuba menahan marah.

“ Faizal, jangan buat aku naik darah.” Aku mula meninggikan suara.

“Uh, takutnya.  Kalau aku nak cakap juga, awak boleh buat apa? Panggil ayah awak yang pengutip sampah itu datang sekarang.” Faizal dan konco-konco terus gelak. 

 Aku tak dapat menahan kemarahan aku lagi, buku lima aku terus hinggap ke pipinya.  Faizal tersembam ke tanah akibat tumbukan aku yang tiba-tiba itu.

“Bos, pipi bos lebam,” kata salah seorang dari konco Faizal.

“Dah, jom berambus!” Cebik Faizal sambil menjeling kepadaku.

“Puas hati aku,” kata aku sambil berdengus dengan kuat.  Tiba-tiba ada seseorang menyentuh bahu aku.  Pada mulanya aku sangka itu adalah Faizal.  Rupa-rupanya itu adalah orang yang paling aku tidak sangka.  Itu adalah ayah aku.

“Alif, kamu tak balik rumah lagi?” ayahku bertanya.

“Ayah, jangan dekat dengan saya!” aku tengking pada ayah aku. Mataku sedikit berair dan aku terus berlari sekuat hati meninggalkan ayah terpinga-pinga di tepi jalan.

*****

Pada esok hari, balik dari sekolah, aku menemani mak singgah ke sebuah bank kerana mak perlu menunaikan beberapa cek pelanggannya. Faizal juga berada di situ menemani ayahnya atas sebab yang sama.

“Mana ayah kamu Alif? Ada kat tong sampah kan?” Faizal cuba mengejek.

Aku diam sambil tidak mengendahkan ejekannya.

Semasa berada di dalam bank tersebut, tiba-tiba sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu masuk. Semua orang terus panik.

“Diam, ini adalah rompakan! Sekarang semua orang meniarap!”

Tiga lelaki bertopeng menangkap Faizal dan membawanya masuk ke dalam bilik kebal. Kelihatan ramai tebusan diikat termasuk pekerja bank, kecuali seorang. Pekerja bank itu kelihatan pucat lesi.

“Serahkan duit cepat! Jangan cuba telefon polis!” tengking perompak itu sambil mengacukan pistol.

“Baiklah,” jawab pekerja bank itu menjawab  terketar-ketar. Dia pergi ke bilik kebal dan mengambil guni yang penuh dengan duit.

“Cepat!” herdik perompak itu sambil merampas duit daripada pekerja bank tersebut. 

Bang!

Tiba-tiba, satu tembakan ke udara kedengaran.

Dua orang perompak lain terkejut dan terus bertempiaran lari, tetapi sekumpulan polis berpakaian seperti ninja telah mengepung bank itu. Salah seorang dari perompak itu telah terbaring.  Perompak satu lagi kelihatan cemas.  Tiba-tiba perompak itu datang ke arah aku. Dia jadikan aku tebusan.

“Kalau kamu datang dekat, aku tembak kepala budak ni!” Pistol perompak itu betul-betul berada di kepala. 

Bang!

Bunyi tembakan dilepaskan.

Rupa-rupanya salah seorang daripada anggota polis berada di belakang perompak-perompak itu. Tembakan polis itu tepat pada tangan perompak itu dan dia rebah menahan kesakitan.  Semua orang lega.  Aku macam mengenali gerangan polis tersebut.

“Alif, kamu tak apa-apa?” tanya polis itu selepas menanggalkan topengnya.

“Ayah?”

“Ya? Ini memang ayah.” Aku terus memeluk ayah.  Rupa-rupanya ayah adalah anggota polis komando gerakan khas yang sedang menyamar. Dia menyamar sebagai pengutip sampah untuk menyiasat kes dan mak aku juga sudah tahu tetapi sengaja menyembunyikan daripadaku.

“Ayah, Alif minta maaf kerana bercakap kasar pada ayah tempoh hari,” aku berkata dengan penuh penyesalan.

“Tak mengapa, ayah pun minta maaf kerana tak beritahu kamu perkara sebenar. Ayah terpaksa demi tugas,” jelas ayah.  Aku tersenyum lebar.

“Alif, saya minta maaf. Rupa-rupanya ayah Alif merupakan seorang adiwira.” Faizal tiba-tiba menyampuk dari belakang.

Mulai hari itu, aku berazam tidak akan memandang rendah apa-apa pekerjaaan sekalipun.

 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: