Certot

Maafkan Aku, Ibu

Hasil nukilan Nur Zulaikha about 2 years ago

Aku memandang beg sekolahku yang sudah koyak. Semalam aku ada meminta ibu untuk membeli beg sekolah yang baru. Tatapi ibu memberitahuku bahawa dia tidak mempunyai duit yang cukup untuk membeli beg sekolah yang baru.

Sebenarnya bukan beg sekolah sehaja yang aku inginkan, tetapi aku mahu semuanya baru. Baju sekolah, kasut, dan bermacam-macam lagi. Tetapi kerana aku bukan dari keluarga yang berada, jadi aku tidak mampu untuk membeli semua itu.

“Mia, kamu marahkan ibu lagi?” Ibuku bertanya tentang hal semalam. Aku hanya membisu. Aku masih marahkan ibuku. Disebabkan aku ini tidak berkemampuan untuk membeli barangan sekolah, aku selalu diejek oleh kawan sekolahku.

“Mia pergi dahulu, ibu,” kataku sambil berlalu pergi tanpa menyalam tangan ibuku seperti selalu.

*****

Selepas pulang dari sekolah, aku melihat ibuku pengsan di dapur. Aku bergegas pergi kepadanya lalu menggoyangkan badannya sambil menjerit meminta tolong. 

“Tolong! Tolong! Ibu bangunlah jangan tinggalkan Mia!” aku menjerit sekuat hati.

*****

“Bagaimana keadaan ibu saya, doktor?” aku bertanya sebaik sahaja ternampak doktor yang merawat ibu keluar. 

“Dia baik sahaja. Ibu cik pengsan kerana terlalu letih. Biar dia banyak berehat dan jangan buat kerja-kerja yang berat,” doktor itu memberitahuku.

Aku mengucapkan terima kasih. Aku sangat bersyukur kerana ibuku tidak apa-apa. mujur ada jiran sebelah yang mendengar aku menjerit tadi. Dialah yang menghantar ibuku ke hospital. Aku masuk ke dalam wad dan ternampak ibuku. Aku terus memeluknya.

“Maafkan Mia, ibu. Mia yang bersalah,” aku meminta maaf sambil menangis teresak-esak.   

“Tidak mengapa, Mia. Kamu tidak salah pun,” ibuku memberitahuku. Kami berdua menangis sambil memeluk satu sama lain. 

‘Maafkan Mia, ibu.’

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: